Saudara pengarang,
Saya adalah di antara rakyat Malaysia yang berpeluang mendengar pita rakaman mesyuarat MT UMNO bertarikh 3 September 1998. Saya dapat pita tu dari rakan yang beli di salah sebuah masjid di sekitar KL. Saya tak pasti sama ada pita itu telah diedit atau tidak tetapi rakaman suara begitu jelas dan tidak seperti diedit.
Yang menghairankan saya kenapa MT UMNO begitu beriya-iya nak jual pita tu. Ini kerana apa yang dibincangkan begitu memalukan dan membuktikan bahawa:-
- PM memang nak buang DSAI dari UMNO dan sekaligus dipecat sebagai Timbalan Presiden UMNO. PM buka mesyuarat dengan mencadangkan DSAI dipecat dari UMNO dengan alasan DSAI tidak bermoral.
- Mesyuarat tersebut tak lebih seperti "circus" untuk membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO demokratik dengan memberi peluang DSAI membela diri. Peluang yang diberikan kepada DSAI tak lebih sebagai memenuhi syarat saja kerana PM dah pun buat keputusan nak singkirkan DSAI dan kebanyakan ahli-ahli MT pula ikut telunjuk PM.
- Tak semua ahli MT setuju DSAI dibuang dari UMNO dan sebagai Timbalan Presiden UMNO seperti yang dihebahkan oleh PM di TV dan di dada akhbar tempatan. Dua-tiga ahli MT jelas tidak bersetuju tindakan penyingkiran DSAI dari UMNO dan ada juga yang mencadangkan agar undian secara tertutup dibuat. Semua sedia maklum bahawa pada malam tersebut pengundian tidak dibuat secara tertutup.
- MT telah bertindak sebagai hakim, peguam dan juri dalam isu pemecatan DSAI dari UMNO dengan membelakangkan perlembagaan UMNO dan kehendak ahli-ahli UMNO sendiri (sila baca surat-surat terbuka ahli-ahli UMNO kepada PM).
- Kebanyakan ahli MT ibarat burung kakak tua. Angguk dan setuju saja apa yang dikatakan oleh Presiden parti. Tak perlu panggil dan periksa kredibiliti dan motif Azizan, Ummi dan Hamzah, para penuduh salah laku seks DSAI, sebelum tindakan diambil terhadap DSAI.
- Ahli-ahli MT jelas mempercayai PM 100% ketika mengambil keputusan sebegitu penting yang mungkin menjejaskan perpaduan UMNO. MT telah membuat keputusan memecat DSAI dari UMNO berdasarkan alasan-alasan yang dikemukakan oleh PM tanpa memanggil saksi-saksi lain (kecuali DSAI).
- Ahli-ahli MT yang kuat melatah dan melalak pada malam itu adalah mereka yang dilantik oleh PM. Mereka ini sebenarnya telahpun "ditolak" oleh ahli-ahli UMNO sendiri.
- PM jelas lebih mempercayai cerita (fitnah dan tohmah) Azizan dan Ummi dari pengakuan dan sumpah DSAI, yang telah beliau kenali selama lebih 16 tahun. Menurut pengakuan Azizan, dia bertemu PM hanya selama sejam di Sri Perdana untuk menceritakan kejadian salah laku seks tersebut.
- DSAI seolah-olah diugut agar berundur dari UMNO supaya segala keburukan tak perlu diceritakan kepada orang ramai. Jika dipecat, maka segala cerita (fitnah dan tohmah) akan dihebahkan. Ikut resam ahli-ahli MT yang terdahulu, undur dari jawatan lalu segala tuduhan digugurkan.
- DSAI berkali-kali bersumpah "Wallahi" sewaktu membela diri (sambil mengetuk-ngetuk meja dengan geram...siapa yang tak geram bila dituduh berzina, liwat dsbnya).
- MT telah membelakangkan konsep "Seseorang tidak bersalah sebelum dibuktikan kesalahannya oleh mahkamah". Sewaktu DSAI dipecat dari UMNO, bukan saja kesalahannya belum dibuktikan malahan dakwaan terhadap beliau juga masih belum dikemukakan oleh mahkamah.
Namun demikian, pengedaran pita tersebut dibatalkan pada saat-saat akhir atas sebab-sebab yang hanya MT saja tahu. Mungkin UMNO tidak mahu melanggar perintah mahkamah kerana pita tersebut menyentuh isu DSAI atau mungkin UMNO menyedari bahawa pengedaran pita tersebut akan membuka segala pekong di dada.
Sejak lahir lagi saya nampak lambang keris UMNO dan dacing BN. Tapi, akhir-akhir ini sokongan saya terhadap UMNO semakin kendur. Perasaan sayang terhadap UMNO terus malap setelah mendengar pita tersebut. Tingkah-laku ahli MT bak burung kakak tua begitu menyedihkan saya. Taat setia terhadap pemimpin ada hadnya. PM bukannya maksum. PM mungkin tersilap pertimbangan dalam isu DSAI. Saya bukanlah kenal dan sokong DSAI sangat tapi penghinaan dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau tanpa usul periksa amat memalukan agama dan bangsa.
Lagipun, ahli-ahli MT yang bijaksana dan terpelajar seharusnya cuba mengatasi masalah DSAI dengan cara yang lebih baik tanpa memecah-belahkan masyarakat, orang Melayu dan UMNO.
Sama ada DSAI layak menjadi PM atau tidak itu saya tak tahu. Bagi saya, pemimpin perlu ditentukan oleh rakyat jelata dan bukannya oleh segelintir pihak yang berkepentingan. Dalam isu DSAI ini, penduduk Permatang Pauh dan ahli-ahli UMNO sendiri yang berhak menentukan sama ada mereka masih mahukan DSAI atau tidak sebagai pemimpin mereka.
Ahli "Arm No"