KENYATAAN AKHBAR
Pengumuman Ketua Polis Negara, Rahim Nor meletak jawatan berkuatkuasa 8 Jan 1999 biarpun terlewat namun wajar dialu-alukan sesuai dengan semangat Ramadhan Mubarak. Rahim Nor adalah sebahagian daripada mata rantai konspirasi politik tahap tertinggi terlibat menjatuh dan mengaibkan saudara Anwar Ibrahim. Beliau akhirnya terpaksa tunduk akur kepada tekanan rakyat yang cintakan keadilan yang tidak dapat menerima perbuatan polis yang tidak bertamadun, memukul dan menyiksa saudara Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan sehingga pengsan.
Kewibawaan Institusi Polis yang kini berada pada tahap yang rendah, hina dan kotor tetap memerlukan masa untuk pulih. Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap integriti polis benar-benar hancur. Kenyataan Peguam Negara, Mohtar Abdullah yang hanya menyebut pihak polis yang bertanggungjawab mencederakan saudara Anwar tetapi tidak menamakan sebarang individu, sekadar menambahkan kehinaan pada dirinya yang memang telah sedia dipandang hina oleh rakyat. Suatu watak yang menginjak-injak prinsip keadilan dan pertanggungjawaban tanpa rasa bersalah samasekali.
Kenyataan Dr Mahathir yang meminta rakyat tidak menyalahkan keseluruhan institusi polis dianggap sudah terlalu lewat dan terbit dari seorang yang sedang tersepit. Dr Mahathir sendiri sebagai Menteri Dalam Negeri merangkap ketua konspirator yang mempergunakan institusi polis untuk menjatuh dan menghina saudara Anwar Ibrahim semahu-mahunya, adalah penyebab utama kepada kehinaan institusi polis sehingga kini.
Anehnya Dr Mahathir terus berlagak angkuh dan degil. Mengulas tuntutan pelbagai pihak supaya diujudkan segera sebuah Suruhanjaya Penyiasat Bebas, Dr Mahathir dengan acuh tidak acuh menjawab ' saya akan mengkaji, saya belum memikirkannya'. Kalau sebelum ini Dr Mahathir dengan gelojoh menuduh saudara Anwar sengaja mencederakan dirinya, kini setelah terbukti polis yang membelasah saudara Anwar, Dr Mahathir tidak langsung terdetik di hatinya untuk meminta maaf kepada saudara Anwar dan keluarganya.
Kepada Dr Mahathir, meminta maaf tidak pernah ada dalam kamus dirinya. Meminta maaf dianggapnya perbuatan yang paling mengaibkan. Lantaran merasakan dirinya serba hebat dan serba sempurna, terbit dari sifat yang menyerlahkan peribadi angkuh, sombong dan lupa diri. Tempoh 17 tahun berkuasa benar-benar menjadikan Dr Mahathir sudah tidak punya harga diri. Kita menyeru Dr Mahathir menghayati semangat Ramadhan Mubarak dengan bertafakur sejenak melihat ke dalam diri, menginsafi kerakusan dan keterlanjuran tindakannya selama ini terhadap saudara Anwar Ibrahim, isteri dan anak-anaknya juga terhadap ulama dan rakyat jelata.
Semoga pada akhirnya Dr Mahathir turut tergerak untuk mengikuti langkah Rahim Nor, berundur dan mengisi hari-hari tuanya dengan berzikir, perbanyakkan solat dan bertaubat. Agar tindakan Dr Mahathir berundur akan berupa suatu 'hadiah' kepada seluruh rakyat Malaysia. Sementara kepada umat Islam, perletakan jawatan Dr Mahathir menjelang Syawal akan disambut dengan penuh kesyukuran di samping kemenangan membersihkan diri sepanjang Ramadhan.
SAIFUDDIN NASUTION HAJI ISMAIL