Saya sekarang berada di Manila untuk memberi
penerangan kepada masyarakat Filipina tentang perkembangan
politik di Malaysia dan menjelaskan bagaimana Dr. Mahathir
Mohamad melakukan apa saja beraja di mata, bersultan di hati - sekadar
untuk terus berkuasa.
Semalam saya mengadakan mesyuarat dengan Grand
Order of the Knights of Rizal, persatuan yang memberikan penghormatan
tertinggi kepada Saudara Anwar Ibrahim kerana sumbangan beliau memperkembangan
idea dan perjuangan Jose Rizal di luar Filipina.
Pertubuhan tersebut mempunyai cawangan di seluruh dunia dan dianggotai
oleh sarjana dan negarawan seperti Raja Sepanyol dan Henry Kissinger.
Semasa saya bermesyuarat dengan Grand Order
of the Knights of Rizal, Senator Blas F. Ople yang juga Chairman of
Senate Committee on Foreign Relations, memberikan 'privilege speech'
bertajuk 'Anwar Ibrahim in prison, Prometheus bound,' di Dewan Senate.
Beliau menyatakan kekagumannya terhadap kegigihan Saudara Anwar
dalam memperjuangkan kebebasan. Beliau mengutuk penghinaan
yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim, penahanannya di bawah ISA dan layanan
buruk yang diberikandibawah jagaan polis.
Beberapa anggota Grand Order of the Knights
of Rizal berpendapat bahawa Dr. Mahathir adalah lebih kejam dari
Marcos kerana Marcos tidak pernah menghina Banigno Aquino dan Aquino
tidak pernah di pukul semasa dalam tahanan. Bahkan rejim komunis
juga tidak pernah menghina musuh-musuhnya dengan cara yang begitu jijik.
Mereka lebih terperanjat bila mengetahui bahawa yang membelasah Saudara
Anwar adalah Ketua Polis Negara sendiri dan seterusnya berpendapat
bahawa orang yang mengatakan kecederaan Saudara Anwar sebagai 'self-inflicted' sebagai megalomania.
Amat jelas sekali bahawa hari demi hari Dr.
Mahathir Mohamad semakin tersisih. Bahkan beliau telah menjadi
kera sumbang di kalangan pemimpin alam Melayu iaitu Indonesia dan
Filipina, serantau dan dunia. Jika beliau terus berkuasa Malaysia akan
tersisih dan rakyat akan menderita akibat dari penyisihan tersebut.
Telah muncul kata sepakat dari masyarakat
serantau dan juga dunia bahawa Dr. Mahathir kini lebih merupakan
seorang diktator di senja pemerintahannya. Setahun yang lalu
beliau mungkin dilihat sebagai wira dan jurucakap Dunia Ketiga tetapi rakyat
Indonesia hari ini melihat Dr. Mahathir berkelakuan saling tak
tumpah dengan gelagat Soeharto di hari-hari terakhir pemerintahannya.
Rakyat Filipina pula telah menyamakan beliau dengan Marcos.
Dr. Mahathir akan berusaha sedaya upaya agar
pandangan masyarakat serantau dan dunia tidak sampai kepada rakyat.
Beliau akan mengawal media massa dan segala saluran maklumat dengan
seketat-ketatnya. Tetapi rakyat akan tahu juga, melalui internet,
melalui fax, melalui telepon.
Rakyat laparkan maklumat. Dr. Mahathir
memberikan rakyat propaganda. Rakyat Malaysia mahu menjadi warga global,
tetapi Dr. Mahathir ingin membawa Malaysia mengasingkan diri bagai
katak dibawah tempurung.
Dr. Mahathir akan terus menyekat dan menodai
hak rakyat semata-mata untuk terus berkuasa dan merampok saki baki
kekayaan Malaysia untuk diagih-agihkan kepada anak dan kroninya.
Segala dana yang terdapat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga
Urusan Tabung Haji, Lembaga Amanah Tabung Angkatan Tentera dan
Petronas akan digunakanuntuk menyelamatkan syarikat-syarikat anak-anak
dan kroni beliau.
Langkah ini adalah konsisten dengan kenyataan
dan pendirian Dr. Mahathir bahawa kepentingan syarikat-syarikat
besar adalah kepentingan negara. Ini bermakna Dr. Mahathir telah
menyamakan kepentingan negara dengan kepentingan kroni beliau.
Dr. Mahathir tidak pernah menunjukkan simpati
dan rasa prihatin terhadap petani, nelayan, buruh dan golongan
berpendapatan rendah. Beliau telah merosakkan Dasar Ekonomi Baru
yang diasaskan oleh Tun Abdul Razak dari dasar untuk membela nasib
golongan miskin serta pengagihan saksama kepada dasar untuk mencipta
jutawan danbillionaire.
Sekarang apabila jutawan dan billionaire tersebut
sudah dicengkamihutang, matlamat utama dasar ekonomi Dr.
Mahathir adalah untuk menyelamatkan gerombolan jutawan dan billionaire
tersebut sekalipun dengan menggunakan wang simpanan dari keringat
golongan miskin.
Gerakan reformasi yang dilancarkan oleh Saudara
Anwar Ibrahim meletakkan keadilan pengagihan sebagai kunci
kepada pembentukan masyarakat madani. Dr. Mahathir adalah penghalang
utama kepada pembentukan masyarakat madani.
Saudara Anwar dan lain-lain tahanan ISA perlu
dibebaskan dengan serta merta dan tanpa syarat. Selagi Saudara
Anwar dan lain-lain tahanan ISA tidak dibebaskan, selagi itu Malaysia
akan terus terpencil dan diasingkan oleh masyarakat antarabangsa.
Segala masalah dan keperitan yang dideritai
oleh Malaysia hari ini adalah angkara Dr. Mahathir.
Beliau mendakwa untuk menyelamatkan Malaysia. Tetapinya beliau adalah laksana
tikus yang memperbaiki labu. Segala yang beliau lakukan membawa
Malaysia semakin hampir kepada kehancuran. Dr. Mahathir perlu undur.
(digitized signature)
Dr. Abdul Rahim Md. Ghouse
EXCO Pergerakan Pemuda UMNO dan
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang
6 Oktober 1998 - Manila, Filipina