(English
version will be available soon, insha Allah)
Memorandum diRaja
(kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan DYMM
Raja-Raja Melayu)
Bagi Menyelesaikan Krisis Politik Tanahair Masa Kini
Senario perkembangan politik semasa, telah meninggalkan kesan trauma
yang berpanjangan ke atas rakyat Malaysia keseluruhannya untuk merenung nasib masa depan
mereka. Keadaan tidak keruan ini, telah mengundang perasaan cemas, sangsi dan duka
terhadap segala apa yang berlaku dan diperlakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira
aspek perundangan, bagi rakyat yang sentiasa berhasrat menjunjung cita-cita menegakkan
kebenaran dan keadilan untuk semua. Sebagai tanda kasih dan menjunjung tinggi prinsip Raja
Berperlembagaan di negara ini, patik-patik sekalian menuntut campur tangan SPB Yang
DiPertuan Agong dengan disokong oleh Majlis Raja-Raja Melayu dalam membantu menyelesaikan
sengketa politik tanahair atas dasar menjaga perpaduan rakyat berbilang kaum di negara
ini.
Justeru itu, kami rakyat Malaysia berikrar dengan sumpah dan taat setia
menegaskan bahawa:
* Berteraskan kehendak majoriti rakyat dan peruntukan-peruntukan
perlembangan yang memberi kuasa/locus standi kepada DYMM SPB Yang DiPertuan Agong untuk
bertindak.
* Berikut adalah tindakan-tindakan, yang diharapkan dapat diambil dalam kadar segera :
1. DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu haruslah
campurtangan dalam menyelesaikan konflik negara dan mengengkari nasihat-nasihat yang
bertentangan dengan peruntukan dan semangat perlembagaan.
2. Menasihat atau dengan apa cara sekalipun meminta Dr. Mahathir
Mohammad meletakkan jawatan dan membubarkan Parlimen serta-merta sekaligus mengumumkan
tarikh pilihanraya umum.
3. Memastikan ahli-ahli politik diawasi di bawah peruntukan
perlembagaan dan menyarankan kepada mereka kepentingan untuk memahami separation of
powers.
4. Mengutuk kaedah pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim yang
melambangkan proses rules of law dikhianati dan dipergunakan untuk menjaga
kepentingan golongan-golongan tertentu. Akibatnya, berlaku perlanggaran kaedah dan hak
asasi manusia.
Patik-patik sekalian mempersembahkan ikrar sumpah dan taat setia ke
bawah DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu selaku payung negara.
Patik-patik sekalian memohon limpah perkenan dan kurnia DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan
DYMM Raja-Raja Melayu bertindak segera menyelamatkan keadaan politik semasa serta
menyelamatkan kedudukan DS Anwar Ibrahim demi kepentingan negara yang tercinta. Segala
kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku jika dibiarkan, akan mencemar kedaulatan DYMM SPB
Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara dan menghina maruah kebebasan rakyat Malaysia.
Atas limpah perkenan DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu patik
sekalian menjunjung kasih.
DAULAT TUANKU.
|