RENCANA PENGARANG RN

KHAMIS, 10 DISEMBER 1998

MEREMEHKAN TUDUHAN DALAM INTERNET

Perbicaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kepada rakyat biasa akan perilaku beberapa individu pegawai tertinggi dalam perkhidmatan kerajaan yang membuktikan mereka itu tidak mempunyai sikap, etika dan disiplin profesional yang sewajibnya ada kepada orang-orang seperti mereka.

Halaman Internet menyiarkan gambar-gambar autentik berkenaan orang-orang yang memegang jawatan mahapenting seperti Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara dengan isteri masing-masing sedang makan-makan angin dengan orang-orang yang pada waktu itu mempunyai kes di mahkamah.

Walaupun gambar-gambar mereka berdua sudah lama disiarkan, sehingga hari ini mereka masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menafikan tuduhan-tuduhan yang tersiar di dalam Internet.

Kita tidak menafikan bahawa tersiarnya gambar-gambar seperti itu belum bermakna Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara kita mengamalkan rasuah sehingga akibatnya mahkamah membuat keputusan-keputusan yang memihak kepada orang-orang yang bersama mereka di dalam gambar-gambar tersebut.

Sikap mereka yang tidak mahu menafikan tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas diri mereka tentulah mendorong rakyat yakin bahawa tuduhan-tuduhan yang disiarkan di dalam Internet itu adalah betul.

Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara mungkin mengambil keputusan tidak menafikan tuduhan-tuduhan itu atas alasan Internet tidak boleh dilayan. Tetapi mereka patut menyedari bahawa Internet mendapat kepercayaan yang amat tinggi daripada rakyat. Apatah lagi apabila tuduhan-tudahan Internet itu disertakan dengan gambar-gambar autentik.

Penyiaran gambar-gambar Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara makan-makan angin di luar negeri dengan orang-orang yang berkepentingan amatlah serius implikasinya ke atas minda rakyat.

Ini lebih-lebih lagi apabila Internet juga menyiarkan banyak surat-surat yang mengandungi pelbagai maklumat tentang perilaku menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang lain.

Salah satu surat seperti itu ialah berkenaan Gabenor Bank Negara sekarang, yang dituduh di dalam Internet mengamalkan rasuah dengan kuatnya sewaktu beliau menjadi Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Dikatakan Biro Pencegah Rasuah pernah menggelidah pejabat beliau dan menjumpai wang tunai lebih daripada RM600 ribu ringgit di dalam laci meja pejabatnya.

Seperti Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara, Gabenor Bank Negara juga sampai hari ini tidak menafikan tuduhan tersebut. Malah belum ada mana-mana pihak yang menafikan tuduhan terhadap mereka bertiga, tidak juga Perdana Menteri sendiri yang menaikkan jawatan beliau menjadi Bank Negara sehingga ada suara-suara berkata perlantikan itu ibarat"melantik pencuri menjadi bendahari."

Ketua Hakim Negara, Peguam Negara, Gabenor Bank Negara dan Perdana Menteri sendiri mungkin mengambil sikap tidak mahu menafikan tuduhan-tuduhan dalam Internet itu disebabkan mereka menganggap Internet adalah kotak mainan generasi muda oleh itu tidak perlu dilayan.

Tetapi mereka lupa bahawa kredibiliti Internet adalah tinggi di mata rakyat sekarang. Sikap tidak mahu menafikan tuduhan-tuduhan dalam Internet bermakna mereka memperjudikan kepercayaan rakyat terhadap integriti pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, terhadap sistem kehakiman, terhadap polis, terhadap UMNO dan terhadap kerajaan yang memerintah.

Sekiranya mereka menganggap Internet adalah sesuatu yang boleh diremehkan, mereka patut merenungkan kaitan antara Internet dengan penghijrahan ahli UMNO yang berbondong-bondong masuk PAS, juga dengan hasil survei yang dijalankan oleh Institut Lim Kok Wing baru-baru ini tentang kredibiliti Perdana Menteri di mana survei itu menunjukkan 95 peratus rakyat tidak percaya lagi kepada beliau. TAMAT.