SIAPA AGEN CIA ?

Negara digemparkan dengan berita berhubung penglibatan pemimpin besar negara terlibat dengan agen negara asing. Heboh diperkatakan tentang gejala pengkhianatan terhadap negara oleh pemimpin tertentu. Persoalannya, siapakah pemimpin tersebut? Sejauh manakah penglibatannya dengan agen negara asing? Apakah jenis maklumat yang dikatakan diberikan kepada pihak asing? Apakah implikasi dari perbuatan tersebut? Apakah sudah terdapat bukti jelas berhubung dengan perbuatan tersebut? Kenapa isu pengkhianatan negara ini dihebohkan tanpa dibuktikan terlebih dahulu? Dan beberapa persoalan lain yang berkaitan.

Pada awal tahun 80'an negara dikejutkan dengan penglibatan sdr Siddiq Ghouse (Setiausaha Politik Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada ketika itu) sebagai agen KGB (agen perisikan Soviet Union). Tindakan tegas telah diambil oleh kerajaan dibawah kepimpinan Almarhum Tun Hussien Onn terhadap pengkhianat tersebut. Datuk Harun Idris juga pernah menulis sebuah buku berhubung dengan gerakan Free Mason tajaan Yahudi Zionis dengan mengemukakan beberapa nama pertubuhan dan individu tertentu yang turut terlibat dengan gerakan ini. Berdasarkan kepada beberapa peristiwa dan catitan ini jelas kepada kita bahawa negara kita tidak terlepas dari terjebak dengan kegiatan yang mengkhianati negara.

Bila kita membicarakan siapa sebenarnya agen kepada agensi-agensi khas ini sama ada CIA atau KGB atau Mossad dan sebagainya ianya amat sukar. Ini kerana setiap individu yang terlibat kadang-kadang tidak menyedari tentang penglibatan mereka. Agen-agen ini bergerak dan bertindak tanpa sedar atau disedari oleh orang disekeliling mereka.

Agen tidak mengenali antara satu dengan yang lain. Mereka bergerak secara cukup halus dan meyakinkan. Kekadang orang yang paling kita sanjung dan rapat dengan kita itu adalah agen kepada agensi-agensi ini. Mereka mungkin pemimpin politik, tokoh masyarakat, pemimpin koperat, pegawai kanan kerajaan, pegawai tertinggi dalam pasukan keselamatan seperti polis dan tentera atau pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kita sedia maklum bahawa di dunia ini berlaku suatu pertembungan hebat antara timur dan barat atau dengan bahasa mudahnya ialah pertembungan antara Islam dan musuh-musuhnya (barat).

Kejayaan revolusi Islam di Iran cukup membimbangkan mereka. Iran dibawah pimpinan Khomeini telah dilihat sebagai faktor kepada suatu kebangkitan baru umat Islam walaupun berbeza mazhab. Dalam merangka strategi jahat untuk menghancurkan kebangkitan Islam pihak CIA telah menggunakan Saddam Hussien untuk melumpuhkan kekuatan Iran. Strategi ini tidak berjaya apabila Iran terus kukuh dan dalam masa yang sama politik Iraq bergelora dengan kebangkitan baru dari kalangan 60% populasi Iraq yang bermazhab Syiah. CIA merencanakan supaya perang Iran-Iraq ditamatkan bagi membolehkan Saddam mengawal keadaan dalam negara dan megembalikan sokongan rakyat kepada beliau disamping melumpuhkan kebangkitan Islam di Iraq. Dalam masa yang sama CIA mengarahkan Kuwait untuk bertindak mendesak Iraq melangsaikan hutangnya dengan kadar segera. Keadaan ini telah memaksa Iraq untuk menyerang Kuwait yang akhirnya menyaksikan kejayaan CIA yang terbesar dalam usaha untuk menghancurkan kekuatan umat Islam di rantau Teluk Parsi dan Semenanjung Arab.

CIA terus menjalankan perancangan jahat mereka dengan menggunakan PBB untuk memaksa serangan tentera ke atas Iraq dan dalam masa yang sama menasihati Saddam supaya menyerang Israel bagi meraih simpati negara-negara Islam lain. CIA terus berperanan menasihati Iraq untuk mengugut Arab Saudi bagi mengalih perhatian negara Islam terkaya dan paling berpengaruh untuk menyokong operasi "Desert Storm" tajaan CIA. Akhirnya Arab Saudi dibawah pimpinan kerajaan boneka Amerika ini bersetuju untuk menyokong operasi ketenteraan ini dengan membenarkan tentera bersekutu beroperasi dari dalam negara Arab Saudi dan sanggup membiayai keseluruhan kos perang Teluk. Diakhir episod ini kita menyaksikan kehancuran Iraq, Kuwait, Arab Saudi (berhutang dengan Bank Dunia melebihi 7 billion untuk membiayai kos perang), Palestine dan perpaduan umat Islam sedunia.

Sehingga hari ini Saddam terus menunjukan sikap keras dan tegasnya terhadap barat. Menentang barat secara terbuka, mengkritik barat terutamanya Amerika Syarikat. Kesan dari itu rakyat terus menyokong Saddam disamping terus menderita dengan tekanan antarabangsa. Saddam dilihat sebagai pejuang bangsa dan agamanya. Hakikatnya Saddam adalah pengkhianat Agama dan Bangsanya sendiri. Apakah barat atau CIA tidak boleh membunuh Saddam sebagaimana mereka lakukan terhadap pejuang-pejuang Islam di Algeria, Mesir, Tunisia dan beberapa negara umat Islam lain. Jawabannya ialah kerana Saddam adalah aset utama mereka dalam menghancurkan umat Islam dan kebangkitan Islam di rantau itu. Justeru itu pemimpin yang kuat menghentam barat tidak semestinya bermusuh dengan barat bahkan mereka adalah agen barat dengan meraih simpati rakyat yang rata-ratanya anti kepada barat. Kesan dari tindakan 'berani' pemimpin ini rakyat terpaksa menderita.

Satu lagi agen yang dibela oleh CIA adalah Kolenal Muammar Gaddafi di Libya. Kenapa Libya menjadi sasaran CIA selain Iraq?. Libya dikenali sebagai antara nagara penyumbang utama kepada pembangunan masyarakat Islam minoriti di seluruh dunia. Jutawan-jutawan Libya menyumbang kepada pembinaan sekolah-sekolah agama rakyat, badan-badan da'wah, pembiayaan pelajaran dan sebagainya kepada masyarakat Islam terutamanya di negara-negara bukan Arab seperti di Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Myanmar, Cambodia dan Vietnam). Kegiatan ini amat tidak disenangi oleh CIA, maka mereka telah menaja Kolenal Gaddafi untuk menggulingkan kerajaan sedia ada melalui rampasan kuasa oleh tentera.

Rampasan kuasa ini tidak didokong oleh rakyat kebanyakan. Oleh yang demikian kedudukan Gaddafi goyah dan lemah. Pendekatan yang hampir serupa digunakan oleh CIA dalam menasihati Gaddafi iaitu tentang barat, dapatkan sokongan rakyat dan hancurkan negara melalui serangan dan tindak balas barat yang menggunakan PBB. Peristiwa letupan pesawat Pan Am di Lockerbee yang mengaitkan 2 warganegara Libya (tanpa bukti hingga kini) hanyalah lakonan dan mainan pihak CIA. Kejadiaan ini telah dijadikan alasan kukuh untuk menghukum rakyat Libya dengan mengenakan sekatan udara, ekonomi dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu Amerika bertindak sendirian dengan menyerang Libya yang turut mengorbankan salah seorang anak Gaddafi sendiri. Dalam masa yang sama CIA terus menasihati Gaddafi supaya jangan menyerah 2 warga negaranya untuk diadili dengan harapan tindakan terus boleh diambil terhadap Libya dan rakyatnya.

Gaddafi terus dinasihati oleh CIA untuk bertegas dan menghentam barat disamping meraih simpati rakyat dan beberapa negara yang terus buta dengan lakonan CIA ini. Hasilnya Gaddafi terus berkuasa dan rakyat terus menderita dan tamatlah episod bantuan Libya kepada umat Islam di seluruh dunia.

Persolan yang timbul kini, apakah CIA tidak boleh menghapuskan Gaddafi dari bumi Libya jika beliau yang menjadi kepala pengganas. Hakikatnya Gaddafi adalah terlalu penting bagi CIA untuk terus menghancurkan kebangkitan Islam di Libya. Ya, Gaddafi menentang barat, menjadi juara dan hero kepada rakyat tetapi apa untungnya kepada perjuangan Islam dan sumbangan kepada kebangkitan Islam. Gaddafi sebenarnya adalah pengkhianat agama dan bangsanya.

Demikian juga halnya di Malaysia negara kita yang tercinta. Dengan jatuhnya Suharto, diktator yang didokong oleh agen asing dan naiknya Habibie yang tidak berapa digemari CIA benar-benar mengancam perancangan mereka dirantau ini.

Kekosongan kuasa tertinggi Indonesia yang sebagaimana diharapkan oleh CIA (untuk kembali dikuasai oleh ABRI) tidak berlaku ketika peralihan kuasa. Kuasa Allah telah menentukan segala-galanya. Hati suharto berubah disaat akhir untuk tidak terus menjadi pengkhianat kepada bangsanya dengan melantik Habibie sebaik sahaja melepaskan jawatan tersebut. Kesan dari tindakan tersebut IMF terus menahan bantuan terhadap Indonesia.

Kebimbangan terhadap kebangkitan Islam di Malaysia yang amat berpengaruh di rantau ini amat digeruni. Jika pengaruh Islam dokongan Habibie terus utuh di negara yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia disokong oleh kebangkitan Islam di Malaysia ianya akan menjadi ancaman besar kepada CIA dan barat. Pengaruh dan suara Islam di Malaysia semakin hari semakin kuat dan bertenaga. Fenomena ini lebih dirasai dengan kejayaan proses Islamisasi yang dipelopori oleh sdr Anwar Ibrahim. Masyarakat Islam di Malaysia mula merasai nikmat hidup beragama melalui proses ini yang berlaku secara teratur dan terancang. Pengaruh Islam sudah mula melatari di setiap pelusuk dan sanubari rakyat.

Islam sudah dipandang tinggi dan mulia dalam masyarakat. Dokongan rakyat semakin padu terhadap kerajaan hasil kebangkitan ini. Inilah tujuan Dr Mahathir memasukkan sdr Anwar kedalam kerajaan. Dr Mahathir sedar bahawa rata-rata pendokong dan pemimpin UMNO tidak membawa imej 'reformer' atau perobah yang mampu mencorakan negara sebagaimana kemampuan yang dimiliki sdr Anwar. Imej ustaz atau guru agama dalam UMNO gagal benar-benar merobah rupa bentuk masyarakat dan meraih simpati rakyat yang mencintai Islam (termasuk Dr Mahathir sendiri). Dr Mahathir sedar akan kelemahan ini, justeri itu Anwar diperlukan.

Keupayaan dan kemampuan sdr Anwar rupa-rupanya sudah melebihi apa yang disangkakan. Beliau terus berjuang menempatkan diri disamping membantu mengukuhkan kedudukan Dr Mahathir. Ini dapat disaksikan melalui jatuh dan tumpasnya satu persatu musuh-musuh politik Mahathir. Dr Mahathir semakin dilihat sebagai pejuang Islam dan pendokong kuat Islam sama ada di dalam mahu pun di luar negara hasil dari pengaruh program Islamisasi dokongan Anwar. Dalam masa yang sama cengkaman Anwar makin mendalam dan kuat dalam kerajaan dan parti. UMNO yang dahulunya dikenali sebagai parti 'Assabiyah Melayu' sudah mula bertukar wajah kepada Islam. Masyarakat sudah mula menerima kebangkitan Islam ala Malaysia yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Rupa-rupanya fenomena ini amat tidak disenangi oleh CIA dan agen-agennya termasuk yang menjadi agen secara sedar atau tidak. Bagi mereka Islam tidak boleh dibiarkan bangkit di rantau ini, apatah lagi dengan kegagalan mereka di Indonesia. Keadaan di Malaysia harus dikawal sebaik mungkin dan mereka telah mempersiapkannya terlebih dahulu dengan memastikan kepemimpinan tertinggi negara iaitu Perdana Menteri harus akur mengikut rentak mereka. Kaedah dan nasihatnya adalah sama sebagaimana yang mereka lakukan terhadap Saddam dan Gaddafi. Mereka menasihati Dr Mahathir supaya terus lantang mengkritik barat dan menunjukkan permusuhan dengan barat. Dengan cara ini simpati dan sokongan rakyat akan terus kukuh kepada beliau. CIA juga mengarahkan beberapa negara Islam yang berada dibawah telunjuk mereka untuk terus mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh Dr Mahathir dalam membela negara dunia ketiga. Ini manambahkan lagi keyakinan rakyat terhadap kehebatan dan ketokohan Dr Mahathir.

Dalam masa yang sama CIA terus menggunakan media luar negara Malaysia bagi menonjol dan menyokong Anwar. Anwar terus diberi pengikhtirafan di barat. Disambut dengan permaidani merah dan tembakan meriam ketika berkunjung ke Amerika Syarikat. Ditatang oleh barat agar menimbulkan syak dan wasangka terhadap Anwar dikalangan rakyat. Dimasa yang sama Dr Mahathir terus menghentam barat dan sekutunya sehingga terlihat seolah-olah Anwar bersama barat dan Dr Mahathir bersama rakyat. CIA telah mengkaji psikologi masyarakat Malaysia terutamanya Melayu, bahawa mereka terlalu bencikan penjajah barat. Berbaik dan bersekongkol dengan barat secara terang-terangan adalah suatu pengkhianatan besar terhadap negara. Masyarakat melihat keadaan ini tetapi hakikatnya adalah sebaliknya. Persekongkolan secara senyap dan tersembunyi itu lebih bahaya dan merupakan pengkhianat yang tidak boleh diampun. Berlakon dihadapan rakyat memusuhi barat tetapi patuh kepada telunjuk barat di belakang rakyat.

CIA juga menggunakan Singapura sebagai sasaran kecaman dan serangan oleh Dr Mahathir dalam usaha untuk meraih sokongan rakyat termasuk pihak pembangkang. Isu demi isu ditimbulkan oleh Dr Mahathir berhubung dengan Singapura. Sejuk isu Tanjung Pagar dipanaskan pula dengan isu air kemudiaannya isu keselamatan ruang udara dan pelbagai lagi isu yang akan terus dimainkan oleh Dr Mahathir mengikut rentak nasihat oleh CIA. Rakyat dapat merasai fenomena ini setiap kali menghampiri pilihanraya atau pemilihan parti. Rakyat juga jangan terkejut sekiranya sampai kepada satu peringkat dimana Dr Mahathir akan mengistiharkan perang terhadap Singapura dan mengarahkan seluruh rakyat untuk memberikan sokongan padu bagi melancarkan serangan ketenteraan terhadap Singapura tanpa sebab yang jelas.

Kemunkinan kearah itu semakin jelas apabila Malaysia mengistiharkan untuk memutuskan hubungan ketenteraan dengan Singapura. Dr Mahathir akan melakukan apa sahaja mengikut telunjuk penasihat-penasihat politik beliau sebagaimana Saddam melancarkan perang terhadap Kuwait. Akhirnya kita akan menyaksikan satu lagi rantau yang segar dengan kehijauan Islamnya hancur ditangan umatnya sendiri hasil telunjuk musuh-musuh Islam.

Apa yang penting dalam percaturan politik CIA ialah Islam tidak boleh dibenarkan bangkit di rantau ini. Oleh yang demikian, Dr Mahathir mesti terus berkuasa dan CIA akan memastikan hal ini berlaku sebagaimana mereka lakukan terhadap Saddam dan Gaddafi. Anwar tidak boleh dibiarkan terlepas sebagaimana Habibie. Anwar harus dibunuh politiknya sebelum ia bangkit menjadi barah yang sukar dikawal oleh CIA.

Tidak mustahil jika mereka gagal membunuh politik Anwar, mereka akan membunuh secara fizikal. Bagi mereka biar negara tergadai kepada Solomon, Smith & Barney (syarikat pelaburan Amerika milik penuh yahudi), biar rakyat menderita dan sengsara akibat pergaduhan dan peperangan, kerana apa yang penting Dr Mahathir akan terus berkuasa dan memerintah sehingga mereka menemui agen baru yang mampu menggantikan beliau (Dr Mahathir). Bagi CIA yang penting adalah untuk memastikan Islam berkubur di bumi Malaysia dan rantau Asia Tenggara.

Persoalannya sekarang siapakah sebenarnya agen negara asing dan pengkhianat negara?.