(Kami perturunkan terjemahan affidavit Dr. Munawar Ahmad Anees untuk memperjelaskan betapa keji dan hinanya perbuatan POLIS Malaysia di dalam tindakan mereka yang mereka banggakan sebagai "profesional". Tindakan mereka, melalui pendedahan affidavit ini sekali lagi menguatkan pendapat kami terdahulu : bahawa Polis malaysia memang binatang! - mz)
PENGAKUAN BERSUMPAH DR. MUNAWAR AHMAD ANEES - BHG 1
Saya, Dr. Munawar Ahmad Anees, NRIC No: 480927-71-5139, di alamat No. 474, Lorong 17/13A, Happy Garden, Petaling Jaya dan Penjara Kajang (Banduan No: BKJ 7175/98 HL) dengan ini membuat pengakuan seperti yang tertera berikutnya:
1. Lebih kurang pukul 10.30 pagi pada 14 September 1998, saya berada di rumah saya beralamat No. 474, Jalan 17/13A, Happy Garden, Petaling Jaya.
2. Saya baru sahaja mula memeriksa e-mail saya di komputer apabila saya menyedari lebih kurang 10 hingga 12 orang tiba-tiba memasuki perkarangan rumah saya. Pintu pagar hadapan utama ke rumah saya sedang terbuka pada waktu itu. Saya mendengar bunyi orang bising di dalam rumah. Saya turun ke bawah dari tingkat satu rumah saya dan dalam perjalanan turun memberitahu isteri saya, Nadia, adanya ramai orang yang tiba-tiba datang ke rumah. Beliau juga turun ke bawah.
3. Sebaik sahaja saya memasuki ruang tamu di tingkat bawah, seorang daripada kumpulan yang besar datang kepada saya dan memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Mazlan. Beliau memberitahu saya bahawa dia menahan saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mengancam keselamatan negara Malaysia. Beliau terus menggari saya. Pada waktu itu saya menyedari sebahagian daripada kumpulan yang datang tersebut telah mempersilakan diri mereka duduk di atas kerusi di ruang tamu manakala yang lainnya sedang bercakap dengan pemandu saya.
4. Kesemua mereka memakai pakaian biasa dan tidak kelihatan sebarang pengenalan pada diri mereka yang menunjukkan bahawa mereka adalah anggota polis. Saya tidak pernah ditunjukkan sebarang waran untuk penahanan saya. Tidak seorang pun menunjukkan sebarang waran geledah.
5. Sebaik sahaja saya digari, seorang yang tidak memperkenalkan dirinya telah meminta untuk pergi ke bilik menelaah (Study Room). Saya meminta supaya gari saya dibuka. Beliau menolak. Di antara 5 hingga 6 orang pergi ke bilik menelaah. Dari gaya mereka berjalan di dalam rumah saya menunjukkan kebiasaan mereka dengan rumah saya. Mereka memasuki bilik menelaah saya tanpa kebenaran dan menggeledah seluruh bilik. Mereka memeriksa segala benda di situ : semua laci-laci, komputer, software, kertas-kertas, majalah-majalah, buku-buku, segala benda yang berada di situ. Penggeledahan yang memenatkan ini mengambil masa lebih kurang satu jam. Mereka begitu cuai dan rakus di dalam penggeledahan mereka dan tidak menunjukkan sebarang rasa hormat terhadap barang orang. Mereka mengeluarkan segala benda yang mereka boleh ambil : video, tape audio, dokumen faks, disk, buku-buku, gambar-gambar, majalah-majalah. Mereka juga telah membuka beberapa pucuk surat yang baru sampai melalui pos dan masih belum dibuka. Mereka mengambil barang dari laci-laci, rak buku dan dari dalam fail-fail. Mereka juga mengambil dokumen cukai pendapatan saya dan gambar-gambar peribadi dan keluarga saya yang berada di situ.
6. Pada satu ketika, seorang daripada kumpulan tersebut menanya saya mengenai bilik yang bertentangan dengan bilik menelaah saya. Saya memberitahu lelaki tersebut bahawa bilik itu adalah bilik anak perempuan saya. Beberapa orang masuk ke bilik tersebut tetapi saya tidak tahu, jikalau ada apa-apa, yang telah dikeluarkan dari bilik tersebut.
7. Isteri saya berada bersama saya sepanjang masa. Beliau begitu takut dan amat terkejut dengan apa yang telah terjadi kepada kami di rumah kami sendiri dan beliau menggeletar ketakutan. Beliau memegang saya dan kami berdua cuba memberi semangat kepada satu sama lain, beliau lebih daripada saya kerana pada waktu itu saya sedang mengalami kesakitan akibat degupan jantung yang laju. Saya meminta air daripada isteri saya. Beliau memberikan saya air.
8. Polis meletakkan kesemua benda yang diambil daripada tingkat satu rumah saya dan bilik menelaah saya ke dalam sebuah kotak kadbod yang telah mereka bawa bersama. Mereka membawa saya turun ke ruang tamu dan di situ mereka mengumumkan untuk membawa saya pergi. Saya langsung tidak diberitahu apakah kesalahan saya dan tidak langsung ditunjukkan sebarang waran geledah atau waran tangkap.
9. Saya berpaling kepada isteri saya dan memegangnya. Beliau sudah ditahap tangisan dan kata perpisahan yang saya ucapkan kepadanya ialah supaya tabah.
10. Saya tidak pernah berjumpa dengan isteri saya lagi sehingga 19 September 1998 apabila saya dibawa ke mahkamah oleh pihak polis.
11. Polis membawa saya keluar secara kasar dari rumah dengan menarik gari saya. Saya diletakkan di tempat duduk belakang sebuah kereta Proton yang tidak bertanda yang telah pun dipandu masuk ke perkarangan rumah saya. Inspektor Mazlan duduk di tempat penumpang bahagian hadapan kereta dan dua orang pegawai mengapit saya di bahagian belakang.
12. Selepas lebih kurang setengah jam perjalanan kereta, saya tiba di sebuah tempat yang saya fikirkan Balai Polis Jalan Travers. Kesemua pegawai polis turun dari kereta dan sekali lagi saya dibawa keluar secara kasar dari kereta. Baki kumpulan polis yang ada di rumah saya tadi juga tiba sebentar kemudian.
13. Pernafasan saya pada waktu itu semakin sukar kerana degupan jantung saya semakin teruk dan tangan saya telah kebas. Saya mengadu kepada Inspektor Mazlan tetapi beliau tidak mengendahkan permintaan saya untuk mendapatkan rawatan perubatan ke atas keadaan jantung saya.
14. Saya telah dibawa ke dalam sebuah bilik di dalam bangunan Balai Polis. Di situ saya telah disuruh berdiri sementara seorang daripada mereka mengosongkan isi kotak kadbod ke atas sebuah meja besar dan mula mengumpul dan mengkelaskan barang-barang yang telah diambil dari rumah saya. Inspektor Mazlan kemudiannya mula menulis sebuah senarai barang dan setelah selesai meminta saya menandatangani beberapa dokumen. Saya tidak diberikan salinan dokumen-dokumen tersebut dan tidak juga dibenarkan membaca. Saya tidak mengetahui langsung apa yang telah direkodkan di dalam dokumen-dokumen tersebut dan samada senarai yang dibuat mengenai barang-barang yang diambil dari rumah saya adalah senarai yang lengkap.
15. Sepanjang proses tersebut saya berada di dalam keadaan bergari dan berdiri.
16. Setelah mereka selesai, salah seorang pegawai yang duduk di meja berpaling ke arah saya dan memberitahu saya, sekali lagi, bahawa saya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi tidak memberikan apa-apa butiran mengenai kesalahan atau pun sebarang sebab mengapa saya ditangkap. Dia hanya memberitahu saya bahawa saya menjadi ancaman kepada Malaysia. Saya tidak memahami langsung kesemua ini kerana saya tidak pernah terlibat dengan sebarang kegiatan yang boleh dianggap sebagai mengancam keselamatan negara sepanjang berada di Malaysia. Beliau kemudiannya mahukan maklumat peribadi saya dan juga keluarga saya dan mula mencatitkannya. Beliau menanya butir-butir peribadi saya dan keluarga saya. Pegawai tersebut tidak pernah langsung memperkenalkan dirinya. Dia menulis segala maklumat yang telah saya berikan di atas kertas dan meminta saya menandatanganinya. Apabila saya meminta untuk membaca apa yang telah ditulis beliau menyuruh saya menandatanganinya sahaja dan jangan menggangu kerjayanya. Saya menandatanganinya.
17. Sepanjang waktu tersebut, degupan jantung saya yang laju menyebabkan saya mengalami kesusahan bernafas. Saya mengadu sekali lagi yang saya memerlukan rawatan perubatan. Permintaan saya tidak diendahkan sekali lagi, tetapi saya telah diberikan segelas air dan sebatang rokok untuk dihisap. Saya rasa "ringan kepala" yang pelik selepas menghisap rokok tersebut.
18. Saya ditahan di bilik tersebut sepanjang masa.
19. Seketika kemudian, seorang pegawai polis lain masuk membawa sepucuk dokumen bertaip yang beliau beritahu adalah laporan rasmi polis. Ianya di dalam Bahasa Malaysia dan sekali lagi saya disuruh secara biadap untuk menandatanganinya sahaja. Saya pun menandatanganinya. Saya tidak dibenarkan membacanya dan tidak juga dibacakan kepada saya atau diterjemahkan kepada saya.
20. Kesemua benda yang telah diambil dari rumah saya dimasukkan kembali ke dalam kotak kadbod. Setelah mereka selesai, Inspektor Mazlan datang kepada saya dan memberitahu saya yang saya sekarang diserahkan kepada orang lain. Beliau tidak memperkenalkan mereka tetapi memberitahu saya yang saya berada dalam keadaan selamat dan saya mesti bekerjasama dengan mereka. Dia kemudiannya meninggalkan bilik tersebut.
21. Selepas Mazlan pergi, dua orang lelaki yang berada di bilik tersebut datang kepada saya dan memegang saya dengan amat kuat hinggakan saya tidak dapat bergerak langsung. Orang yang ketiga datang kepada saya dan menutup mata saya. Saya kemudiannya dipimpin keluar dari bilik dan diheret ke dalam sejenis kenderaan. Proses memasukkan saya ke dalam kenderaan tersebut mengambil masa yang lama. Saya tidak nampak apa-apa disebabkan ikatan mata. Ianya diperlukan untuk menaiki beberapa anak tangga untuk masuk ke dalam kenderaan tersebut. Semasa pegawai-pegawai tersebut cuba memimpin saya, saya rasa kaki dan tangan saya begitu lemah dan berat. Saya rasakan susah untuk berjalan dan bergerak. Akhirnya saya dimasukkan ke dalam sebuah benda yang
diperbuat daripada besi seakan-akan sangkar di dalam kenderaan tersebut. Benda itu, setelah diperiksa dengan tangan, berbentuk segitiga dan tersangat kecil hinggakan saya hanya boleh merengkok di dalamnya. Saya dibiarkan sendirian seketika di dalam sangkar di bahagian belakang kenderaan. Ianya begitu panas dan kekurangan udara. Setelah beberapa ketika, kedengaran bunyi enjin dihidupkan dan kenderaan bergerak.
22. Saya fikir kenderaan tersebut bergerak selama lebih kurang 30 hingga 40 minit. Apabila perjalanan tamat, kenderaan tersebut berhenti dan saya dengar bunyi pintu besi dibuka dan tapak kaki masuk ke dalam kenderaan. Saya ditarik keluar dari sangkar dan kemudiannya kenderaan.
23. Saya tidak mempunyai sebarang idea di mana saya berada.
24. Masih dengan mata tertutup dan tangan bergari, saya telah dipimpin/diheret oleh dua orang lelaki. Saya dengar tapak kaki lain di sekeliling saya pada waktu itu tetapi tidak seorang pun bercakap kepada saya atau pun sesama mereka. Saya dapat mengingati yang saya dibawa melalui beberapa pintu kerana saya mendengar pintu-pintu itu dibuka dan ditutup.
Mereka akhirnya berhenti dan seorang telah membuka penutup mata saya dan gari pada tangan saya.
25. Saya dapati saya berada di dalam sebuah bilik kecil. Terdapat 4 orang lelaki di bilik tersebut. Kesemua mereka bepakaian biasa dan terus bersikap agresif terhadap saya. Mereka begitu biadap dan bahasa yang mereka gunakan adalah amat kasar. Mereka menyuruh saya berbogel. Saya cuba membantah namun tidak mempunyai apa-apa pilihan selain menuruti arahan mereka.
26. Pakaian, kasut slipper, jam tangan dan kacamata saya ditanggalkan.
27. Salah seorang daripada mereka kemudiannya mengambil cap jari saya. Ianya memakan masa yang lama kerana beliau mengambil cap jari untuk lebih kurang 10 borang atau dokumen.
28. Berat badan saya kemudiannya ditimbang. 29. Sepanjang waktu itu, keempat-empat lelaki tersebut sentiasa mencaci saya dengan stail yang sungguh memalukan. Saya telah ditolak ke dinding dan ketinggian saya diambil.
30. Saya kemudiannya diberikan seluar tidur berwarna biru tua yang longgar dan satu baju-T. Saya disuruh memakainya. Saya memakainya. Saya kemudiannya ditutup mata, digari dan dibawa melalui beberapa siri pintu dan kemungkinan juga menaiki anak-anak tangga.
31. Akhirnya saya ditolak masuk melalui sebuah pintu dan penutup mata saya dibuka, mata saya cuba menyesuaikan dengan keadaan cahaya sekeliling dan saya dapati diri saya berada di sebuah bilik kurungan yang saiznya lebih kurang 8 kaki persegi. Terdapat dua buah pangkin kayu terletak bertentangan dengan dinding, setiap satu di sebelah dinding. Tidak ada sebarang perabot langsung. Bilik kurungan tersebut tidak mempunyai tingkap dan peredaran udara hanyalah melalui 2 buah lubang kecil sebesar lubang tikus di bahagian bawah salah satu dinding. Tidak ada katil atau pun selimut. Terdapat sehelai tuala kecil yang nipis di atas salah satu pangkin dan sebuah mangkuk plastik di sebelahnya. Bilik kurungan tersebut dilimpahi dengan cahaya lampu yang amat terang oleh sebuah lampu siling yang tidak pernah ditutup sepanjang waktu saya ditahan di situ. Silau cahaya tersebut tidak dapat dielak langsung dari mana-mana posisi bilik tersebut. Terdapat sebuah kipas pengudaraan tua di salah satu dinding yang membuat bunyi bising yang tidak henti-henti. Kipas pengudaraan tersebut tidak mengedarkan udara langsung dan tidak pernah ditutup. Tidak ada bunyi luar yang dapat menembusi pintu tersebut. Bilik kurungan itu sememangnya kalis bunyi walaupun sekali-sekala saya terdengar orang batuk atau bernafas dengan kuat apabila saya dipimpin keluar dari bilik kurungan menuju beberapa tempat lain.
32. Sebelum penangkap saya meninggalkan bilik kurungan, saya diberitahu sekali lagi dengan secara kasar dan biadap, bahawa mulai sekarang saya tidak mempunyai nama atau identiti, saya hanyalah nombor 26 dan mesti menyahut setiap kali dan setiap masa nombor itu dipanggil.
33. Lebih kurang 10 ke 15 minit kemudian, pintu bilik kurungan dihempas buka dan seorang lelaki masuk dan menjerit '26'. Saya lambat menyahut dan telah teruk dicerca kerana itu. Saya kemudiannya ditutup mata dan digari lagi, dipimpin keluar dari bilik kurungan lebih kurang 10 langkah. Apabila penutup mata dibuka saya dapati saya berada di sebuah bilik lain. Seorang lelaki dengan sebuah kamera berada di situ. Gari saya dibuka dan lebih kurang 20 hingga 30 gambar saya diambil dari berbagai sudut. Saya kemudiannya dihantar pulang ke bilik kurungan.
34. Bilamana saya berada di bilik kurungan, sebuah tingkap kecil pada pintu dibuka setiap beberapa minit untuk memeriksa saya.
35. Lebih kurang 10 hingga 15 minit kemudian, saya hanya boleh mengagak masa, pengawal yang sama memasuki bilik kurungan saya lagi dan memanggil saya dengan nombor '26'. Saya ditutup mata dan digari sekali lagi dan disuruh berjalan lebih kurang 10 langkah. Setelah penutup mata dibuka, saya dapati diri saya berada di sebuah bilik sekali lagi. Kali ini ada sebuah kerusi di tengah bilik. Kerusi tersebut mempunyai tempat peletak tangan tetapi tiada tempat penyandar. Saya dipaksa duduk di atasnya, dan tanpa kerelaan saya, dicukur botak. Saya kemudiannya diberi penyodok sampah dan sebatang penyapu, dan disuruh menyapu rambut. Apabila saya membantah, saya dipaksa membuatnya oleh para penangkap saya.
36. Apabila saya selesai menyapu rambut, saya kemudiannya ditutup mata dan digari, dan dihantar kembali ke bilik kurungan.
37. Dalam masa beberapa minit - Belum pun sempat saya duduk di atas salah satu pangkin - Satu ketukan yang amat kuat kedengaran di pintu dan pintu tersebut dibuka dengan ganas. Tradisi mengetuk pintu dengan kuat dan pintu dibuka dengan ganas dilakukan setiap kali saya dibawa keluar dari bilik kurungan.
38. Kali ini pengawal tersebut berjalan masuk, memerhati saya yang sedang duduk di atas pangkin dan menengking saya kerana saya dianggap biadap tidak menyapanya. Saya diberi amaran supaya berdiri dan menyapa sesiapa yang memasuki bilik kurungan. Sekali lagi saya diberi amaran supaya menyahut dengan cepat apabila nombor saya dipanggil.
39. Saya kemudiannya diarahkan untuk mandi. Saya tidak pun ditanya samada saya mahu mandi atau tidak. Saya hanya diarahkan untuk mandi. Saya diberi sehelai tuala kecil yang nipis dan seketul sabun yang kecil. Saya tidak ditutup mata atau digari tetapi disuruh memandang ke bawah dan jangan memandang ke atas. Saya dipimpin keluar dari bilik kurungan dan salah seorang pengawal berjalan di sisi saya sambil memaksa kepala saya supaya tunduk. Saya berjalan di sebuah koridor yang panjang dan sempit. Hanya ada sedikit cahaya di koridor untuk seseorang berjalan. Di sebelah satu bahagian koridor, saya nampak 5 pintu yang bentuknya seakan serupa dengan pintu bilik kurungan saya. Di hujung koridor tersebut ada sebuah bilik mandi. Saya diarahkan oleh pengawal untuk membuka suis lampu bilik mandi. Apabila saya membukanya, saya nampak sebuah sink dan sebuah jamban cangkung yang tidak mempunyai pintu. Terdapat sesuatu yang membonjol keluar daripada dinding yang saya rasakan tempat keluarnya air.
40. Sewaktu saya sedang bersiap untuk mandi, pengawal tersebut menjerit kepada saya supaya terus mandi dan cepat. Airnya teramatlah sejuk. Saya pun mulalah mandi dan ketika separuh jalan dan badan saya masih dipenuhi sabun, dia menyuruh saya berhenti, pakai kembali pakaian dan keluar dari bilik mandi. Saya terlupa untuk menutup suis lampu. Pengawal tersebut menjadi marah dan menjerkah saya yang beliau bukan berada di situ untuk melayan saya. Saya dikerah kembali ke bilik kurungan di dalam keadaan pakaian yang masih basah. Dalam perjalanan pulang, sekali lagi kepala saya dipaksa tunduk ke bawah supaya saya tidak memandang ke atas.
41. Satu memori yang jelas mengenai koridor gelap tersebut ialah sebiji bakul sampah di luar salah satu pintu-pintu tersebut - Satu-satunya tanda yang saya lihat sepanjang penahanan saya di situ yang kemungkinan bukanlah saya seorang sahaja yang berada di neraka ini.
42. Sebentar kemudian tradisi membuka pintu diulang kembali. Saya berdiri tegak untuk menyambut pengawal tersebut. Dia masuk ke dalam dan memberikan saya sebuah bungkusan kecil tanpa berkata sepatah dan beredar keluar. Apabila saya membukanya, saya nampak sedikit nasi dan seketul ikan kecil di dalamnya. Saya tidak dapat memakan ikan tersebut. Saya cuba memakannya tetapi ia mempunyai rasa pelik yang tengit seperti telah basi. Saya makan sedikit nasi. Belum pun sempat saya habis memakannya, pintu tersebut dibuka lagi. Saya berdiri tegak dan bungkusan tersebut diambil kembali.
43. Mengikut anggaran saya, waktu itu lebih kurang pukul 8 ke 9 malam pada malam saya ditangkap. Saya fikirkan pada waktu itu saya akan ditinggalkan bersendirian. Saya begitu penat, bingung dan tidak ketahuan. Saya masih mengalami degupan jantung yang laju, pernafasan yang sesak dan amat risau mengenai keadaan keluarga saya. Rasa kelenguhan yang berat di kaki, dan "ringan kepala" kembali semula setelah memakan nasi dan rasa kepenatan yang teramat sangat.
44. Sekali lagi adanya ketukan pintu yang kuat yang semakin menjadi kebiasaan dan nombor '26' diteriakkan. Saya berdiri bangun. Pintu dibuka dan kali ini dua orang pengawal masuk ke dalam. Saya menyambut mereka. Mereka tidak bercakap langsung. Mula-mula mereka menggari saya dan kemudian menutup mata saya, tetapi penutup mata tersebut adalah berlainan daripada biasa. Ia mempunyai cermin hitam yang menutupi bahagian mata dan kedipan di tepi yang menutup cahaya sama sekali. Saya tidak dapat melihat apa-apa.
45. Mereka memimpin saya keluar dari bilik kurungan. Mereka memegang saya setelah berjalan sekejap dan kemudiannya memberi arahan haluan dan membenarkan saya untuk meraba mencari jalan sendiri. Mereka sentiasa berada di sisi saya ataupun selangkah di belakang. Mereka selalu menyuruh saya membuka pintu. Kami naik mendaki tangga - terdapat 50 anak tangga untuk 5 tingkat. Di setiap tingkat, salah seorang pengawal akan meletakkan tangan saya yang digari di atas tempat pemegang dan menyuruh saya mengikutnya naik. Saya disuruh mengira hingga ke anak tangga yang ke 10 dan kemudian berpusing ke arah kiri saya. Saya rasa saya berjalan menaiki 5 tingkat.
46. Selepas anak tangga yang ke 50, saya diarahkan berhenti. Salah seorang daripada mereka memusingkan badan saya dan menumbuk saya di bahagian perut. Beliau memberitahu saya bahawa beliau adalah "Mr Nice Guy" dan saya adalah "Dr Feel Good". Saya kemudiannya dipusingkan sekali lagi dan ditolak ke sebuah pintu dan diarahkan untuk membukanya. Saya membukanya dan disuruh masuk ke dalam. Salah seorang daripada mereka datang kepada saya dari arah belakang dan mengubah sedikit penutup mata saya. Saya dapat melihat sedikit di mana saya berada melalui hujung mata saya dan sedikit melalui bawah penutup mata.
47. Saya dibawa melalui beberapa siri pintu dan kemudian melalui sesuatu seperti sebuah koridor panjang yang gelap. Saya nampak sebuah lampu bewarna merah di hujungnya, seperti lampu merah yang kelihatan di dalam sebuah bilik gelap jurufoto. Di sebelah kiri saya ada beberapa pintu. Saya dapat rasakan seperti adanya sebuah jurang yang dalam di sebelah kanan saya dan sekiranya saya tersilap walaupun satu langkah, saya akan jatuh ke dalamnya. Saya diarahkan berpusing ke kiri. Saya menurutinya. Gari saya pun dibuka. Seketika kemudian salah seorang pengawal membuka penutup mata saya. Saya dapati saya sedang menghadap sebuah bilik terbuka. Ianya amat terang. Saya kebingungan, terpinga-pinga dan tidak dapat melihat apa-apa disebabkan cahaya yang amat terang. Buat beberapa minit selepas penutup mata dibuka, saya tidak dapat merasai keadaan sekeliling.
48. Akhirnya apabila saya dapat memfokuskan pandangan, saya nampak 4 orang bermuka selamba tanpa sebarang raut wajah duduk di atas kerusi-kerusi di sebalik sebuah meja. 2 orang yang duduk di kedua-dua tepi kelihatan seperti orang Cina, seorang di bahagian tengah kiri nampak seperti orang India dan seorang lagi adalah berbangsa Melayu. Pengawal saya membiarkan saya berdiri di hadapan meja. Keadaan bilik sunyi sepi.
49. Tiba-tiba lelaki Melayu tersebut menumbuk meja dan menjerit ke arah saya di dalam Bahasa Malaysia. Saya tidak memahaminya dan memohon maaf di dalam Bahasa Inggeris kerana tidak fasih berbahasa Malaysia. Lelaki Melayu itu kemudian bercakap di dalam campuran Bahasa Melayu dan Inggeris, dan memaki saya kerana tidak tahu berbahasa Malaysia. Dia sentiasa mengulangi perkataan "fuck", "fucking" semasa memaki saya. Ketiga-tiga yang lain memaki saya juga. Keadaan tersebut berterusan selama lebih kurang 20 hingga 30 minit. Saya cuba menerangkan kepada mereka yang saya tahu menulis dan membaca Jawi tetapi oleh kerana kebanyakan kerja saya adalah di dalam Bahasa Inggeris dan kesemua kawan saya boleh berbahasa Inggeris, saya rasakan tidak ada keperluan yang amat tinggi untuk fasih berbahasa Malaysia. Selepas lebih kurang 30 minit, keempat-empat mereka berhenti dan secara tiba-tiba pegawai Melayu tersebut menghempuk meja sekali lagi dan menjerit ke arah saya di dalam Bahasa Inggeris bahawa saya tiada adab, yang saya telah memasuki sebuah tempat di mana adanya 4 orang pegawai yang sedang duduk dan tidak menyapa mereka. Saya amat terkejut dengan perbuatannya itu. Saya memohon maaf daripadanya, saya tidak tahu masa, di mana saya berada dan tidak tahu apa yang patut saya katakan kepada mereka. Lelaki Melayu tersebut merenung tepat ke arah saya dan berkata di dalam Bahasa Urdu "thum bahat jau" - awak duduk.
50. Sejak daripada itu, penyoal-siasat saya memaki dan mencaci saya rata-rata di dalam Bahasa Inggeris.
Bersambung......
Terjemahan keris tamingsari
Sumber Asal : https://members.tripod.com/~bantahan/anees.htm