MEMFOKUSKAN PERANAN KITA (Bhg II)


Anak-anak reformis yang dikasihi

Di dalam tulisan yang lepas, Ibu telah menawarkan 2 Fokus kita ke arah memastikan kemenangan sdr Anwar dalam Mahkamah. Sekarang kita beralih pula pada perkara kedua pantang Mahathir (iakni kita perlu pastikan Mahathir panas kerusinya selagi beliau enggan berundur). Terdapat 2 Fokus kita untuk ini:

Fokus 3 -  Mendedahkan salahlaku Mahathir

Sekali lagi Ibu katakan sumbangan anak-anak sungguh memberansangkan di dalam hal ini. Banyak sekali tulisan-tulisan bermutu yang mendedahkan salahlaku Mahathir (contohnya tulisan Steffan Khinge, Khairil NM, dan banyak lagi sumbangan anak-anak yang lain). Ibu pasti segala salahlaku yang disumbangkan bakal menjadi sumber penerbitan buku-buku baru mengenai Mahathir - wajah sebenarnya. Semua ini lantaran jiwa Mahathir yang enggan membenarkan dirinya dikritik, menyebabkan media tempatannya bersuara songsang menyebelahinya sahaja. Rakyat sudah naik jelak dengan propaganda medianya.

Tiada perkara baru yang perlu Ibu tekankan di dalam fokus ini melainkan supaya anak-anak teruskan penyebaran salahlaku Mahathir. Berbagai bentuk gaya penulisan dalam berbagai bahasa diperlukan untuk memenuhi citarasa tatapan rakyat yang terdiri dari berbagai latar belakang dan kaum. Kita akan dapati setiap hari Mahathir akan lakukan lebih banyak kesilapan atau kekejaman lalu kita perlu perhebahkan. Beginilah bakal dihadapi oleh seorang pemimpin yang berprinsipkan tipu helah serta bertuhankan nafsu.

Ibu juga telah katakan dahulu bahawa kita perlu saja lupakan untuk memperbetulkan Mahathir, tiada lain alternatif baginya melainkan mengundur diri. Tapi nyata jiwa diktatornya telah mematikan hatinya, bahkan dia tidak akan berganjak dari kerusinya waimah apa sekalipun. Beliau telah merasakan dirinya terlalu tinggi, lebih tinggi dari para Rasul, atau mana-mana ulama pewaris anbiya. Hidupnya bagai dalam lamunan yang sentiasa dibuai oleh puji-pujian kesemua tukang ampu di sekelilingnya. Beliau alpa bahawa tukang-tukang ampu itulah yang bakal membawa kejatuhannya nanti. Sesungguhnya seorang penasihat yang baik adalah jauh lebih utama dari seribu pengampu yang jelik.

Fokus 4 -  Menekan Para Menteri

Ibu katakan bahawa kesilapan besar seseorang diktator itu adalah kerana angkara-angkara jahatnya yang selama ini menundukkan serta menakut-nakutkan kesemua orang di sekelilingnya. Sejauh mana keihklasan kesetiaan para tukang angguk di bawahnya adalah sesuatu yang mustahil diketahui dan amat merunsingkan baginya. Ini berbeza sekali dengan seorang pemimpin besar yang dilantik lantaran kepercayaan yang diberi terhadapnya. Namun sekarang bagi Mahathir, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat terhadapnya hampir sifar. Tiada alternatif lain bagi Mahathir melainkan memerintah secara autokratik kuku besi, menangkap semua yang dianggap musuh, menekan para ulama, dan menjulang dirinya sendiri.

Jadi kita perlulah beralih kepada para tukang angguk di sekeliling Mahathir. Sebahagian dari mereka ini bakal dikuburkan sekali bersama Mahathir nanti. Yang selainnya kita masih berikan peluang, namun kesabaran rakyat ada batasannya. Ibu sarankan supaya Fokus kita untuk ini adalah untuk mengadakan senarai "Reaksi Para Menteri Kita". Sumbangan tulisan yang berterusan dari anak-anak perlu untuk ini.

Seperti Fokus-fokus 1 dan 2 yang lalu, apa yang perlu untuk ini adalah bagi anak-anak yang pakar (ahli sains politik dan wartawan), untuk menyusun semula satu senarai kronologi lengkap mengenai reaksi setiap dari para Menteri kita (selain dari PM) semenjak dari berlakunya kes pemecatan sdr Anwar. Senarai ini juga perlu hidup, sentiasa ditambah apabila sahaja kita terdengar salah seorang dari Menteri kita mengkeji atau melatah. Bagi setiap menteri, sebagai contohnya Dato Seri Abdullah, apa saja ungkapan yang telah diluahkan oleh beliau semenjak 2 September lalu berkenaan kes sdr Anwar akan kita rekodkan dan paterikan di dalam senarai ini di bawah nama beliau. Begitulah bagi setiap menteri-menteri yang lainnya, di mana senarai ini perlu disusun mengikut nama Menteri berkenaan beserta rekod-rekod ungkapan mereka. Senarai ini bakal membuatkan rakyat tidak akan lupa apa saja yang diucapkan oleh mulut para menteri kita semua, samada mereka bersikap ihsan, atau saja bermulut celupar demi PM. Bak kata orang lama, barang siapa menggali lubang, dialah juga yang terperosok ke dalamnya.

Seharusnya para Menteri kita berhati-hati sebelum mengeluarkan kata-kata kepada rakyat jelata, kerana rakyat akan berpegang pada apa yang dikatakan oleh mulut mereka dan akan bakal menuntut keadilan nanti, hatta jika rakyat terpaksa menunggu sehingga penghujung hayat Mahathir sekali pun. Jika para Menteri kita hanya mengeluarkan kata-kata keji sesama mereka sendiri (orang politik), kita mungkin tidak ambil berat. Tetapi jika mereka berani membenarkan fitnah kepada rakyat umum melalui TV dan suratkhabar, bagi rakyat itu merupakan kata-kata yang tidak boleh ditarik balik. Seharusnya mereka ini tahu untuk sekurang-kurangnya berdiam diri sahaja jika tidak mahu dipertanggungjawabkan kelak di dalam kes fitnah ini. Perkara fitnah bukan perkara kecil yang boleh dipermain-mainkan oleh sesiapa sahaja. Ini bukan lagi soal permainan orang politik. Rakyat akan membencimu dan memulau keluargamu lantaran jenayah besar yang dilakukan sekarang.

Mungkin juga akan ada pak-pak menteri yang akan berani menyuarakan pendapat yang menentang sikap zalim Mahathir terhadap sdr Anwar. Ini juga akan kita rekodkan sekali. Sememangnya kita semua ternanti-nantikan Hang-hang Jebat yang lain selain sdr Anwar di kalangan para menteri kita. Cuma setakat ini ternyata Hang Jebat dari kalangan menteri kita cuma seorang sahaja (iakni sdr Anwar), yang lainnya Hang layu.

Anak-anak mungkin sudah sedar ketika ini perebutan kedudukan timbalan presiden UMNO sedang hangat berlaku. Apa reaksi kita?

Ibu mengingatkan kepada anak-anak sekelian bahawa matlamat kita tiada berubah. Mereka boleh bertanding jawatan timbalan sesuka hati mereka, sementara setiap rekod mereka sudah kita catitkan. Namun tuntutan kita supaya sdr Anwar dibebaskan lalu dibersihkan tetap tidak berubah. Tiada gunanya jika Hang-hang layu ini hanya menjawat apa-apa jua kedudukan, selagi fitnah besar sekarang terus saja dibiarkan menjadi budaya harian. Sdr Anwar dijeratkan dan ditohmahkan, keluarganya diaibkan, rakan-rakannya disiksa, rakyat dibelasah, maka apa yang Hang-hang layu ini semua lakukan?

Bahkan kita berterus-terang kepada semua calun-calun timbalan ini bahawa tiada lagi silap mata atau kejaguhan yang boleh mereka tayangkan kepada rakyat untuk meraih sokongan, SELAIN DARIPADA MEMBEBASKAN SDR ANWAR BESERTA SEMUA TAHANAN YANG BERSANGKUTAN. Biar Anwar kembali bertanding menentang Presiden UMNO dan kita akan lihat siapa yang bakal menjadi pilihan rakyat. Bagi rakyat, hanya orang yang berkaliber lagi berperinsip sahaja yang boleh memimpin Malaysia sekarang. Kita juga menuntut kesemua mereka yang terlibat membuat sebaran fitnah ini turut dibicarakan dan diadili. Kita juga bakal akan menuntut kesemua tukang-tukang angguk yang tiada berperinsip (seperti yang kita sedia telah rekodkan) supaya turut dikuburkan riwayat politik mereka sekali, insyaAllah.
 

Begitulah pesanan Ibu untuk kali ini. Ibu ingatkan semua bahawa perjalanan kita masih jauh. Namun bibit-bibit kebenaran dan kemenangan pastinya manis untuk kita kecapi. Ibu sudahi dengan sepotong Ayat Quran 33:58 “Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”
 

Ikhlas dari
Ibu Zen Abdullah
Selangor