SEKALI LAGI MENGENAI TANGGUNGJAWAB KITA



Anak-anak reformis yang dikasihi

Ibu bersyukur kerana diberi kelapangan untuk bertemu lagi dengan anak-anak sekelian dalam catitan kali ini. Sudah banyak yang dilakukan oleh anak-anak semua, namun perjalanan kita masih jauh. Hanya dengan berkat usaha yang berterusan, kesabaran menanggung kepayahan dan bersalat sahaja yang pasti menemui kemenangan di penghujung jalan, insya Allah. Ibu gembira bercampur sayu mendengarkan kisah-kisah anak-anak dan rakan-rakan yang berjuang namun berkorban ditahan polis, dipukul, diseksa, dan berbagai lagi rintangan yang dahsyat. Musuh kelihatan begitu dayus dan desperate sekali. Namun ini semuanya tambah meyakinkan hati Ibu bahawa kita sedang berada di landasan yang benar. Lihat sahaja pada sejarah manusia malah pada sekeliling dunia kita, tiada kebenaran itu tertegak dengan sendirinya. Tertegak kebenaran itu hanya melalui jalan pengorbanan. Sebaliknya tertegak kebathilan itu melalui jalan kesenangan yang menipu.

Ibu terkadang kala mendengar beberapa dari kalangan anak-anak yang merintih seolah-olah perjuangan kita kelesuan. Jangan begitu anak-anak. Bangsa kita tidak dilahirkan lemah. Yang melemahkan kita ialah sikap dan tindak-tanduk seharian kita sahaja. Umpama kita sedang membina sebuah jambatan panjang merintangi sebuah sungai yang terlalu kuat arusnya. Lagi kita cuba mengekang arus, lagi kuat cabaran kita. Namun dengan berbekal keyakinan, matlamat yang jelas, perancangan yang teliti, usaha yang berterusan (istiqamah), sedikit demi sedikit, maka lambat laun sungai yang deras dapat diatasi jua. Jambatan kita terbina sampai penghujungnya. Cabaran yang paling getir adalah apabila kita berada di pertengahan sungai. Tidak ditolak kemungkinan jua ada kita yang terkorban. Namun sebaik sahaja cabaran terhebat diatasi, perjalanan kita beransur mudah. Tapi sebaliknya jika di sepanjang perjalanan kita selalu terleka akibat ter"asyik" dengan bermain-main di tepian, maka pasak-pasak yang didirikan terus dipukul air lalu mencabar keteguhan usaha.

Seperkara yang perlu diingatkan lagi wahai anak-anak, ialah tidak semua dari kita perlu berbasah meredah dalam arus sungai. Usaha ini mesti dilakukan bersama, namun setiap dari kita boleh mengerjakan kewajipan yang berbeza. Ada yang tukang rencana, ada yang juruukur, ada yang mencari kayu, ada yang jaga transport, ada yang tukang piling, ada yang tukang pahat, ada yang sediakan makan minum, dsb. Tidak boleh tidak, SEMUA mesti memainkan peranan, walaupun peranan kita lain-lain belaka, namun tujuannya sama. Inilah semangat perjuangan kita. Kalau nak diikutkan kelemahan hati ingin saja berehat. Namun sehari kita terleka, musuh akan menerpa sepuluh hari ke hadapan. Jadi janganlah kita melemahkan diri sendiri.

Maka izinkan Ibu untuk "memperjelaskan" sekali lagi matlamat dan kaedah kita agar kita tidak terleka dan lemah. Matlamat kita adalah untuk membawa Malaysia kepada suatu perubahan yang baik - inilah laungan REFORMASI kita. Malaysia adalah untuk orang Malaysia. Bukan sekadar untuk kepentingan golongan tertentu. Pemimpin-pemimpin kita mestilah di kalangan mereka yang ikhlas dan bersih, bukan dari kalangan mereka yang korup yang hanya mahu menipu dan mengkhianati rakyat.

Petua-petua ini Ibu berikan semula agar bila kita amalkan, kita tidak akan terasa perjuangan kita kelesuan.

  1. Kita perlu pastikan sdr Anwar akan tetap "menang" dan Mahathir akan "tewas" dalam perbicaraan mahkamah.
    Istilah menang dan tewas bagi kita bukanlah pada apa yang akan diputuskan oleh Hakim Paul (Meskipun begitu jika Hakim Paul mengisytiharkan kemenangan untuk sdr Anwar maka ia merupakan bonus kemenangan bagi kita). Keputusan Hakim Paul nanti adalah hanya suata maya/mirage yang mahu diperalatkan oleh Mahathir untuk tambah melalaikan rakyat. Kita perlu ingat, Hakim dan Peguam Negara boleh dibeli oleh Mahathir, saksi-saksi boleh dibeli dan diugut oleh Mahathir, polis-polis sanggup menipu kerana Mahathir, peguam-peguam sdr Anwar disusahkan.

    Yang terbaru ialah Mahathir upah perompak mencuri fail-fail peguam sdr Anwar! La hawlawalaa quwata illa billah! Anak-anak yang ahli dalam bidang ini, perlu menyingkap semua kepincangan perbicaraan ini secara terperinci dan benar untuk disebarkan satu-persatu kepada rakyat. Apakah akan ada penipuan lagi di sepanjang perbicaraan? Tentu sekali. Kerana setiap penipuan hanya dapat berselindung dengan sepuluh pembohongan lain. Itu sebab sampai terpaksa memanggil sehingga 52 orang saksi. Namun resmi pembohongan itu memang terlalu banyak kepincangan, walau dirangcangkan oleh orang-orang yang handal berbohong. Kita hanya perlu bijak dan membuka mata untuk menyingkap setiap pembohongan itu. Apabila pembohongan itu terlalu banyak sehingga rakyat naik mual, maka akan tewaslah Mahathir di mahkamah!
  2. Kita perlu pastikan kerusi Mahathir terlalu panas walaupun beliau terus mendudukinya.

    Apa yang Mahathir idamkan sekarang ialah kerusi PMnya terus empuk ditambah dengan berbagai perabot Italy di sekelilingnya. Tiada orang lain yang boleh dipercayai beliau untuk merampas kerusi empuknya itu. Bahkan seorang timbalan pun tidak berani untuk dilantiknya. Satu kelemahan Mahathir yang tidak dapat dielaknya ialah usianya. Bersabit usianya ialah kesihatannya. Semua tukang-tukang ampu beliau menyedari hal ini. Mereka berharap Mahathir dapat segera mencari jalan keluar dari kedudukan berbahaya sekarang sebelum Mahathir jatuh sakit esok hari. Ini akan tambah merimaskan usaha Mahathir dan bakal membuat beliau tersalah langkah. Maka anak-anak perlu hari-hari mengingatkan Abdullah, Najib akan hal ini. Mereka ini orang politik juga.

    Mereka pentingkan sokongan rakyat yang berterusan meskipun setelah Mahathir tiada. Keengganan Mahathir untuk melantik timbalannya sudah memberikan tamparan kepada mereka, meskipun pada zahirnya mereka terus menyokong Mahathir. Ibu dapat membaca bahawa sebenarnya jiwa-jiwa mereka serba salah ketika ini. Anak perlu beri isyarat kepada mereka ini bahawa semakin lama mereka bermuka-muka, semakin tipislah kemaafan rakyat terhadap mereka.Semakin mereka tidak membela kebenaran dan menentang kezaliman/pembohongan, semakin mereka hampir dikuburkan sekali bersama Mahathir nanti. Janganlah mereka hanya bising melaungkan kebencian terhadap kebiadaban Amerika, Australia sahaja; walhal kebiadaban di hadapan mata buat-buat tak nampak. Anak-anak tekanlah mereka ini. Peluang anak-anak memaafkan mereka hanya pada hari ini sahaja.

    Hari esok tiada maaf bagimu. Lupakan Mahathir. Mahathir yang sudah bertaraf diktator, yang tidak lansung boleh dimaafkan lantaran kezalimannya yang terlalu banyak. Tinggal lah Mahathir dengan impian kerusi empuknya. Walhal pada realiti kerusi itu jualah yang terlalu tidak selesa baginya lagi.
  3. Kita perlu pastikan kekuatan wang Mahathir berkurangan.

    Allah Maha kaya. Dia telah kurangkan kemampuan wang orang-orang Mahathir yang tersangat kaya sebelum ini dengan sekelip mata, lalu Mahathir menjadi kelam-kabut. Kesemua dari kita juga terasa kepedihan ekonomi, namun kita masih berharap kepada Allah. Di situlah kekayaan kita. Tetapi sekarang Mahathir telah mengenepikan sdr Anwar lalu melantik dirinya sendiri (secara tidak sah?!) sebagai Menteri Kewangan I.

    Berjolilah beliau dengan duit rakyat. Apa yang dapat kita lakukan? Suatu yang tidak kita boleh maafkan diri sendiri kita ialah jikalau kita mengambil sikap " tidak apa/ never mind". Tidak apalah jika duit kita diberi pada kuncu-kuncunya. Tidak apalah jika duit kita hilang terus. Tidak apalah kerana 1999 tidak ada cukai pendapatan.

    Mahathir sedang mempertaruhkan wang rakyat. Anak-anak di institusi tersebut sila dedahkan hilangnya duit kita. Kita cuma rela wang kita dipinjamkan untuk membaik pulih ekonomi kita dengan cara yang betul. Namun dengan cara tidak halal sekarang ini, kita doakan agar korporat-korporat Mahathir terus merudum. Kelak kita akan tuntut wang kita semula secara besar-besaran. Pakar ekonomi meramalkan taktik Mahathir hanya dapat merancakkan ekonomi Malaysia bersifat sementara/temporary sahaja. Ini kerana pada dasarnya kerakusan tokoh-tokoh korporat Mahathir masih berleluasa tiada yang membetulkan. Selepas "pulih" seketika, ekonomi kita diramalkan terus menjunam kembali. Diramalkan ketika "pulih" sementara inilah saat yang dinantikan oleh

    Mahathir untuk mencuri peluang mengadakan pilihanraya umum. Setelah selesai pilihanraya, ekonomi merudum Mahathir tidak akan peduli lagi.
  4. Kita perlu pastikan BN kalah dalam pilihanraya nanti.

    Kita sedar Mahathir akan bermain kotor. Namun Ibu masih berkeyakinan biar betapa kotor sekalipun permainannya, namun BN masih boleh digagalkan. Kemenangan BN yang lalu terlalu tinggi. Maka dengan kemerosotan yang mendadak bakal memberi kepedihan kepada BN. Sekelian anak-anak MESTI keluar mengundi. Pangkahlah pihak yang mementingkan kebenaran dan yang tidak berpura-pura. Biar apa pun janji yang diberi oleh calun BN itu nanti, kita sudah lali. Kita tidak lupa bagaimana sdr Anwar yang sudah ke peringkat orang No 2 dalam BN sekali pun diganyang sebegitu rupa oleh Mahathir, sementara pemimpin-pemimpin BN lain terhangguk-hangguk bodoh saja. Pandangan rakyat (yang mengundi BN suatu ketika dahulu) sekarang lansung tidak diberi ruang. Mesej kita hanya satu. BN akan hanya boleh pulih kembali mendapat tempat di hati kita semua hanya apabila Mahathir diganti oleh orang yang tidak bongkak terhadap Allah, yang memerangi kezaliman terhadap rakyat, yang berjuang menegakkan kebenaran dan kepentingan rakyat. Malang sekali calun yang layak begitu sekarang berada di dalam lokap polis. Anak-anak yang ahli dalam bidang sejarah dan analisis politik tanah air diminta menulis bahan-bahan untuk meramalkan tindak-tanduk Mahathir seterusnya agar kita semua bersiap sedia dengan tipu helah rencana beliau. Selagi Mahathir bertakhta beserta kuncu-kuncunya, kita pasti jatuhkan BN insya Allah.
  5. Kita perlu pastikan kita tidak lagi diperbodohkan oleh Mahathir.

    Rata-rata Ibu lihat segelintir mereka tinggal yang masih menyokong Mahathir adalah kerana bagi mereka "Mahathir tidak mungkin silap". Selama 17 tahun Mahathir telah menjulang dirinya ke taraf "maksum/ infallible". Jika Mahathir melanggar undang-undang Perlembagaan sekali pun itu adalah kerana kesilapan undang-undang, Mahathir tidak mungkin silap. Dahulu kala terdapat sebuah cerita dongeng seorang Raja yang ditipu oleh 2 orang tukang jahit. Apabila Raja tersebut berjalan di tengah-tengah kota, semua orang mengiyakan kecantikan "baju baru" Raja - kerana bagi mereka "Raja tidak mungkin silap". Hanya seorang kanak-kanak kecil (yang belum memahami apa itu maksum) yang terus menjerit membuka mata sekelian yang hadir bahawa

    Raja itu sebenarnya sedang berjalan tanpa berbaju. Maka janganlah kita terbodoh begitu rupa. Kita akan terus jadi bodoh jika kita terus membaca dan mendengar media Mahathir. Apakah anak-anak pernah melihat media Mahathir mempersoalkan tindakan-tindakan beliau? Biarpun setelah beliau terang-terangan melanggar batasan undang-undang sejagat? Apakah perlu tunggu sehingga Al Gore sahaja yang menjerit membuka mata kita semua? Media-media tempatan terus me"maksum"kan Mahathir. Benar-benar beliau naik ekor. Pesan Ibu ialah supaya kita terus menerus pulaukan media Mahathir. Biarkan Mahathir saja yang "syok" sendiri membaca media-medianya bersama kuncu-kuncunya. Kita teruskan pula dengan sebaran kita sendiri. Semua rakyat berperanan dalam hal ini.
  6. Kita perlu pastikan diri kita semakin rapat kepada ajaran Islam.

    Islam mempunyai jawapan kepada semuanya. Islam jugalah yang bakal membekalkan kekuatan REFORMASI kita. Sebaliknya Mahathir dan kuncu-kuncunya yang fasik itu amat bencikan Islam. Mereka yang mempunyai penyakit dalam hati tidak mahu rakyat Melayu kembali rapat kepada Islam. Mereka juga tidak mahu rakyat bukan Melayu faham dan simpati pada perjuangan Islam dengan alasan bahawa merapati Islam itu bererti fanatik. Berbeza sekali berbanding zaman Abbasiyah dahulu, masyarakat bukan Islam ternanti-nanti akan tentera Islam untuk menawan negara mereka, kerana mereka telah melihat kecantikan daulah Islamiyah di negara-negara jiran. Mahathir sebaliknya akan berusaha menakut-nakutkan orang bukan Melayu tentang Islam.

    Jadi perasaan benci orang lain pada Islam akan lahir akibat perbuatan orang Melayu sendiri seperti Mahathir dan anjing-anjingnya. Inilah pesan Ibu. Bagi mereka yang beragama Islam tetapi selama ini belum berkesempatan merapatkan diri pada Islam, pilihlah masa ini. Baikilah diri anda segera agar Allah kurniakan limpah rahmatNya ke atas kita. Banyakkan taubat dan tingkatkan amalan. Apabila sahaja anda sudah bersedia membawa perubahan pada diri anda, beralih lah pula kepada teman-teman bukan Islam anda untuk membuktikan tohmahan-tohmahan Mahathir itu tiada kebenarannya. Kita tidak sepatutnya mengenepikan teman-teman bukan Islam kita, bahkan kita sebenarnya perlukan sekurang-kurangnya simpati dari mereka.

    Mereka tidak bersalah dan tidak harus dibiarkan bersendirian. Tunjukkan kepada mereka bahawa Islam telah menjadikan anda manusia yang lebih baik dari dahulu! Kalau dulu anak-anak sering ke disko, sekarang tidak lagi. Kalau dulu anak-anak sering alpa dengan tanggungjawab keluarga, sekarang tidak lagi. Kalau dulu anak-anak sering mengejar wang-wang haram, sekarang tidak lagi. Kalau dahulu anak-anak sering mendampingi maksiat, sekarang anak-anak sudah tahu dosa pahala. Berbincanglah dengan orang-orang alim agar kita dapat merasai kemanisan dan kecantikan Islam. Jika kita gugur di tengah jalan sekali pun, perginya kita dengan kemenangan yang hakiki.

Demikianlah nasihat Ibu kali ini. Siapa kata perjuangan kita menemui jalan kelesuan. Setiap tindak-tanduk kita di atas merupakan langkah kita ke hadapan. Kita baru saja di permulaan. InsyaAllah bantuan Allah sentiasa beriringan beserta orang-orang yang sabar dan beristiqamah. Kepada mereka yang telah "berkorban", doa Ibu agar "Mudah-mudahan Allah tambahkan kebaikan dariNya berlipat kali ganda ke atasmu dan keluargamu". Amin.

"Wahai orang-orang yang beriman, bersiap siagalah kamu, dan majulah ke medan pertempuran secara berkelompok- kelompok, atau majulah bersama-sama!" An Nisa : 71.

Ikhlas dari
Ibu Zen Abdullah
Selangor