HyperMart - free business hosting
This page hosted by Hypermart, the world's fastest growing business community!

ISA dan Keadilan dari Perspektif Islam

Oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsudin

Allah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 8, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah diri kamu penegak (kebenaran) dan saksi dengan (penuh) kesaksamaan (adil). Janganlah kerana kebencian kamu kepada sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. (Oleh itu) laksanakan keadilan kerana ia lebih hampir kepada ketaqwaan dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa jua yang kamu lakukan." Rasulullah bersabda dalam hadith riwayat Abu Ya'la, bermnaksud: 'Orang yang paling dahsyat diseksa pada hari kiamat kelak ialah pemerintahan yang zalim."

Muqaddimah

Berbagai-bagai golongan telah memberi pandangan dan komen mereka mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Umumnya, mereka bersepakat menegaskan perlunya akta tersebut dihapuskan. Hatta Perdana Menteri Malaysia sendiri pun mengatakan beliau sudah berhasrat hendak merombaknya tetapi pihak keselamatan (polis) tidak membenarkannya(?). Apa yang nyata ialah akta tersebut telah memberi ruang untuk penyalahgunaan kuasa yang berleluasa oleh pihak eksekutif atau pemerintah dalam melaksanakan agenda khusus untuk kepentingan politik orang yang lebih berkuasa. Akta ini boleh digunakan untuk menindas mereka yang dianggap kritis dan tidak sealiran dari segi fahaman politik. la juga boleh menjadi sandaran untuk menggencat dan menumpaskan parti pembangkang dan para pemimpin mereka, bahkan sebaliknya digunakan juga untuk menumpaskan saingan atau lawan politik dalam parti pemerintahan sesama sendiri.

Sejak diwujudkan ISA, ternyata bencana akta ini telah menimpa ramai warga negara yang tidak berdosa. la semakin merebak dan mewabak sehingga menyeret golongan pendakwah dan tokoh tokoh besar seperti Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri apabila beliau mula bercita-cita untuk meningkat ke tahap kekuasaan yang lebih tinggi dalam kerjayanya. Penyalahgunaan akta akta yang berkaitan tatacara pensabitan, Akta Polis, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan sebagainya menjadikan akta berkenaan lebih berpuaka dan lebih menindas rakyat.

Justeru itulah Majlis Peguam Malaysia dalam salah satu kenyataan akhbarnya pada 3 Oktober 1993 menegaskan: The Bar Council has always maintained that the ISA is an oppressive piece of legislation and condemmns the continued use of this draconian legislation. The ISA is in violation of the Rule of Law, Human Right and the principles of democratic Government and calls the Government to repeal the ISA in its entirety.

Soalnya, apakah keamanan negara boleh dicapai dengan kezaliman akta ini? Bukankah konspirasi yang boleh difabrikasi dengan berlindung di bawah akta berkenaan boleh mengancam siapa sahaja yang bercanggah pendapat atau idea dengan manusia yang memegang pucuk pemerintahan negara, tanpa dapat membela diri? Mangsa penyalahgunaan akta ini pula melibatkan berbagai-bagai bangsa yang ada dalam negara ini yang diperintah oleh parti yang mendakwa bahawa mereka adalah berfahaman moderate.

Mereka sebenarnya adalah pihak pelampau sekularis yang berlagak sederhana. Mereka masih cuba meyakinkan rakyat yang bukan Islam bahawa mereka adalah berfahaman sederhana, manakala golongan reformasi dan Islam adalah golongan ekstrimis. Pada hal tidak ada siapa yang lebih melampau dari orang memperakukan kezaliman dan melakukan kezaliman terhadap warga negara mereka sendiri. Malah keadaan ini akan lebih parah lagi apabila kuasa-kuasa penting dalam negara dibolot oleh orang tertentu sahaja.

Untuk menghuraikan tajuk di atas dengan lebih lanjut maka dalam kesempatan yang terbatas ini kita akan menyentuh beberapa sub tajuk seperti berikut: keadilan asas masyarakat bertamadun, ISA dari perspektif syara', ISA dan pengisytiharan hak asasi manusia dari perspektif Islam dan akhirnya beberapa cadangan sebagai penutup.

Masyarakat manusia yang bertamadun menjadikan keadilan asas atau landasan peradabannya. Ini adalah kerana keadilan merupakan keperluan asasi masyarakat. Tanpa peruntukan dalam perlembagaan atau undang-undang dan akta membela keadilan atau perlaksanaannya yang acui maka setiap individu rakyat akain hidup dalam ketakutan. Pemerintah dan pasukan keselamatan akan berubah menjadi'mafia atau lanun yang bermata dua. Sesiapa sahaja boleh diaibkan dan dimusnahkan maruah dan nama baiknya.

Lebih jauh lagi sesiapa sahaja dan bila bila masa sahaja boleh ditangkap, disiksa dan dibunuh. Inilah kejahatan yang membawa kemusnahan sosial. Kejahatan seperti ini ditentang oleh agama Islam, malah ditentang oleh setiap insan yang berbudi mulia dan luhur.

Sebab itulah Allah berfirman dalam surah al-Nisa', maksudnya: "Wahai orang orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Rasulullah bersabda dalam hadith riwayat Abu Hanifah, maksudnya: "Orang yang paling tinggi martabatnya di akhirat kelak ialah pemerintahan yang adil."

Selaras dengan itu prinsip pengasingan kuasa antara badan perundangan (Legislature), pemerintahan (Executive), dan kehakiman (Judiciary) amat ditekankan. Kuasa membuat undang-undang (serta kuasa mengenakan cukai dan membenarkan wang negara dibelanjakan) diberi kepada Parlimen. Kuasa memerintah diberi kepada badan Eksekutif atau Kabinet. Kuasa membicara dan memutuskan pertelingkahan antara Parlimen dengan Pemerintah diberi kepada Kehakiman.

Prinsip pengasingan kuasa ini adalah antara bentuk tindakan masyarakat yang demokratik untuk menjaga pemerintah dari penyimpangan. Prinsip ini boleh diperluas untuk mengelakkan pembolotan kuasa oleh mana-mana manusia yang berpotensi menjadi tirani atau diktator. Malangnya di negara kita, prinsip prinsip seperti ini telah digugat sepuluh tahun yang lalu, sepertimana yang diungkapkan oleh Tun Mohd Suffian dalam kata sambutannya terhadap buku Tun Saleh Abbas, Kebebasan Kehakiman. Beliau menegaskan bahawa: "Bencana yang menimpa Kehakiman kita tidak sekali-kali disangka boleh timbul di Malaysia dan tidak sekali-kali boleh dilupakan oleh generasi yang akan datang.

Apakah sebabnya Tun Mohamed Salleh yang dikenali sebagai pakar undang-undang dan orang yang jujur, bijak, arif dan beriman dipecat? Bukannya kerana beliau telah membuat kesalahan jenayah (crime), bukannya kerana beliau telah membuat perkara yang immoral atau unethical, bukannya kerana beliau hendak merampas kuasa Parlimen atau Pemerintah, bukannya kerana beliau memain politik, bukannya kerana beliau hendak menjahanamkan demokrasi.

"Buku Tun ini sangat dialu-alukan oleh kerana sekarang pada kali pertamanya rakyat Malaysia mendapat peluang mengetahui sebab-sebabnya mengapa pada hari ini negara-negara yang hertamadun menganggap Malaysia tidak lain dari negara-negara Dunia Ketiga di Afrika."

Prinsip pengasingan kuasa diperkukuh oleh prinsip keabsahan undang-undang atau legitimasi hukum. Dalam bahasa arab disebut al-Masyru'iaytu al-'Ulya atau Mabda al-Syar'iyah. Dalam bahasa ahli undang-undang kita lumrahnya disebut sebagai Rule of Law. Prinsip ini diketengahkan untuk melindungi hak-hak sivil dan awam dari diperkosa oleh pemerintah yang cenderung untuk menyalahgunakan kuasa mereka. Prinsip ini sebenarnya bergandingan dengan prinsip kedaulatan ummah (Sovereignity of Ummah). Akan tetapi ternyata prinsip prinsip ini semua pun masih lemah untuk berdiri tegap di hadapan penguasa yang rakus kuasa, harta dan martabat. Lebih lebih lagi jika mereka di ambang kebankrapan.

Dr Chandra Muzaffar pernah menyatakan: "Suruhanjaya Antarabangsa Pakar Undang-undang (ICJ) dalam kenyataan Delhi 1959, (menegaskan), "Rule of Law mesti digunakan bukan sahaja untuk melindungi dan memajukan hak politik dan sivil seseorang individu dalam sebuah masyarakat bebas, tapi juga untuk mewujudkan suatu persekitaran sosial, ekonomi, pendidikan dan budaya yang boleh menegakkan martabat dan menyempurnakan kehendaknya yang sahih." Ini memang mustahak dititikberatkan kerana terdapat banyak kerajaan yang menonjolkan kononnya menegakkan "Rule of Law" tapi sebenarnya mencipta undang-undang yang mencabul kebebasan dan hak asasi manusia." (Lihat Aliran, 1992 (2:1)).

Di sinilah, menurut hemat kita masyarakat memerlukan mekanisme lain sebagai jaminan yang lebih kukuh untuk mempastikan keadilan berlaku dalam masyarakat. Dalam konteks ini Islam menawarkan substance Masyru'iyah atau keabsahan hukum yang lebih tinggi dan luhur. Keabsahan yang menjamin atau meminimakan sejauh mungkin kezaliman dari berlaku dalam pemerintahan. la disebut al-Masyru'iyah al-Islamiah al'Ulya dan untuk menegakkan prinsip ini, menurut Dr Ali Garisyah perlulah dilaksanakan tiga perkara:

l. Menguatkuasakan Syariat Allah

2. Melahirkan umat yang beriltizam dengan dasar-dasar syarak atau akhlak.

3. Menegakkan pemerintahan Islam.

Pada hemat kita, persoalan keadilan melibatkan berbagai-bagai institusi penting. Pertama ialah pemerintah itu sendiri. laitu sama ada pemerintah itu sendiri daripada orang-orang yang berorientasikan keadilan atau tidak. Dengan lain perkataan, adakah mereka menerima konsep keadilan yang dicerakinkan oleh Allah yang Maha Adil? Atau, mereka mempunyai konsep yang tersendiri mengenai keadilan? Adakah kepimpinan dalam kelompok pemerintahan berasas nilai-nilai keutamaan yang diperakukan oleh syarak atau sebammya, yakni, mereka tidak pemah mahu bersetuju dengan dasar tersebut.

Apakah undang-undang yang mereka laksanakan adalah undang-undang yang adil atau undang-undang yang mereka gubal menurut selera dan kepentingan diri, keluarga dan kroni mereka?

Apakah hakim-hakim mereka adalah hakim yang beramanah, beriltizam dengan hukum-hukum syarak dan peraturan yang lumrah atau hakim khianat yang memperkosa martabat profesionnya demi kepentingan diri dan pihak yang berkuasa? Apakah media massa yang wujud dalam masyarakat adalah media yang bertanggungjawab dan bebas atau media yang telah diperkosa dan berat sebelah? Apakah rakyat yang wujud adalah rakyat yang peka dengan keadilan, kebenaran dan keutamaan atau rakyat yang telah buta hati nurani mereka, bacul dan hidup dengan'budaya mengampu dan takut? Inilah beberapa perkara pokok yang menentukan sama ada keadilan dapat ditegakkan dalam sesebuah masyarakat atau sebaliknya.

Dari Perspektif Syarak

Disorot dari sudut al-Masyru'iyah dan keabsahan iaitu sama ada akta tersebut lahir dari kerajaan Islam yang sah sepertimana yang dikehendaki oleh perkembangan Islam - ia dianggotai oleh ahl al-Halli Wa al-Aqd, manakala pemimpinnya memenuhi syarat al Imamah al-'Uzma - ternyata ciri dan syarat ini tidak wujud.

Pemimpin yang ada bukan dari acuan kepimpinan yang diperakukan oleh kaedah dan prasyarat kepimpinan Islam. Oleh itu segala yang terbit daripadanya tidak mempunyai keabsahan kepimpinan syara'. Al-Masyru'iyah al-Islamiah memerlukan perlaksanaan al-Daulah al-Islamiah yang melaksanakan kebijaksanaan memerintah menurut dhawabit al-Siasah al-Syar'iyah.

Dilihat dari sudut kuasa pula akta ini memberi kuasa yang mutlak kepada Menteri Dalam Negeri untuk mentafsir dan bertindak menurut akal, nafsu dan kepentingan diri atau kumpulan sendiri tanpa memerlukan perintah atau izin mahkamah. Dengan kuasa yang luas diberikan kepada pihak Eksekutif memungkinkan mereka kerap menyalahgunakan akta ini.

Bab 11 fasal 8 ceraian (1) (3) (4) (5) (6) (7) dan (8) umpamanya adalah antara bab yang sangat tidak adil, iaitu seseorang itu boleh ditahan selama 2, 4, 6 tahun, dan seterusnya tanpa diadili di hadapan mahkamah dengan nasib mereka bergantung semata-mata kepada budi-bicara menteri yang lumrahnya menjadi lawan politik mereka.

Dalam konteks yang lebih jauh, peraturan-peraturan mengenai bukti (rules of evidence) yang digunakan dalam pembicaraan biasa tidak dapat dikuat- kuasakan sedangkan sepatutnya kes-kes berkenaan mesti diperdengarkan kepada hakim-hakim biasa. Peguam berhak membela si tertuduh. Mereka berhak menemui tertuduh tanpa disekat. Rekod-rekod pembicaraan patut dapat diperiksa oleh orang ramai menurut peraturan tertentu.

Apabila akta ini memberi kuasa menahan orang tanpa pembicaraan, ia telah bercanggah dengan hak asasi manusia yang dipertahankan oleh perlembagaan dan juga oleh syarak. Syarak mewajibkan seseorang yang dituduh mesti diadili menurut tatacara pengisbatan syarie dan dijatuhkan hukuman-hukuman yang ditentukan oleh syarak. Tindakan melarikan diri dari mengikut kaedah pensabitan syarak adalah suatu kesalahan dan kezaliman yang perlu dihukum.

Selain daripada itu kewujudan Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Menteri Dalam Negeri sendiri di bawah akta ini tidak memberi apa-apa jaminan pembelaan terhadap mangsa akta berkenaan. Lebih jauh lagi, kepalsuan tuduhan dan segala maklumat yang memihak kepada mangsa akan boleh digelapkan atau dihapuskan atas alasan palsu bahawa ia bertentangan dengan kepentingan negara seperti mana yang boleh disimpulkan dari kandungan fasal 16.

Fasal 22 menangani dan menghakis hak untuk memberi pendapat dan kebebasan bersuara apabila dengan mudab ditafsirkan bahawa sesuatu pendapat itu menggugat keamanan atau memudaratkan kepentingan negara, ketenteraman awam atau keselamatan Malaysia. Ini bercanggab dengan hak-hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Menurut Yusuf Shariff: "Salah satu undang-undang bertentangan dengan hak asasi manusia (walaupun secara tidak langsung) ialah Akta Percetakan. Mengikut akta ini, pihak penerbit akhbar ataupun majalah terpaksa memperolehi permit KDN jika hendak mula ataupun terus menerbitkan akhbar atau majalah mereka. Sama ada permit KDN akan diberi atau tida Harus disedari bahawa permit KDN hanya diberi apabila matlamat sesebuah akhbar atau majalah tidak bertentangan dengan kepentingan parti pemerintah, walaupun ia menjunjung kepentingan nasional. Kepentingan nasional dan kepentingan parti pemerintah sebenarya dua perkara yang berasingan. Nampaknya kita masih belum tegas membezakan kedua-dua perkara ini. Kerapkali kepentingan nasional dikelirukan dengan kepentingan parti pemerintah."

Berdasarkan alasan di atas, kita merasakan bahawa sudah sampai masanya ISA perlu dikaji semula kerana ia bertentangan dengan prinsip keadilah dan hak asasi manusia serta berlawanan dengan prinsip karamah insaniah yang dipertahankan oleh insan.

Melihat dari sudut kewujudan ISA itu sendiri , dengan kuasa-kuasanya yang tidak terhad, diperkenalkan semasa zaman penjajahan British bagi menghadapi ancaman komunis, anasir subversif dan pengacau ketenteraman awam, ternyata akta berkenaan sesuai untuk zaman tersebut. Namun demikian selepas 40 tahun kemerdekaan dan negara sedang memasuki abad ke-21, ISA telah menjadi suatu akta yang lapuk dan tidak wajar dipertahankan lagi.Oleh kerana akta ini terbuka luas kepada penyalahgunaan oleh pihak-pihak berkepentingan maka mempertahankan ISA bermakna mempertahankan akta yang bukan sahaja boleh mengancam keselamatan negara tetapi juga boleh membantutkan pembangunan negara.

ISA-Pengisytiharan Hak Asasi - Majlis Islam Eropah

ISA bercanggah bukan saja dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia, bahkan juga dengan hakhak asasi manusia dari perspektif Islam seperti yang dicerakinkan oleh Majlis Islam Eropah. Fasal 4 hingga 8 pengisytiharan tersebut menegaskan.

Hak mendapatkan keadilan

"Jika kamu bertikai dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul."(maksud al-Nisa': 59)

"Dan adillah (perkara) di kalangan mereka berdasarkan apa yang Allah tanzilkan dan jangan engkau menurut hawa nafsu mereka."(maksud al-Maidah:49)

b) Adalah hak seseorang untuk membela dirinya dari penganiayaan. Selaras dengan nas al-Quran:

"Allah tidak suka berterangan menyatakan yang buruk kecuali orang yang teraniaya." (maksud al - Nisa':148)

Adalah juga menjadi kewajipan seseorang membela orang yang teraniaya dengan apa jua cara yang ia mampu. Rasulullah memerintahkan:"Hendaklah tiap-tiap orang menolong saudaranya sama ada yang zalim atau terzalim. Kalau saudaranya itu penzalim hendaklah ia sedarkan. Kalau ia terzalim hendaklah ia membelanya." (riwayat Bukhari dan Muslim).

Adalah menjadi hak tiap-tiap- individu untuk mengadu kepada institusi pemerintah yang sah untuk mendapat perlindungan, layanan yang adil, pembelaan terhadap hak-haknya yang sah dan pembelaan dari kezaliman yang di lakukan terhadapnya. Pemerintahan Muslim hendaklah menegakkan institusi yang berwewenang seperti ini dan memperuntukkan jaminan-jaminan kebebasan untuk institusi tersebut bertindak dengan adil. Rasulullah bersabda:"Pemimpin ibarat perisai tempat berlindung manakala berperang pula dari belakangnya." (riwayat Bukhari dan Muslim)

c) Adalah menjadi hak tiap-tiap individu malah kewajipan untuk membela hak orang lain atau hak jamaah secara hisbah (sukarela kerana Allah)

Rasulullah bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu saksi yang paling baik iaitu orang yang menjadi saksi sebelum ia diminta berbuat demikian." (riwayat Muslim, Abu Daud, Termizi dan Nasaii) Jelasnya seseorang itu secara sukarela menjadi saksi tanpa diminta oleh orang lain.

d) Tidak boleh merampas hak seseorang untuk membela dirinya walau dengan alasan apa sekalipun. Rasulullah s.a.w. Orang yang mempounyai hak berhak menyatakan tentang haknya."

"Apabila tampil kedua-dua orang yang bertikai dihadapanmu untuk diadili maka janganlah engkau membuat keputusan sehingga engkau mendengar aduan daripada kedua-duanya. Itu lebih menolongmu untuk membuat keputusan yang teliti."

e) Tidak ada sesiapa pun berhak memaksa seseorang Muslim mematuhi perkara yang bercanggah dengan undang- undang Islam. Individu boleh mengatakan tidak terhadap orang yang memerintah kannya melakukan penderhakaan atau maksiat, apa pun bentuk suruhan tersebut. "Bila disuruh berbuat maksiat maka tidaklah ada lagi kewajipan mendengar dan patuh." (rawahu al-Khamsah) Di samping itu adalah menjadi hak seseorang untuk mendapat perlindungan umat. laitu agar mereka melindungi keengganannya mematuhi perintah yang maksiat, sebagai menandakan umat memihak kepada kebenaran. "Orang Islam itu adalah saudara seorang Muslim yang lain. la tidak boleh menzaliminya atau membiarkannya teraniaya." (riwayat Bukhari)

2. Hak untuk mendapatkan penghakiman yang adil.

a) Pada dasarnya seseorang itu hendaklah dianggap tidak bersalah. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: "Tiap orang daripada umatku tidak boleh dianggap berdosa (bersalah untuk digugat) kecuali yang terang-terang melakukan kejahatan." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Prinsip atau dasar ini terus menjadi pegangan meskipun ketika seseorang itu dihadapkan dengan tuduhan tertentu, selama belum sabit tuduhan itu oleh pengadilan yang adil dan belum pula diakhiri proses pengadilan tersebut dengan hukuman yang tidak boleh digugat.

b)Sesuatu perbuatan hanya boleh dianggap salah (jenayah) berdasarkan nas syarak. Allah s.w.t. menerangkan"Tidaklah kami akan menyeksa mereka sehinggalah kami utuskan kepada mereka Rasul." (al-Isra': 15)

Seseorang Muslim tidak terlepas daripada tanggungjawab dan sanction hukum berdasarkan alasan jahil atau tidak tahu hal-hal asas yang dikira ma'lumu minaddini bidhdhrurah. Tapi alasan tidak tahu apabila sabit hanya akan dianggap syubhah yang boleh menggugurkan had sahaja.

"Dan tidaklah ada dosa atas kamu terhadap apa yang kamu silap melakukannya. Tetapi yang berdosa ialah apa yang disengajakan oleh hati kamu." (al Ahzab: 5)

c)Seseorang tidak dianggap penjahat dan dihukum kerananya melainkan setelah sabit perlakuan kejahatannya dengan bukti-bukti yang tidak boleh ditolak di hadapan mahkamah yang memenuhi persyaratan yang sempurna:

"Sekiranya datang kepada kamu orang fasiq membawa berita maka hendaklah kalian menyelidikinya." (alHujurat: 6)

"Dan sesungguhnya prasangka tidak menggugurkan keperluan mencari kebenaran sedikitpun." (al-Najmi: 28)

d)Tidak dibenarkan sama sekali melebihkan hukuman daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang Islam terhadap sesuatu kejabatan.

"Yang demikian itu adalah balasan (hukum hudud) yang telah Allah gariskan maka janganlah kalian metampauinya." (al-Baqarah: 229)

Salah satu prinsip syariat Islam ialah mengambil kira situasi dan qarinah semasa kejahatan itu berlaku untuk seberapa boleh mengelakkan "had" berdasarkan prinsip: "Elakkan hudud dari mengenai orang Islam sedapat mungkin. Kalau ada alasan maka lepaskanlah mereka daripada bahayanya." (riwayat Baihaqi dan a]-Hakim)

e)Seseorang tidak boleh dihukum atau digugat kerana dosa orang lain. "Orang yang berdosa tidak menanggung dosa orang lain." (al-Isra': 15)

Setiap orang bertanggungjawab secara individu terhadap perbuatannya. "Tiap tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya." (al-Tur:21)

Tidak boleh tanggungjawab atau gugatan undang-undang dibebankan kepada oraing lain dalam keluarga orang berkenaan atau pengikut dan temantemannya. "Kanii berlindung kepada Allah untuk menahan orang lain kecuali orang yang kanii dapati barang kami bersamanya. Kalau tidak kami berbuat deniikian tentulah kami orang yang menyimpangnya." (maksud Yusuf: 79)

3.Hak untuk mendapat perlindungan daripada penyalahgunaan kuasa.

Tiap-tiap orang berhak mendapat perlindungan daripada tindakan keterlaluan penguasa atau pemerintah terhadapnya. Tidak boleh menuntutnya supaya mengemukakan tafsiran dan penjelasan tentang tindak-tanduk atau kedudukannya, tidak boleh menghadapkan kepadanya apa-apa tuduhan kecuali dengan bukti yang kuat menunjukkan ia terlibat dalam melakukan perkara yang dituduh itu.

"Orang-orang yang menyakiti Mukmin lelaki dan perempuan dengan perbuatan yang ia tidak melakukannya maka sesungguhnya mereka telah menanggung nista dan dosa yang nyata." (al-Ahzab: 58)

4.Hak untuk mendapat perlindungan daripada diseksa.

a)Penjahat, lebih-lebih lagi orang yang tertuduh tidak boleh diseksa. "Allah akan menyeksa orang yang menyeksa orang lain di dunia." (riwayat al-Khamsah)

Tidak boleh memaksa orang mengaku melakukan kejahatan yang ia tidak melakukannya. Segala keterangan yang diperolehi secara paksa adalah tidak sah. "Allah tidak mengambil kira perbuatan umatku yang disebabkan oleh kesilapan atau lupa atau yang dipaksakan ke atas mereka." (riwayat Ibnu Majah)

b)Apapun kejahatan yang dilakukan oleh seseorang dan apa juga hukuman yang dijatuhkan oleh syara' ke atas dirinya namun sifat dan martabatnya sebagai manusia tetap dihormati dan dilindungi.

5.Hak nama baik lindungi.

a)Martabat diri (maruah) dan nama baik seseorang tidak boleh diperkosa. "Sesungguhnya darah, harta, nama baik kamu haram dicerobohi antara sesama kamu, sama seperti haramnya hari ini, bulan ini dan di tanahair kamu ini." (Khud)ah Wida')

b) Tidak boleh mengintip-intip cacatcela peribadi orang atau menjatuhkan maruah dan harga dirinya.

"Jangan kamu mengintip-intip,jangan mengumpat antara satu sama lain." (maksud al-Hujurat: 12)

"Jangan menghina diri kamu sendiri, jangan saling menggelarkan satu sama lain dengan gelaran yang buruk." (maksud alHujurat: 11)

Apabila kita merujuk kandungan pengisytiharan hak asasi manusia dari perspektif Islam yang dirumuskan oleh Majlis Islam Eropah ini dan kita bandingkan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri, maka kita akan dapati banyak dari tindakan pelaksanaan ISA dan peruntukannya telah menginjak dan memperkosa peruntukan dan ketentuan Allah dan Rasul-Nya. Seandainya arahan-arahan Allah tersebut dihargai dan dihormati oleh pemerintah dan umat Islam, sudah tentu banyak kezaliman yang mengaibkan tidak akan berlaku.

Penutup

Sesungguhnya kita yakin bahawa keadilan tidak akan hanya dicapai dengan penghapusan ISA atau pembanterasan penyalahgunaannya sahaja. la memerlukan perombakan seluruh struktur pemerintahan sekular yang sudah kehilangan maruah dan martabatnya. Ciri-ciri kepimpinan yang multazim dengan nilai-nilai yang transcendental dan sakral seperti nilai Islam di samping ciri dan budaya kepimpinan yang berakhlak, warak, bermaruah dan menghargai nilai-nilai yang mulia dan demokratik wajib dan wajar diamalkan secara konsisten oleh setiap kalangan pimpinan dan rakyat.

Selain daripada itu pendidikan massa rakyat hendaklah bermatlamat untuk melahirkan insan madani yang berjiwa suci dan berbudi mulia. Insan yang menghormati hak-hak asasi sahabat, rakan sejawat dan manusia serta makhluk makhluk lain sebagaimana ia menghormati dan menghargai dirinya. Insan yang cintakan kebebasan dan menegakkan keadilan dalam diri sendiri dan juga terhadap orang lain. Insan yang takut kepada Allah s.w.t.

Barangkali sebelum mengakhiri tulisan ini, ada baiknya kita merenung kata-kata yang pernah disuarakan oleh Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, Hakim Learned Hand: "Kebebasan berada dalam hati lelaki dan wanita; bila ia mati di sana, tiada perlembagaan, tiada undang-undang, tiada mahkamah boleh menyelamatkannya."

Allah berfirman, maksudnya: "Sesungguhnya Allah memerintahkannya supaya kamu berlaku adil dan bersikap ihsan (belas kasihan).

"Dan janganlah kamu bunuh (zalimi) diri sendiri, sesungguhnya Allah amat kasih dan sayang kepada kamu." ----minda anwar