ANWAR BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH


Isu Pengakuan Sukma dan Munawar di Mahkamah Sesyen

Oleh ROZAID A. RAHMAN

BATU PAHAT 20 Sept. --- Pejuang Gerakan Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam semalam bersumpah dengan nama Allah di hadapan ribuan masyarakat tempatan di sini bahawa dakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang beliau telah meliwat adik angkatnya sendiri dan juga bekas penulis ucapannya, Dr. Munawar Anees adalah satu fitnah dan tohmahan untuk menjahanamkan dirinya oleh pihak berkuasa.

Anwar berkata, beliau kecewa dan terguris kerana pihak berkuasa tergamak untuk melakukan apa sahaja asalkan boleh mendakwa dia sebagai seorang homoseksual. Dalam proses melakukan semua itu, katanya, mereka tidak lagi mengambil kira air muka keluarganya dan perasaan rakyat.

Dengan nada yang perlahan tetapi tegas, Anwar berkata, beliau tidak terlibat dengan perbuatan keji lagi dilaknati Allah itu dan sesungguhnya dakwaan-dakwaan dan fitnah seperti ini dilakukan sebegitu rupa untuk memusnahkan perjuangannya bagi menegakkan Islam, mempertahankan hak rakyat dan keadilan di bumi Malaysia ini.

Dalam sistem komunis, untuk memusnahkan seseorang itu ialah dengan mengambarkan perbuatan sebaliknya dengan apa yang dia percaya, amalkan dan tegakkan...hari ini sistem yang sama telah pun dilakukan ke atas saya...saya adalah mangsa satu kumpulan manusia yang bimbang bahawa segala salahlaku mereka akan terbongkar jika saya ditakdirkan berkuasa, tegas Anwar.

Anwar menjelaskan sebelum berlepas ke sini beliau telah menghubungi guru-guru agama termasuk Datuk Dr. Harun Din berhubung isu terbaru yang difitnahkan ke atasnya kononnya beliau telah meliwat adik angkat sendiri dan juga rakannya Dr. Munawar.

Para ulama sebenarnya melarang saya bersumpah kerana mereka berpendapat fitnah seperti ini tidak akan diterima oleh rakyat tetapi sepanjang perjalanan ke sini saya telah berfikir panjang dan saya telah membuat kesimpulan jika fitnah ini tidak saya jelaskan dengan cara yang menyakinkan, esok akan berbaris pula 30 orang pelacur yang membuat pengakuan bahawa mereka juga pernah melakukan hubungan seks dengan saya. Dan rakyat akan terus meragui dan bertanya-tanya.

Oleh itu, malam ini, di hadapan saudara-saudari sekelian...bahawa saudara semua akan menjadi saksi kepada pengakuan saya ini...bahawa dengan nama Allah saya bersumpah bahawa saya tidak melakukan perbuatan terkutuk itu dan ini semua adalah fitnah dan tohmahan jahat untuk terus menghina dan mengaibkan seisi keluarga saya, tegas Anwar.

Pengakuan bersumpah Anwar itu adalah yang pertama kali beliau lakukan di hadapan khalayak ramai sejak isu rendah moral dilemparkan ke atasnya. Sebaik sahaja Anwar membuat pengakuan bersumpah itu, ramai yang kelihatan lega dan mereka menyambutnya dengan laungan Allahu Akhbar

Dalam ucapan penuh keterbukaan dan berterus terang selama lebih sejam itu, Anwar mengingatkan mereka yang terlibat memalukannya bahawa mereka juga mempunyai anak, isteri dan keluarga.

Saya tidak tahu bagaimanakah anak-anak saya akan menghadapi saat-saat seperti ini dan bagaimanakah mereka akan berhadapan dengan masyarakat. Tetapi pada masa yang sama saya sentiasa berkata pada diri saya bahawa mereka adalah anak-anak seorang pejuang dan mulai saat itu saya sentiasa membawa mereka ke mana sahaja saya pergi supaya mereka menyaksikan sendiri reaksi rakyat terhadap saya, ujarnya.

Bagi Anwar apa yang berlaku di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam adalah satu episod malang bagi sistem pendakwaan di negara ini. Beliau mendakwa adik angkat keluarganya, Sukma Darmawan telah menjadi seorang yang tidak dikenalinya lagi.

Ketika Sukma dibawa ke mahkamah semalam, kata Anwar, dia kelihatan gugup dan tidak berani mengangkat muka dan memandang wajah bapa angkatnya, Datuk Ibrahim Abdul Rahman. Malah kata Anwar adalah sesuatu yang cukup malang apabila Sukma dinafikan hak untuk mendapatkan peguam pilihannya sendiri. Sebaliknya jelas Anwar, Sukma telah dipaksa untuk diwakili oleh peguam yang disyorkan polis.

Sistem keadilan apakah ini...negara kita sudah tidak ada lagi keadilan dan kebebasan untuk membuat pilihan. Selama penahanannya, Sukma telah dinafikan hak untuk bertemu dengan keluarganya dan juga peguamnya dan saya akan memastikan kes adik angkat saya dan Dr. Munawar dibawa ke muka pengadilan untuk diadili semula oleh peguam saya, tegasnya lagi.

Anwar berkata, mereka boleh melakukan penipuan dengan menggunakan segala macam muslihat tetapi akhirnya rakyat tidak boleh dibohongi dan terus dibohongi.