KENAPA SEKULAR MEMUSUHI IKHWAN MUSLIMIN

Akhir-akhir ini akhbar Mingguan Malaysia dipergunakan oleh golongan sekular bagi melancarkan serangan ke atas Jamaah Ikhwan Muslimin dengan menuduhnya dengan pelbagai tuduhan termasuklah kegiatan tidak bermoral dan ekstrim. Satu tanda-tanya timbul dalam pemikiran masyarakat mengapakah serangan yang bertubi-tubi ini dihadapkan kepada Ikhwan Muslimin sedangkan tidak ada jamaah di Malaysia yang mendakwa sebagai Ikhwan Muslimin. 

Kemarahan golongan sekular ini kepada Ikhwan mungkin disebabkan pengaruhnya yang begitu kuat dan berakar umbi di dalam jiwa umat Islam di Malaysia yang cintakan Islam. Idea-idea atau fikrah yang dibawa oleh ikhwan telah menjadi asas penting kepada jamaah-jamaah Islam di Malaysia seperti al-Arqam, ABIM, JIM, PAS dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain di universiti-universiti tempatan dan di luar negara . 

Tidak boleh dinafikan bahawa gerakan golongan agama lepasan Timur Tengah pada tahun 30an yang berjuang menuntut kemerdekaan Malaya daripada penjajahan Inggeris ketika itu juga adalah kesan pengaruh pemikiran pengasas Jamaah Ikhwan Muslimin Hassan Al-Banna. 

Program Islamisasi yang bertujuan mengislahkan kerajaan juga adalah hasil daripada kesedaran untuk merealisasikan Islam dengan cara yang syumul yang diperjuangkan oleh Ikhwan Muslimin sehinggakan istilah usrah dan sebagainya tidak lagi menjadi janggal di dalam institusi kerajaan termasuklah pegawai-pegawai di kedutaan Malaysia di Mesir. Malah dalam program-program anjuran Biro Tatanegara akan diadakan usrah, qiamullalil dan sebagainya dalam memenuhi aktiviti latihan mereka. 

Strategi kerajaan untuk menyekat pengaruh kebangkitan Islam di awal tahun 80an telah memakan diri kerana program Islamisasi yang ditawarkan oleh Dr. Mahthir dan dipelopori oleh Anwar Ibrahim telah melawan arus sekular di dalam kerajaan. 

Program Islamisasi dilakukan melalui penerapan nilai-nilai Islam, slogan bersih, cekap dan amanah seterusnya merubah dasar pendidikan negara kepada pendidikan yang bersepadu dengan melancarkan Kurikulum Bersepadau Sekolah Rendah dan Menengah, mewujudkan UIA, bank Islam, sistem perbankan tanpa faedah, menentang rasuah dan politik wang . 

Buku-buku tulisan Dr. Yusuf al-Qardawi seperti Ibadah Dalam Islam dan Ciri-Ciri Tasawwur Islam menjadi asas dalam memperjelaskan fikrah mengenai konsep ibadah dalam Islam kepada kakitangan kerajaan dan masyarakat. Malah Dr. Yusuf al-Qardawi merupakan tokoh yang sering diundang oleh kerajaan Malaysia untuk menhadiri seminar dan ceramah anjuran kerajaan. Malah dalam artikel-artikel yang lalu Astora Jabat ada merujuk kepada tulisan Dr. Yusuf al-Qardawi dalam buku Fiqh 
al-Muwazanah ketika beliau mengetengahkan fikrah kesederhanaan dalam Islam. 

Kesan daripada program Islamisasi, program-program usrah, kuliah-kuliah agama, kursus-kursus kefahaman Islam, khemah-khemah Ibadah, program motivasi dan sebagainya yang sering menyentuh mengenai tajuk-tajuk ibadah dalam islam, kesyumulan Islam dan tasawwur islam telah berjaya membuka minda dan kesedaran rakyat mengenai tugas mereka sebagai khalifah Allah, hamba Allah, manusia yang mulia, seorang yang mukallaf dan makhluk ciptaan Allah. 

Masyarakat mengetahui hak-hak mereka dan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Rakyat telah menyedari peranan dan tanggungjawab mereka adalah untuk memilih pemimpin yang adil, amanah dan bersih daripada korupsi, kolusi, kronisma, nepotisma dan zalim. Rakyat sudah sedar bahawa memilih pemimpin yang tidak amanah, zalim, jahil agama dan penuh dengan penyelewengan adalah satu kezaliman dan pencabulan terhadap amanah Allah ke atas mereka yang memerintah mereka melaksanakan tugas khalifah. 

Oleh kerana Ikhwan yang di asaskan pada tahun 1928 oleh Imam al-Banna selama ini telah menjadi kayu api yang menyalakan obor perubahan masyarakat Malaysia dalam segenap seginya maka ikhwan mesti ditohmah, ikhwan misti dijatuhkan maruahnya, ikhwan mesti dicabut daripada hati masyarakat dan mesti ditanamkan rasa benci masyarakat kepada ikhwan dan mungkin selepas itu mudahlah kerajaan hendak bertindak kepada mereka yang menjadikan fikrah ikhwan sebagai rujukan perjuangannya. 

Ikhwanlah yang mempelopori slogan 'islah nafsaka wad`u ghairaka' ( perbaikilah dirimu dan serukan orang lain). Imam Hasan al-Bannalah yang meletakkan sepuluh ciri-ciri asas dalam pengislahan peribadi muslim iaitu ; kuat tubuh badan, aqidah sejahtera, ibadah yang betul, akal yang luas ilmu pengetahuan, akhlak yang ampuh, memelihara masanya, tersusun kehidupannya, bermanfaat kepada manusia, melawan hawa nafsu dan mampu berdikari. 

Imam al-Bannalah yang mempertegaskan bahawa tanggungjawab membebaskan tanahair yang dijajah oleh Barat dan tanggungjawab mengislahkan negara adalah kewajiban umat Islam selepas tanggungjawab membentuk peribadi muslim, keluarga Islam yang memelihara akhlak-akhlak Islam dan menyusun sistem muamalah islam dalam masyarakat. 

Imam al-Banna juga menjelaskan dalam risalahnya `Dakwah kami' bahawa perjuangan menentang penjajah yang berteraskan kepada cintakan bangsa, cintakan negara, cintakan kaum adalah termasuk dalam ertikata jihad dan tuntan iman sekiranya kecintaan itu tidak dipisahkan daripada syariat islam. Inilah semangat baru yang ditiupkan kedalam ruh umat islam yang kebanyakannya sudah lenyap semenjak sebelum berjuta-juta umat Islam disembelih oleh tentera Tatar. 

Hasilnya umat Islam bangun menentang belengu penjajahan Barat dan menuntut kemerdekaan daripada Inggeris. Lantaran itu pihak Inggeris telah menghasut Raja Faruq supaya membunuh Hasan al-Banna.Kekejaman Raja Faruq telah menimbulkan kemarahan rakyat Mesir yang membawa penggulingannya oleh Jamal Abd. Naseer. 

Ikhwan Muslimin telah menyatukan umat Islam sedunia yang sebelum ini sentiasa berbalah sesama sendiri kerana perbezaan mazhab fekah. Penganut mazhab Syafie tidak menjadi makmum kepada imam yang bermazhab Hanafi begitu juga sebaliknya. Perpecahan ini juga membawa kepada sikap ta'sub kepada mazhab sehinggakan berlaku tuduh-menuduh dan pergaduhan antara mazhab. Masyarakat terkongkong dalam perbalahan mengenai masalah furu' yang kecil yang kadang-kadang mereka berbalah 
kerana masalah yang tidak wujud. Sehinggakan di Universiti Al-Azhar sendiri sebelum tahun 60an masih wujud empat mihrab solat untuk mazhab yang berbeza. 

Dengan cadangan Imam Al-Banna al-Ustaz Sayyid Sabiq telah mengarang kitab Fikh as-Sunnah bagi menjelaskan kepada masayarakat bahawa setiap mazhab fekah mempunyai hujah yang kuat kepada pandangan mereka sehinggakan Universiti al-Azhar telah memsukkan subjek `fekah perbandingan' dan fiqh al-sunnah' kedalam matapelajaran yang diajar di fakulti Syariah di Al-Azhar. Hasilnya Masjid al-Azhar hanya menggunakan satu mihrab dan satu imam dalam solat berjamaah. Umat Islam yang berbagai mazhab boleh mengikuti mana-mana imam dalam mengerjakan solat malah pada masa ini masayarakat Malaysia yang 
bermazhab syafie banyak mengikuti pendapat mazhab lain seperti dalam bab zakat, sistem perbankan islam dan ketika menunaikan haji dalam bab perkara yang membatalkan wuduk. 

Imam al-Banna telah menyatukan umat Islam yang menganut pelbagai mazhab fekah dengan persaudaraan Islam melalui asas-asas kefahaman dalam usul 20nya. Imam al-Banna menegaskan : " Nata `awanu fi mattafaqhna fihi wa na'zuru ba'dhuna ba'dhan fi makhtalafna fihi" ( Kita bertolong-menolong terhadap perkara yang kita sepakati dan kita bertolak ansur terhadap perkara yang kita perselisihkan ) Dengan kefahaman ini umat Islam telah disatukan dan diarahkan supaya memperjuangkan isu yang lebih utama dan lebih besar. Isu kemerdekaan daripada penjajahan Barat, isu mengislahkan diri, keluarga, masayarakat dan negara. Ikhwan juga berpandangan bahawa tidak menjadi kesalahan wujudnya pelbagai jamaah dan parti dalam memperjuangkan islam sekiranya mereka bersikap berkerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertolak-ansur dalam perkara yang berbeza pendapat. 

Imam al-Banna juga menegaskan dalam usul ke 20 bahawa : " Kita tidak mengkafirkan seorang Islam yang mengucap dua kalimah syahadah melainkan jika dia menuturkan perkataan atau melakukan perbuatan yang tidak boleh ditakwilkan melainkan kufur". Asas kefahaman ini menjadi teras perjuangan ikhwan bahawa mereka adalah pendakwah bukannya hakim yang akan menghukum masyarakat. Sebab itu apabila wujudnya idea mengkafirkan Jamal Abd. Naser kerana kekejamannya menyiksa pejuang Islam di Mesir maka Hasan al-Hudaibi pemimpin ikhwan selepas al-Banna telah menulis buku " Nahnu duah la Qhudah" ( Kita adalah Pendakwah bukan hakim) untuk menjelaskan bahwa ikhwan muslimin bukanlah hakim dan tidak akan mengkafirkan sesiapa dalam dakwahnya. 

Begitu juga apabila Islambuli membunuh Anwar Sadat kerana telah menerima perjanjian Camp David Omar al-Tilmisani yang merupakan pimpinan ikhwan selepas Hasan al-Hudaibi juga menegaskan bahawa bukanlah cara ikhwan menyelesaikan masalah dengan kekerasan walaupun dia tidak menafikan bahawa Pembunuhan Anwar Sadat adalah disebabkan pembelotannya terhadap kemenangan tentera Mesir menentang Yahudi. 

Walaupun ikhwan meyakini bahawa cara mereka berjuang adalah bersumberkan al-quran dan sunnah tetapi mereka tidak mewajibkan masyarakat menganggotai Jamaah Ikhwan. Bagi Ikhwan cara perjuangan atau wasilahnya adalah perkara ijtihadiah maka perselisihan pendapat dalam perkara ijtihadiah adalah dibenarkan oleh syariat Islam. Oleh itu Dr. Yusuf al Qardawi telah mengarang buku yang berjodol 'fikh al-ikhtilaf' bagi mengajak umat Islam memahami perkara yang boleh diperselisihkan dan adab-adab dalam perselisihan pendapat. 

Sikap keterbukaan dan kesederhanaan Islam yang di bawa oleh fikrah Ikhwan menjadikan Ikhwan berjaya menyatukan pelbagai NGO dalam satu gerakan bagi melaksanakan khidmat kepada masyarakat dan mendidik masyarakat menghayati Islam. Asas-asas keterbukaan dan berlapang dada ini juga nampaknya telah mempengaruhi pelbagai NGO dan parti politik di Malaysia. Penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat ( GERAK) yang telang dianggotai oleh PAS, ABIM, JIM dan sebagainya telah memberi tamparan hebat kepada golongan sekular yang irihati kepada kesatuan gerakan Islam. Golongan sekular sejak dahulu lagi cuba memecahbelahkan kesatuan gerakan islam dengan pelbagai isu seperti isu-isu fekah, isu kaum muda, wahabi dan sebagainya. 

Malah sejak dahulu lagi golongan sekular menakut-nakutkan kaum bukan Islam dengan Islam. Oleh itu untuk memecahkan pakatan menentang kezaliman yang dianjurkan dalam GERAK maka rakyat perlu ditakutkan dengan ikhwan, perlu ditanam rasa benci rakyat kepada ikhwan atau sekurang-kurangnya ditimbulkan keraguan umat Islam kepada ikhwan. Setelah itu maka mudahlah untuk diambil tindakan ke atas mereka yang berjuang di atas fikrah ikhwan
. homepage