SATU RAMPASAN KUASA ALA MALAYSIA

oleh Prof. Andrew Harding,

School of Oriental and African Studies, London.

Memang benar, sebagaimana yang dikatakan Alexis de Tocqueville, bahawa kebebasan adalah sesuatu yang tidak dirampas secara serentak, tetapi berdikit-dikit. Tetapi adakalanya ini dilakukan secara tergesa pada peringkat terakhir. Kejayaan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad, mewujudkan kediktatoran tanpa batas, adalah proses yang telah lama dibentuk. Tetapi cara yang mendadak ia disempurnakan telah memeranjatkan rakyat Malaysia, sama ada penyokong atau lawannya. Tiada yang lebih terperanjat dari Anwar Ibrahim, yang dilihat sebagai penggantinya, dan juga Menteri Kewangan, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden parti. Beliau adalah ibarat Eden yang sedang menunggu Churchill untuk bersara selepas lama berkuasa.

Anwar telah menunjukkan, melalui penulisan dan ucapannya sejak beberapa tahun lalu, rupabentuk Malaysia yang dia ingin lihat. Dalam pendahuluan bukunya "Kebangkitan Asia", diterbitkan pada tahun 1996, dia mengucapkan terima kasih kepada pembimbingnya Dr. Mahathir "kerana toleransinya dan memberinya peluang mengupas pandangannya". Dan ini perlu dinyatakan kerana sebab-sebab tertentu. Anak muda Malaysia yang memberi buku itu kepada saya menulis di dalamnya, "Pandangan Anwar dalam berbagai bidang amat bertentangan dengan Mahathir". Dia dihormati dan disanjungi di kalangan golongan muda, mereka yang teguh dengan ajaran Islam, golongan profesional, intelek, dan ramai orang bukan Melayu. Kemungkinan dia juga lebih diterima oleh Jabatan Negara US dan Bank dunia. Ini adalah gabungan penyokong yang mengkagumkan.

Ketika Mahathir mengutuk penjajahan Barat, Anwar menggunakan istilah seperti "simbiosis" dan "dialog antara tamaddun". Ketika Mahathir menolak hak asasi manusia dan masyarakat madani, Anwar mendapat ilham dan asas-asas untuk nilai-nilai ini dari falsafah Islam dan Confucius. Sebagai aktivis Islam radikal pada zaman mudanya, Anwar bukan sahaja terdedah kepada tokoh seperti Ibn Khaldun tetapi juga dengan Lao Tze, John Rawls, Peter Drucker dan Jose Rizal, dan dia telah membentuk falsafah "kita semua adalah dari masyarakat manusi yang satu". Dalam sebuah negara yang mempunyai 178 kumpulan etnik dan kesemua agama utama dunia, di mana teknologi sumpit wujud bersebelahan dengan internet, seorang Perdana Menteri yang mempunyai pandangan liberal sebegini sudah tentu akan mewujudkan pemerintahan yang dinamik. Kita boleh menjangkakan Malaysia di bawah Anwar akan menjadi masyarakat demokratik yang cergas, bercita-cita tinggi, makmur dan mungkin dianggap oleh pihak tertentu merbahaya sedikit. Sebagai mengiktiraf bakat ini, Margaret Thatcher pernah berkata sekiranya Anwar seorang pemain bolasepak dia akan dapat mengenakan bayaran (profesional) yang tinggi. Dari segi kekuatan intelek dan kepimpinan dia berdiri tinggi jika dibandingkan dengan rakan-rakan semasanya.

Impian Anwar dan penyokongnya musnah dengan pemecatannya dari semua jawatan kerajaannya dan penyingkirannya dari UMNO di atas tuduhan-tuduhan yang tidak berasas seperti liwat dan pengkhianatan. Sehingga kini, tiada sebarang bukti kukuh yang telah dikemukakan untuk menyokong tuduhan-tuduhan ini; sebaliknya wujud bukti menunjukkan bukti-bukti ini direka dengan niat jahat. Apabila dua orang yang dituduh diliwat Anwar didakwa, mereka terkejut mendapati peguam mereka telah digantikan dengan peguam yang dilantik pendakwa. Salah seorang bekas pemandu Anwar telah menafikan salahlaku itu apabila disoal (oleh peguambela). Penekanan pada tuduhan salahlaku seks menunjukkan Anwar , berbeza dengan kebanyakan ahli politik lain Malaysia, tidak mempunyai salahlaku kewangan yang boleh dikenakan terhadapnya.

Adalah wajar kita melihat sejenak rentetan peristiwa yang membawa kepada krisis ini. Apabila Mahathir mula berkuasa pada 1981, dia telah melepaskan tahanan yang ditahan di bawah ISA, akta yang diwujudkan untuk melawan komunis, dan dia telah memulakan usaha penswastaan dan mula merancang untuk pertumbuhan pesat ekonomi. Indeks pengukur kekayaan melonjak naik, tetapi terdapat tanda-tanda amaran awal bahawa Mahathir bukanlah pemimpin yang berhemah. Setiap pindaan undang-undang dan perlembagaan menambah kuasanya tetapi mengurangkan kuasa parti, Parlimen, kehakiman dan raja-raja. Apabila ekonomi mula menguncup pada pertengahan 1980an popularitinya mula menurun. Dia telah menggunakan perasaan takut rakyat terhadap persengketaan perkauman dan menahan lebih dari 100 orang pengkritiknya di bahawa ISA. Ini kemudian telah menyaksikan kepimpinannya dicabar dan telah dimenanginya dengan margin yang kecil (dan kemungkinan dengan cara yang tidak sah). Apabila lawannya mencabar keputusan pemilihan dia membenarkan partinya diharamkan dan kemudian mengecualikan lawannya dari UMNO Baru. Apabila dia merasakan kebebasan kehakiman boleh merumitkan

tindak-tanduk Machiavellinya, dia telah memecat ketua hakim negara ketika itu, Tun Saleh Abas, dan tiga lagi hakim mahkamah tinggi, dengan itu membunuh tiga ekor nyamuk dengan satu pukulan.

Dapat dikatakan apabila kebebasan kehakiman telah dihapuskan, tidak lama kemudian kepimpinan yang bersifat autoritarian oportunistik akan menjadi kediktatoran tulen. Malangnya, Mahathir dapat bergantung kepada undi penduduk luar bandar, yang mana undi mereka 5 kali lebih banyak dari penduduk bandar, dan walau pun ada yang menjangkakan riwayat politiknya akan tamat, tipu muslihatnya berjaya memperdayakan saingannya dan terutama apabila ekonomi negara mula pulih. Kagum dengan prestasi Anwar sebagai pemimpin NGO, dia telah membawa masuk Anwar ke dalam UMNO sebagai penggantinya. Tindakan ini telah mengenepikan ramai lagi tokoh-tokoh lain yang selama ini setia dan mengharapkan habuan mereka. Kini mereka ini sedang menunggu masa untuk menduduki jawatan kedua, yang walau pun satu jawatan yang merbahaya, menjanjikan berbagai tarikan.

Sementara itu, segala harapan mengenai keutuhan undang-undang dan demokrasi tidak tercapai. Dalam satu kes di mana seorang ahli politik UMNO, yang dipercayai ramai bersalah merogol seorang budak perempuan berumur 15 tahun, tidak didakwa. Sebaliknya, perempuan itu yang ditahan kerana mengadakan hubungan seks dengan beberapa orang lelaki. Tidak cukup dengan tindakan ini, pihak berkuasa juga telah mendakwa di atas tuduhan menghasut Lim Guan Eng, seorang pemimpin pembangkang, kerana mendedahkan ketidakadilan dalam kes itu, dan dia kini berada di dalam penjara.

Perkembangan "rampasan kuasa" Malaysia ini dapat dilihat dengan lebih jelas sejak beberapa bulan yang lalu. Keruntuhan ekonomi pada 1997/8 mewujudkan satu suasana tidak menentu dan kemarahan pada ketika Mahathir sepatutnya telah boleh bersara. Anwar, dengan kedudukan yang terjamin, terus membuat kenyatan yang dicanggahi Mahathir, atau tidak diendahkannya dalam amalan. Penyokong Anwar mula membandingkan keadaan di Malaysia dengan keadaan Suharto di Indonesia. Isu rasuah dan kronisma berulang kali ditimbulkan. Sikap toleransi Mahathir tidak sampai ke tahap itu dan pengkritiknya tersilap langkah lagi. Menurut Anwar tanda-tanda mula kelihatan apabila dia membuat keputusan-keputusan di Kementerian Kewangan yang tidak disenangi oleh golongan korporat tertentu yang berkepentingan dan tidak selari dengan pandangan Mahathir mengenai pemulihan ekonomi. Sebuah buku berunsur fitnah telah diedarkan dan Anwar terpaksa mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalangnya. Hakim yang memberi perintah itu telah dipindahkan.

Sejak itu, peristiwa-peristiwa yang berlaku menunjukkan corak yang sama. Penangkapan Anwar oleh anggota polis bertopi hitam dan bersenjatakan mesingun ; penahanannya di bawah ISA; kebimbangan isterinya terhadap keselamatannya; resolusi terhadap kerajaan yang didrafkan oleh peguam yang menghuraikan berbagai salah laku proses; dan kemunculan Anwar di mahkamah beberapa hari kemudian dalam keadaan cedera dan lebam.

Tapi satu perkara kini berbeza. Rakyat kini telah keluar ke jalanan, menyedari akan sifat ganas dan bahaya rampasan kuasa yang berlaku secara perlahan di hadapan mereka, dengan keazaman tidak akan membenarkan ia berterusan. Bagi mereka, sekiranya Timbalan Perdana Menteri tidak selamat dari berbagai fitnah dan pendustaan, dari ditahan tanpa bicara dan dipukul; dan jika media dan proses kehakiman, malahan mana-mana kuasa dalam negara tidak dapat melindunginya – maka tiada sesiapa, sama ada penjual kacang putih atau eksekutif, boleh tidur nyenyak pada malam hari.

Pengalaman kebelakangan ini di Thailand, Indonesia dan Filipina (istilah "people power" adalah satu pemberian dari Asia Tenggara), menunjukkan bahawa pandangan umum dan tindakan mereka dapat mendedahkan kelemahan-kelemahan dalan rejim yang paling kejam, dan Malaysia belum sampai ke tahap itu. Bahaya menghapuskan pemerintahan berdasarkan undang-undang dan kebebasan ialah satu hari rakyat akan bangun dan menyedari mereka telah menjadi hamba, dan pada ketika itu tidak mempunyai pilihan kecuali bangun merampas kembali kebebasan mereka.

Apa yang tidak dinyatakan Tocqueville ialah kebebasan yang telah hilang boleh diperolehi semula dengan kepantasan yang mengkagumkan. Inilah cabaran yang dihadapi rakyat Malaysia dan gerakan "reformasi". Tindakan Mahathir menyisihkan dirinya dari penyokong tradisionalnya, iaitu orang Melayu, dengan menafikan mereka hak mereka, dan menghantar polis menyerbu ke Mesjid Negara mengejar "perusuh’ yang sebenarnya sedang bersembahyang mungkin merupakan tindakannya yang paling tidak bijak dan menggambarkan salah perhitungannya terhadap perkembangan yang sedang berlaku.

Walau apa pun berlaku, ini bukanlah sekadar persengketaan antara puak di sebuah negera asing yang jauh. Prospek reformasi dan pemulihan bergantung kepada perkembangan ini dan dengan ini kesejahteraan "masyarakat manusia yang satu".

 

r4mac