Dari Media Asing

Budaya 'pak turut' dalam Umno

Susunan ABU BAKAR RASHID

 

KUALA LUMPUR: Walaupun Perdana Menteri Dato Seri Dr Mahathir Mohamed terus menjadi bahan kecaman mereka, tetapi perlahan-lahan ternampak usaha bersama di pihak media dan institusi antarabangsa untuk memberi kedudukan yang lebih selesa kepada tokoh yang tidak disukai majoriti rakyat itu. Seperti biasa, media-media antarabangsa mencerminkan sikap Amerika Syarikat yang lebih suka 'syaitan yang dikenali dari malaikat yang tidak dikenali'.

Walaupun rata-rata media asing masih menolak kemenangan pembangkang di Malaysia, tetapi mereka juga tidak berani menolak sesuatu yang memeranjatkan. Lantaran itulah mereka seolah-olah mula memberi sedikit nafas dalam media-media mereka terutama untuk meyakinkan masyarakat perniagaan terhadap Malaysia bagi membantu Dr Mahathir memulihkan keadaan.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri, walaupun mengakui ekonomi Malaysia akan menguncup dua peratus lagi tahun hadapan, memberikan pandangan yang lebih positif dengan menyatakan sudah terlihat tanda-tanda masalah ekonomi negara ini akan berakhir. "Di Malaysia, tanda-tanda tamatnya kemelesetan ...terus tentatif," kata IMF dalam laporan ekonomi dunianya seperti yang dilaporkan oleh AFP.

Laporan IMF itu juga, menurut AFP, menyatakan inflasi di negara ini akan naik 5.8 peratus tahun 1999 berbanding 5.2 peratus tahun 1998.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas kawalan modal yang dikuatkuasakan oleh pemerintahan Dr. Mahathir September lalu, Ketua Pakar Ekonomi IMF Michael Mussa berkata, kesan jangka pendek kawalan itu tidak jelas, "tidak juga terlalu menyusahkan, tidak juga terlalu membantu".

Tetapi dari segi jangka panjang, AFP melaporkan beliau berkata, para pelabur dijangka enggan membawa modal mereka masuk ke Malaysia kerana mereka tahu mereka akan tersangkut.

Mungkin didorong kebimbangan semakin parahnya minat pelabur ke atas negara ini maka Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas Tun Daim Zainuddin, menurut International Herald Tribune, menyatakan Malaysia sedang mempertimbangkan rancangan untuk melonggarkan pembekuan terhadap aliran keluar wang pelabur asing akibat penguatkuasaan kawalan modal.

Daim memberitahu akhbar itu bahawa kerajaan Malaysia berharap akan dapat melaksanakan pilihan-pilihan yang ada untuk melonggarkan pembekuan itu secepat mungkin kerana "kami mahu bergerak cepat dan menyelesaikan perkara ini".

Majalah Time juga memainkan peranannya untuk memberikan sedikit keselesaan kepada Dr. Mahathir walaupun majalah itu tidak kelihatan menyokong Presiden Umno itu.

Walaupun soal selidik yang dibuat oleh majalah itu menunjukkan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini menghadapi tuduhan rasuah dan liwat mendapat 63.43 peratus undi sebagai pencetus berita 1998 berbanding Dr Mahathir hanya 25.95 peratus, namun Time mungkin mempunyai alasan-alasan lain dan tersendiri untuk meletakkan Dr Mahathir sebagai pencetus berita 1998.

Dalam rencananya mengenai tokoh pencetus beritanya bagi tahun 1998 itu, Time menonjolkan dalam cetakan huruf lebih besar pujian penyokong Dr. Mahathir kepada tokoh yang kajian Umno sendiri dilaporkan menunjukkan ia ditidak disukai majoriti besar ahli-ahlinya di peringkat akar umbi, walaupun keseluruhan rencana itu tetap memperlihatkan rasa tidak senang Time, yang selama ini memprojek dan menyokong Anwar, terhadap Dr Mahathir.

Ketika ia memaparkan kekerasan peribadi Dr Mahathir menentang arus yang tidak menyukainya atau yang tidak disukainya, sifat yang mungkin melayakkan beliau dipilih sebagai pencetus berita oleh Time, majalah itu tetap menyelitkan ulasan Rahim Karrim yang disebut oleh majalah itu sebagai penganalisis politik. "Mahathir memilih untuk melawan dalam cara yang paling kejam," kata Karrim seperti disiarkan oleh Time. "Beliau tidak mempunyai belas kasihan bila menangani para penentang".

Majalah Asiaweek yang mendukung pemikiran arus perdana Barat juga memilih Dr Mahathir bersama-sama Anwar sebagai pencetus berita 1998.

Akhbar Kompas Indonesia pula melaporkan pengamatan seorang pengkaji Malaysia di Indonesia, Dr Alfitra Salam yang menyatakan gerakan reformasi di Malaysia terhambat kerana tiang-tiang demokrasi di negara ini tidak mendukungnya. Tiadanya sikap militan mahasiswa, akhbar-akhbar yang hampir kesemuanya dikuasai parti politik pemerintah dan wujudnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyulitkan langkah reformasi Malaysia.

Budaya pak turut Umno juga turut disentuh oleh Dr Alfitra. "Secara keseluruhan generasi muda dan kelas menengah yang mendukung Umno sendiri tidak berorientasi kepada demokrasi. Mereka kini berorientasi kepada bisnis sehingga cenderung mengikuti yang berkuasa. Kalau Mahathir yang berkuasa, ya ikut Mahathir," kata beliau.

Menurut Dr Alfitra, gerakan reformasi akan tetap berjalan sebab setelah perbicaraan Anwar sekalipun, tetap ada isu Mahathir. Ia menilai masyarakat Malaysia menginginkan pembaharuan dalam sistem politiknya untuk menghindari politik wang. Pembaharuan juga menyangkut pembatasan kekuasaan perdana menteri, format penggabungan parti politik dan dihapuskannya ISA.

 

Ke Laman Utama