Riaksi Anak Sabah

 

Assalamualaikum,

Saya merasa terpanggil dengan warkah yang ditulis oleh Sultan Sulu dan merasa terkilan kerana tidak mampu menafikan kebenaran yang diungkapkannya. Saya lahir dalam keluarga politik dan mengikuti perkembangan politik Sabah sama ada secara sengaja dan tidak sengaja menerusi pergaulan dengan orang-orang politik. Malahan DSAI juga pernah datang ke kawasan kami dan makan bersama-sama orang kampung.

Walau bagaimanapun, fokus tulisan ini lebih kepada isu krisis kepimpinan dalam Umno dan tentang ramalan nasib Umno di Sabah. Satu realiti yang menyedihkan di kalangan pemimpin Umno yang merupakan kelemahan utama mereka ialah kebanyakan pemimpin Umno di semua peringkat contohnya di peringkat Bahagian pun sangat `tamak' dan `rakus' mengumpul keuntungan kepada diri sendiri.

Peruntukan yang sedikit untuk menjalankan projek-projek kemasyarakatan tidak ada satu pun yang tidak `dicukai' oleh pemimpin-pemimpin dan orang-orang yang terlibat. Natijahnya projek-projek yang dilaksanakan ibarat hanya melepaskan batuk di tangga. Suka untuk saya menjemput para pemimpin Umno Sabah supaya rajin melawat ke kawasan-kawasan pedalaman. Alangkah `lucu' di sepanjang perjalanan kita boleh bertemu dengan jalanraya yang bertar berselang-seli dengan jalan tanah merah. Jalan yang tidak tentu hujung pangkalnya, saya sendiri naik pelik melihat keadaan tersebut. Ini sekadar menyebut satu contoh sahaja.

Secara jujur saya berpendapat, tidak kira parti apa pun yang memerintah, golongan termiskin akan terus papa kedana seumur hidup. Rakyat sudah bertindak menyingkirkan PBS dengan harapan Parti Umno akan berjaya membuat perubahan, nampaknya apa yang berlaku sebaliknya sebahagian besar pemimpin Umno yang `berjaya' menukar serba sedikit status kehidupan mereka tetapi tetap dengan `mentaliti' mereka yang masih terus `terencat' akibat pelbagai sebab yang sudah klise.

Kekuatan pertahanan Barisan Nasional yang mencantumkan beberapa parti pelbagai kaum juga rasanya telah diwawarkan dengan kapasiti yang berlebihan - atau dalam kata lain Indah khabar dari rupa. Satu perkara yang kebanyakan Sabahan mengerti kini ialah PBS semakin `teguh' dan berupaya menggoncang BN di Sabah dengan mudah. Sepatutnya PBS tidak boleh dibiarkan menang mudah tetapi masalahnya kebanyakan pemimpin BN khususnya Umno terlalu selesa dengan kedudukan mereka. Jika ini yang berlaku, Sabahan perlu sedar diri supaya tidak suka menyalahkan orang lain atas kelemahan sendiri.

Kita tunggu dan lihat musim menanam tebu di pinggir bibir tahun hadapan 1999.

MEMBOSANKAN!

Melukut Kimaragang.