RENCANA PENGARANG RN

ISNIN, 14 DISEMBER 1998

CADANGAN STRATEGI MEMENANGI PILIHANRAYA AKAN DATANG

Kini sudah tiba saatnya semua pihak yang menentang kekejaman Mahathir duduk semeja dan merekabentuk suatu strategi serampang-banyak-mata untuk mengalahkan Mahathir. Sebagai pembuka jalan ke arah itu, kumpulan fokus politik di dalam RN mengambil kesempatan ini mengemukakan cadangan bahan berbincang antara pihak PAS dan para pendukung REFORMASI strategi seperti berikut:

1. Kalahkan Mahathir walau di kawasan mana sekalipun beliau akan bertanding.

RN meramalkan Mahathir akan bertanding di kawasan baru yang dijangka selamat. RN meramalkan beliau akan bertanding di luar Kedah. RN juga meramalkan Mahathir akan bertanding di Johor ataupun Negeri Sembilan. Untuk menghadapi kemungkinan ini RN menyeru jentera kempen PAS supaya banyakkan berkempen di kedua-dua buah negeri ini.

2. Kenalpasti kawasan-kawasan yang "kritikal".

Kawasan kritikal ialah di mana pengundinya terdiri daripada sekitar 60 peratus Melayu dan 30 peratus bukan Melayu. RN meramalkan Mahathir akan bertanding dalam kawasan seperti ini kerana ia merupakan kawasan yang amat selamat bagi beliau. Dalam kawasan seperti ini 30 peratus bukan Melayu akan mengundi BN, dan Mahathir hanya memerlukan 21 peratus sahaja undi Melayu untuk menang. PAS dan Reformasi mesti mula duduk dan mengenal pasti kawasan-kawasan itu sekarang.

3. Kalahkan Timbalan Perdana Menteri

Mahathir mungkin melantik timbalannya pada bila-bila masa, sebelum ataupun sesudah pemilihan dalam UMNO. Orang itu mungkin Tengku Razaleigh, mungkin Sanusi Joned, mungkin Musa Hitam, mungkin anak PM sendiri Mukhriz. Walau siapa pun yang akhirnya akan dilantik untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, orang itu mesti dikalahkan di dalam pilihanraya akan datang. RN meramalkan TPM baru itu juga akan bertanding di kawasan kritikal.

3. Kalahkan Timbalan Presiden UMNO

Perhimpunan agung UMNO akan memilih seorang Timbalan Presiden UMNO. Orang itu mungkin Abdullah Ahmad Badawi, mungkin Najib Tun Razak, mungkin Tengku Razaleigh. Orang ini mesti dikalahkan dalam pilihanraya akan datang. RN meramalkan Timbalan Presiden UMNO juga akan bertanding di kawasan kritikal.

4. Kalahkan ketiga-tiga Naib Presiden UMNO.

UMNO akan memilih tiga orang naib presiden yang baru. Walau siapapun yang dipilih, kalahkan mereka. Namun, jikalau ditakdirkan Tuhan ada di antara naib itu yang terbukti adalah penyokong Reformasi, maka jangan kalahkan beliau.

5. Kalahkan kroni-kroni Mahathir yang paling kuat.

Sediakan senarai tongkat-tongkat politik Mahathir. Patahkan tongkat-tongkat itu, dan Mahathir akan jatuh. Daim Zainuddin, Sabaruddin Chik, Megat Joned, Rafidah Aziz, Siti Zaharah Sulaiman, Sanusi Joned, Isa Samad, Hamid Othman dan lain-lain.

6. Tidak menubuhkan parti baru.

Biarkan orang-orang UMNO yang tidak puas hati dengan Mahathir, yang jumlahnya ditaksirkan antara 50 hingga 60 peratus, tidak boleh ke mana-mana. Biarkan mereka terus berada di dalam UMNO dan melemahkan sokongan kepada Mahathir dari dalam UMNO.

7. Pastikan PAS mendapat lebih banyak kerusi.

Di kawasan-kawasan yang kini berada dalam tangan UMNO, tetapi sudah ada tanda-tanda PAS mempunyai peluang baik mengalahkan UMNO, para pejuang Reformasi akan turun berkempen dan pastikan PAS memang. Kenal pasti kawasan-kawasan itu terutama di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Utara Perak, sebahagian daripada Pahang.

8. Golongan Reformasi masuk bertanding.

Di kawasan-kawasan di mana pengaruh Reformasi lebih kuat daripada pengaruh PAS, calon Reformasi akan bertanding dan PAS akan pastikan calon Reformasi menang.

9. Strategi bagi menumpulkan kaunter-strategi UMNO

UMNO akan melakukan pelbagai taktik untuk mengalahkan calon-calon Reformasi. RN meramalkan UMNO akan "memasang" calon-calon bebas bagi memecahkan undi Reformasi.

Bagi memastikan para pengundi tahu calon Reformasi yang tulen, RN mencadangkan strategi berikut:

i. Semua calon-calon Reformasi bertanding atas tiket bebas tetapi semua calon Reformasi menggunakan SATU MANIFESTO sahaja. Sediakan deraf manifesto itu sekarang.

ii. Sekiranya boleh, semua calon Reformasi menggunakan simbol calon bebas yang sama. Jika ini tidak dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya, calon-calon Reformasi dan semua penyokong-penyokong Reformasi ke mana-mana sahaja memakai WARNA TEMA seragam. RN mencadangkan warna seragam calon Reformasi ialah biru ADIL. Mereka juga akan memakai simbol REBEN PUTIH. Para pembatik di Kelantan dan Terengganu boleh mula mencetak kain batik untuk dijual kepada para pejuang Reformasi dari sekarang!

iii. PAS akan berkempen dan memberi "pengesahan" calon bebas yang "direstui" oleh PAS. Pada waktu yang sama juga, PAS akan mengeluarkan senarai putih yang mengandungi nama-nama calon-calon bebas yang disokong oleg PAS. Satu lagi senarai hitam akan mengandungi nama-nama calon bebas yang "dipasang" oleh UMNO. PAS dan Reformasi boleh mula menyediakan nama calon dari sekarang.

10. Gunakan tenaga lama

RN meramalkan, Mahathir akan membuang wakil-wakil rakyat yang disyaki "orang Anwar" dan digantikan dengan orang-orangnya sebagai calon. Sekitar 90 buah bahagian akan mendapat wajah-wajah baru untuk calon parlimen dan ADUN. Ini bermakna lebih 300 orang Ahli Parlimen dan ADUN akan "dibuang" oleh Mahathir. PAS dan Reformasi akan menyokong mereka yang kuat pengaruhnya supaya bertanding bagi pihak Reformasi.

Apabila PAS-REFORMASI menang, MCA, MIC dan GERAKAN terpaksa "bercakap" dengan PAS-REFORMASI kalau mereka mahu terus mempunyai tempat dalam pentadbiran negara. TAMAT