RENCANA PENGARANG RN

ISNIN, 14 DISEMBER 1998

ADIL Adalah Inspirasi Rakyat Malaysia

Pergerakan Keadilan Sosial atau singkatannya ADIL telah dicadangkan penubuhannya oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada hari Rabu lepas dengan penuh harapan untuk memenuhi tuntutan rakyat Malaysia ke arah perubahan yang mampan lagi menguntungkan rakyat dan tidak hanya tertakluk kepada sebilangan kecil rakyat yang terus rakus menggelepai usaha mencabul hak asasi dan harta milik rakyat.

Sememangnya ADIL telah ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia yang bukan sahaja menginginkan perubahan arus politik perdana tetapi juga meningkatkan usaha ke arah reformasi sosial dan ekonomi. Dengan penyertaan ahli-ahli penaja ADIL dari pelbagai kekuatan masyarakat seperti golongan pemuda, kumpulan professional akademik, pergerakan Islam, pejuang bahasa, peguam, politikus, aktivis masyarakat dan ahli ekonomi pastinya akan mengukuhkan dan melengkapkan kehendak rakyat yang mahukan reformasi di dalam pelbagai corak kehidupan.

Kita sewajarnya memberi sokongan yang mantap dan autentik kepada ADIL untuk bergerak sebagai sebuah organisasi non partisan di dalam memperjuangkan nasib rakyat selaras dengan sahutan Perdana Menteri baru-baru ini yang kononnya mencabar penyokong reformasi bergerak di atas landasan yang berlunaskan undang-undang. Oleh itu, kerajaan BN perlu tidak menghalang atau mengganggu segala proses demokrasi di dalam mendaftarkan ADIL sebagai organisasi rasmi reformasi. Namun begitu, gesaan terbaru beliau bersama-sama hamba-hamba abdinya seperti Mohamad Rahmat (Tok Mat Bulat), Hishamuddin dan Abdullah Badawi yang mencabar ADIL supaya mengubah dasar cadangan untuk menjadi sebuah lagi parti politik di negara ini.

Perlakuan diktator ini sebenarnya mencerminkan satu helah lama beliau yang diharapkan dapat membantu UMNO meraih undi sokongan daripada rakyat di saat-saat akhir. Beliau dengan sewenang-wenangnya akan menuduh parti politik reformasi yang ditubuhkan sebagai cubaan memecahbelahkan perpaduan masyarakat Melayu. Penggunaan helah ini sebenarnya diaplikasikan sebagai senjata terakhir beliau semasa cuba melemahkan sokongan orang Melayu kepada Angkatan Perpaduan Ummah(APU) di dalam pilihanraya tahun 1990. Meskipun begitu, kita sewajarnya faham masyarakat Melayu sememangnya amat sensitif jika berbicara mengenai perihal perpecahan orang Melayu..

Baru-baru ini, Tok Mat Bulat di dalam usahanya untuk membela pemimpinnya telah mengeluarkan kenyataan akhbar untuk mempelbagaikan usaha untuk memantau usaha golongan tertentu yang menulis artikel-artikel yang cuba merosakkan nama-nama ahli regim Mahathir. Usaha Tok Mat Bulat ini telah membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa UMNO amat menghormati dasar-dasar demokrasi dan hak-hak individu disifatkan tidak serupa bikin.

Rakyat tidak kira agama, bangsa dan kedudukan mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk memberi komentar dan mengeluh mengenai seseorang pemimpin dan tidak ada satu pun peruntukan undang-undang yang tidak membenarkan Perdana Menteri dikutuk dan dikecam oleh rakyat jelata kerana beliau juga dilantik secara demokrasi dan melalui pilihanraya. Namun apakan daya, regim Mahathir menggunakan alasan keselamatan negara dan mengambil pula kesempatan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semata-mata untuk menghukum pengecam beliau demi melindungi kepentingan jawatankuasa Regim Mahathir.

Jika ada fasal yang menegah rakyat Malaysia daripada mengutuk pemimpin, sudah pastinya ianya menjadi kesalahan undang-undang kepada Mahathir untuk menggunakan pengaruh beliau semasa mengurangkan imuniti raja-raja Melayu kerana inilah kebiadapan ‘diraja’ paling besar pernah dilakukan oleh orang Melayu terhadap institusi kesultanan Melayu selain daripada kes Hang Tuah vs Hang Jebat. Adakah anda masih ingin menyokong pemimpin regim Melayu ini setelah apa beliau lakukan selama ini? Adakah anda memaafkan beliau hanya kerana beliau adalah bumiputera berketurunan Mamak Mendahiling? Tidakkah anda sedar negara ini masih belum ‘merdeka’ sepenuhnya kerana masih dijajah oleh kuasa `authoritarian’ regim Mahathir yakni bukan Melayu sebenarnya?.

Akhir kata, sidang redaksi Kumpulan Media RN ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada Datin Seri Dr Wan Azizah dan anggota jawatankuasa penaja ADIL yang lain. Pihak kami menyanjungi keprihatinan mereka dengan seruan reformasi sejagat demi mempertahankan periuk nasi rakyat Malaysia dari terus diratah dengan sewenang-wenangnya oleh regim Mahathir apatah lagi untuk akur pada madah berhelah regim Mahathir yang ingin melihat sebuah lagi parti serpihan UMNO. TAMAT.