BUKTI BAGAIMANA POLIS, HAKIM DAN MEDIA BERSEKONGKOL DENGAN ORANG POLITIK DALAM PAKATAN JAHAT

Sejak bulan Ogos 1998 lagi, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor yang korup itu, sudah terbukti terlibat dalam pakatan jahat terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada bulan itu pegawai-pegawai polis di Bukit Aman melakukan pelbagai usaha dan tindakan untuk mengada-adakan pelbagai kenyataan palsu tentang DS Anwar Ibrahim. Mereka melakukannya disebabkan Ketua Polis Negara hendak mewajarkan perbuatan Dr. Mahathir memecat DS Anwar Ibrahim.

Peguam Negara Tan Sri Mokhtar Abdullah yang sama korupnya itu juga adalah antara mereka yang melakukan pakatan jahat itu di mana beliau sengaja menolong pihak polis melakukan pelbagai perbuatan yang menyalahi undang-undang kerana hendak membantu Dr. Mahathir.

Bukti-bukti persekongkolan Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Mokhtar Abdullah dapat dikesan dengan sangat jelasnya di dalam beberapa peristiwa yang berlaku sejurus sebelum Dato’ Seri Anwar Ibrahim ditangkap.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebelum beliau ditangkap, beliau sempat mengemukakan saman malu terhadap Khalid Jafri, pengarang buku "50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Layak Menjadi Perdana Menteri". Dalam kes saman malu itu Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjaya mendapatkan injunksi yang menyekat buku itu daripada disebarkan.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa buku itu adalah sebahagian daripada pakatan jahat oleh mereka yang berada di peringkat tertinggi parti UMNO dan Kerajaan untuk menyingkirkan beliau daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes saman malu DS Anwar Ibrahim itu meluluskan permohonan injunksi DS Anwar atas alasan buku itu layak dipanggil "sepucuk surat layang yang panjang". Selepas beliau mengeluarkan perintah injunksi itu hakim tersebut telah dipindahkan secara mengejut ke Mahkamah Tinggi di Shah Alam sebagai ketua Bahagian Undang-Undang Awam, padahal berdasarkan senioriti perkhidmatannya beliau sudah lama layak dinaikkan ke Mahkamah Rayuan. Arahan pindah itu sudah pasti datang daripada Ketua Hakim Negara Tan Sri Eusoff Chin yang tidak kurang korupnya.

Datuk Nallakarupan adalah rakan tenis Dato’ Sei Anwar Ibrahim. Beliau ditangkap pada 3 Julai 1998. Selama 14 hari Datuk Nalla tidak dibenarkan berjumpa sesiapa pun. Kemudian pada 12 Ogos Datuk Nalla dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memiliki secara haram sejumlah peluru hidup, walaupun pada waktu itu beliau mempunyai lesen pistol yang sah.

Pada mulanya Datuk Nalla dituduh di bawah Akta Senjata Api yang membawa hukuman denda ataupun penjara, dan beliau boleh diikat jamin. Tidak lama kemudian, tiba-tiba tuduhan-tuduhan itu ditarik balik dan digantikan dengan tuduhan di bawah Akta Keselamatan Negara (ISA) atas kesalahan yang sama, di mana hukuman yang menanti Datuk Nalla ialah gantung sampai mati dan beliau tidak boleh diikat jamin. Arahan supaya tuduhan-tuduhan itu ditukar sudah pasti datangnya daripada Peguam Negara Tan Si Mokhtar Abdullah.

Selepas itu Datuk Nalla ditahan reman di Penjara Sg. Buloh, sementara menunggu dia dibicarakan. Pada satu hari, tiba-tiba sekumpulan pegawai polis datang ke penjara dan menyeret Datuk Nalla keluar lalu membawanya ke Ibu Pejabat Polis bukit Aman. Di sana Datuk Nalla dikurung seorang diri.

Mula-mula polis Bukit Aman tidak membenarkan Datuk Nalla berjumpa peguam-peguamnya. Akhirnya peguam-peguam Datuk Nalla dapat juga berjumpa dengan anak guam mereka itu. Datuk Nalla kemudian membuat permohonan di mahkamah bahawa dia ditahan secara haram oleh polis di Bukit Aman dan dia meminta mahkamah supaya dia diletakkan semula di bawah pengawasan pihak penjara dan dihantar balik ke penjara Sg. Buloh.

Datuk Nalla juga mendakwa dia disiksa teruk oleh polis Bukit Aman dengan pelbagai jenis penyiksaan supaya dia mahu menandatangani kenyataan-kenyataan palsu berkenaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Datuk Nalla juga mendakwa polis Bukit Aman mengancam akan menuduhnya di bawah ISA dan dia akan mati di tali gantung.

Permohonan Datuk Nalla itu didengar oleh hakim Datuk Abdul Wahab Patail di Mahkamah Tinggi pada 3 September 1998, iaitu sehari selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Cara-cara bagaimana hakim Wahab Patail mendengar rayuan Datuk Nalla cuma mendedahkan lebih banyak maklumat berkenaan pakatan jahat menjatuhkan DS Anwar Ibrahim.

Pada 2 September 1998, sebagai balasan kepada afidavit Datuk Nalla yang mengandungi huraian terperinci berkenaan pelbagai penyiksaan yang dilakukan oleh polis Bukit Aman ke atas dirinya, pada hari yang sama juga pihak pendakwa memfailkan beberapa afidavit mereka sendiri.

Dalam afidavit polis itu, mereka cuma mengatakan apa yang disebut oleh Datuk Nalla adalah tidak benar belaka. Itu sahaja. Pihak polis tidak pula mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong penafian mereka. Lazimnya, mahkamah tidak boleh menerima-pakai sebarang kata-kata penafian yang tidak disertakan dengan bukti-bukti kukuh, tetapi hakim Datuk Abdul Wahab Patail menerima afidavit polis yang begitu.

Dalam mahkamah yang sama juga, pada hari itu, polis Bukit Aman memfailkan afidavit yang ditanda tangani oleh SAC II Musa Hasan. Di dalam afidavitnya, SAC II Musa Hassan menyenaraikan pelbagai dakwaan bahawa Dato’ Seri Anwar terlibat dengan pelbagai jenis jenayah, daripada jenayah zina, liwat, rasuah, hingga kepada tuduhan mengkhianati negara.

Tuduhan-tuduhan yang terkandung di dalam afidavit SAC II Musa Hasan itu merupakan dakwaan-dakwaan yang berdasarkan cakap-cakap orang, malah banyak daripada tuduhan itu adalah berdasarkan cakap-atas-cakap. Bukan sekadar itu sahaja, afidavit polis itu tidak pun menyebut siapa-siapa yang bercakap. Dakwaan-dakwaan yang hanya berdasarkan cakap-cakap orang tidak layak diterima oleh mahkamah, baik dalam mahkamah sivil bagi kes saman malu apatah lagi dalam mahkamah jenayah. Tetapi hakim Abdul Wahab Patail menerima afidavit yang begitu.

Kemudian baru diketahui, rupa-rupanya, pada hari yang sama juga, Peguam Negara sudah awal-awal lagi memberikan salinan afidavit SAC II Musa Hasan itu kepada para wartawan.

Sebaik-baik menerima salinan afidavit Musa Hasan, mula-mula sekali, peguam-pegam Datuk Nalla memohon kes itu ditangguhkan dahulu kerana anak guam mereka perlukan masa bagi menjawab pelbagai tuduhan dalam afidavit Musa Hasan. Sebenarnya permohonan itu cuma membahayakan keselamatan Datuk Nalla sendiri disebabkan dia akan dikurung lebih lama di BukitAman, namun permohonan itu dibuat juga. Hakim Datuk Abdul Wahab Patail MENOLAK permohonan Datuk Nalla, lalu meneruskan perbicaraan hari itu, padahal apa yang dilakukan oleh polis adalah menyalahi undang-undang.

Kemudian, peguam-peguam Datuk Nalla memberitahu hakim Datuk Abdul Wahab Patail, iaitu abang kepada Datuk Gani Patail, supaya beliau menghalang afidavit SAC II Musa Hasan daripada diterbitkan oleh mana-mana media disebabkan afidavit itu belum lagi dibacakan di depan hakim.

Kemudian peguam-peguam Datuk Nalla juga memohon supaya hakim mengeluarkan perintah sementara bagi menghalang mana-mana pihak daripada menerbitkan afidavit SAC II Musa Hasan sehinggalah mahkamah selesai mendengar perbahasan mengenainya.

Sekali lagi Hakim Abdul Wahab Patail MENOLAK permohonan itu atas alasan kononnya afidavit itu adalah "dokumen awam" oleh itu isinya ia boleh didedahkan kepada orang ramai, padahal hujah hakim itu adalah salah. Pada hari yang sama juga, semua akhbar, radio dan televisyen di Malaysia yang dikuasai oleh kerajaan menyiarkan secara besar-besaran seluruh afidavit tersebut dalam ‘keluaran khas’.

Kemudian Datuk Nalla mengeluarkan kenyataan akhbar di mana dia menafikan isi kandungan afidavit SAC II Musa Hasan, tetapi kenyataan Datuk Nalla itu tidak diterbitkan oleh mana-mana media.

Pada hari yang sama juga hakim Datuk Abdul Wahab Patail MENOLAK permohonan Datuk Nalla supaya beliau dihantar semula ke Penjara Sg. Buloh, sebaliknya hakim membenarkan polis terus menahan Datuk Nalla di Bukit Aman padahal keputusan itu jelas salah.

Yang lebih mengejutkan lagi, hakim Datuk Abdul Wahab Patail langsung tidak peduli kepada perkara yang paling penting di dalam afidavit Datuk Nalla, iaitu dia telah disiksa oleh polis di Bukit Aman dan memaksanya menurunkan tanda tangannya ke atas kenyataan-kenyataan palsu yang disediakan oleh polis. -RN