FATWA SEORANG ‘ULAMA BESAR DAN PAKAR RUJUK ISLAM

PROF DR. YUSOF QARDHAWI

 

 

Seperti mana diketahui bahawa Prof Dr. Yusof Qardhawi adalah salah seorang ‘ulama semasa yang berkemampuan mengeluarkan pendapat syara’ dengan berani dan bebas tanpa rasa takut kepada seseorang pemerintah ataupun negara. Beliau adalah anggota dalam beberapa lembaga dan institusi ‘ilmiah dan da’wah, antaranya ialah Lembaga Fiqh Rabitah ‘Alam Islami Makkatul Mukarramah dan Lembaga Di Raja bagi Kajian Tamaddun Islam di Jordan dan juga Markaz Pusat Kajian Islam di Oxford dan begitu juga Majlis Amanah di Universiti Islam Islamabad dan Organisasi Da’wah Islamiah di Khartoum, Ketua Jawatankuasa Perunding Syari’ie di beberapa bank Islam, Ketua Pusat Kajian Sunnah dan Sirah di Qatar dan Pengerusi Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah.

 

Ada permintaan fatwa mengenai pendapat syara’ tentang tuduhan-tuduhan yang ditujukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mahathir Mohamed terhadap Dato’ Sri Anwar Ibrahim. Maka beliau, Dr. Yusof Qardhawi telah menjawab persoalan ini.

 

 

DR. YUSOF QARDHAWI JAWAB ISU TUDUHAN TERHADAP ANWAR IBRAHIM.

 

Soalan Pertama:

Jika seseorang yang dikenali ramai sebagai istiqamah, keperibadian yang solih sepanjang hidupnya, tiba-tiba dituduh dengan tohmahan-tohmahan yang keji seperti berzina, melakukan liwat, membunuh dan lain-lain. Apakah hukum syara’ berkenaan dengan orang yang menuduh dan yang dituduh? Adakah orang yang dituduh wajib membela diri dan apakah kewajipan masyarakat muslim terhadap perkara ini?

 

Jawapan:

Menuduh orang-orang yang bersih dengan tohmahan terutama tohmahan yang besar seperti berzina, liwat dan membunuh adalah merupakan perbuatan yang diharamkan secara tegas oleh Islam. Bahkan ia termasuk dalam dosa-dosa besar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah dan azabNya. Sebab tohmahan-tohmahan seperti itu berupaya untuk menyerang kemuliaan diri orang-orang yang beriman samada lelaki atau perempuan. Ianya juga boleh menyebabkan orang ramai berburuk sangka terhadapnya, manakala orang-orang yang rendah akhlaqnya mungkin boleh melakukan tindakan-tindakan yang tidak diinginkan terhadapnya. Perkara sedemikian juga menyebabkan tersebarnya kejahatan di kalangan orang-orang yang beriman. Oleh itu, Al-Quran mengecam keras perilaku seoerti ini dan mengancam para pendusta yang melakukannya dengan seksaan di dunia dan di akhirat. Firman Allah swt:

 

Terjemahan: Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.

(Surah Al-Ahzab, 33:58)

 

Firman Allah swt:

 

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik yang lengah (tidak pernah terlintas untuk melakukan perbuatan yang keji) lagi beriman (dengan tuduhan zina), mereka kena la’nat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka ‘azab yang besar. Pada hari (ketika) lidah , tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal menurut semestinya, dan tahulah mereka bahawa Allahlah Yang Benar, lagi Yang Menjelaskan (segala sesuatu menurut hakikat yang sebenarnya).

(Surah An-Nur, 24:23-25)

 

Para ‘ulama telah sepakat (ijma’) mengatakan bahawa dosa dan hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan ke atas lelaki mukmin adalah serupa dengan dosa dan hukuman terhadap mereka yang melemparkannya ke atas wanita mukminah. Ayat di atas turun dalam bentuk seperti ini (menggunakan perkataan mukminat) kerana ayat tersebut diturunkan khas sebagai pembelaan terhadap Ummul Mukminin ‘Aiesyah As-Siddiqah binti Abu Bakar As-Siddiq. Beliau merupakan salah seorang isteri yang paling dicintai oleh Rasulullah saw selepas Khadijah. Peribadi yang suci ini terpaksa berhadapan dengan tuduhan yang keji. Orang-orang munafiq menyebarkan khabar angin tentangnya dan melemparkan tohmahan bahawa beliau telah melakukan skandal dengan salah seorang sahabat Rasulullah saw yang tidak pernah diragui kebersihan peribadinya. Orang-orang munafiq benar-benar telah menggunakan peluang ini dengan mengobarkan api fitnah. Demikianlah kisah ‘Hadith al-Ifki’ yang telah mempermalukan dan meresahkan rumah Nabi saw, rumah Abu Bakar as-Siddiq serta seluruh bandar Madinah. Akhirnya turunlah ayat Al-Quran daripada petala langit yang tujuh, bagi menerangkan perkara tersebut secara jelas dan tegas dan mengembalikan keadaan seperti sediakala. Ayat tersebut juga telah membisukan lidah-lidah para pendusta dan membersihkan kembali nama ‘Aiesyah yang jujur dan suci daripada segala tuduhan jahat. Selepas turunnya ayat-ayat tersebut, kaum Muslimin pun merasa lega kerana telah terkeluar daripada fitnah yang keras dan pahit itu.

 

Bacalah firman Allah swt dalam surah An-Nur:

 

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu mengira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya ‘azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukmin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." Mengapa mereka (yang menuduh itu) tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah pada sisi Allah orang-orang yang dusta.

(Surah An-Nur, 24:11-13)

 

Inilah hukum Allah yang tegas: sesiapa yang menuduh orang lain telah melakukan perbuatan keji seperti berzina maka dia mesti mengukuhkan tuduhannya itu dengan mendatangkan empat orang saksi yang ‘adil dan tidak cacat keperibadiannya. Kesemua saksi itu mestilah telah melihat yang tertuduh sedang melakukan perbuatan zina dengan perempuan secara jelas dengan mata kepala mereka sendiri. Demikianlah sebagaimana yang telah diterangkan secara kiasan dalam undang-undang syari’ah: seperti besi celak dimasukkan ke dalam bekasnya atau seperti pena dimasukkan ke dalam botol dakwat. Jika orang yang menuduh tidak berjaya mendatangkan empat saksi sebagaiman yang diterangkan di atas, maka dia dianggap sebagai seorang pendusta di sisi Allah swt. Allah menegaskan bahawa si pendusta ini mesti dikenakan hukuman syari’ah, bahkan dia terkena tiga jenis hukuman yang tertera dalam Al-Quran Al-Karim, iaitu pada firman Allah swt:

 

Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.

(Surah An-Nur, 24:4-5)

 

Ayat-ayat yang mulia di atas menybutkan tiga jenis hukuman terhadap jenayah yang keji itu.

 

Pertama: Hukuman fizikal, iaitu disebat sebanyak lapan puluh sebatan. Sebatan yang menyakitkan tubuh badannya itu merupakan balasan terhadap perbuatannya menyakiti peribadi orang-orang yang baik. Tuduhan yang telah disebarkannya itu juga boleh memusnahkan kehidupan orang-orang yang dituduh beserta kaum keluarganya.

 

Kedua: Hukuman moral dan sosial, iaitu dengan menggugurkan segala pertimbangan moral dan sosial orang yang menuduh. Kesaksiannya dalam urusan kewangan, sivil, sosial, politik tidak boleh diterima pakai. Perkataan ‘kesaksian’ dalam ayat di atas diturunkan dalam bentuk nakirah (am) dan berbentuk penafian. Oleh itu, ia mencakupi seluruh jenis kesaksian. Berdasarkan hal ini, orang itu wajib digugurkan haknya untuk mengundi dalam pilihanraya, terlebih lagi hak untuk diundi.

 

Ketiga: Hukuman agama, iaitu dengan menggelarinya sebagai orang yang fasiq dan memasukkannya ke dalam golongan ‘Fasiqun’. Al-Quran menyebutkan kefasiqan sebagai lawan daripada keimanan.

 

Firman Allah swt:

 

Tejemahan: Maka apakah orang yang beriman seperti orang yang fasiq? Mereka tidak sama. Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan ‘amal-‘amal solih, maka bagi mereka syurga-syurga tempat kediaman, sebagai pahala terhadap apa yang telah mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang yang fasiq, maka tempat mereka adalah neraka. …………….

(Surah As-Sajdah, 32:18-20)

 

Al-Quran juga telah meletakkan gelaran fasiq ini kepada iblis, makhluq paling durjana.

 

Firman Allah swt:

 

Terjemahan: ……………….Dia adalah dari golongan jin, maka dia berlaku fasiq (derhaka) terhadap perintah Tuhannya. ……………………….

(Surah Al-Kahfi,18:50)

 

Walaubagaimanapun, dengan rahmat dan kasihnya Allah masih lagi membuka pintu taubat bagi mereka yang ingin mensucikan dan membersihkan diri. FirmanNya:

 

Terjemahan: Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah An-Nur, 24:5)

 

Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa taubat hanya diperkenankan bagi memansuhkan hukuman terakhir, iaitu penggelaran dirinya sebagai fasiq. Taubat tidak akan memansuhkan hukum gugurnya kesaksian dari pihaknya. Sebab perkara ‘gugurnya kesaksian’ dalam ayat di atas disifatkan Allah sebagai kekal. "Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya."

 

Jenayah melemparkan tohmahan itu boleh menjadi lebih besar jika orang yang dituduh dikenali oleh khalayak ramai sebagai orang yang istiqamah dan solih. Mereka mengenalnya sebagai orang yang baik dan tidak pernah menyaksikan sebarang kejahatan dilakukannya. Sesungguhnya suara orang ramai merupakan pena-pena kebenaran. Kesaksian yang boleh dipertimbangkan hanyalah kesaksian orang-orang yang solih dan baik. Sebab mereka merupakan saksi-saksi Allah di atas mukabumi, sepertimana yang digambarkan oleh salah satu hadith Rasulullah saw.

 

Pandangan dan sikap Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas dan keras. Islam tidak membenarkan seorang Muslim menyakiti perasaan seorang saudaranya sesama Muslim dengan perkataan menghina, samada di hadapannya atau di belakangnya.

 

Firman Allah swt:

 

Terjemahan: Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mait? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Hujurat, 49:12)

 

Dalam satu hadith sahih Rasulullah saw bersabda:

 

Maksudnya: Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.

 

Jika Islam tidak menentukan sikap yang tegas seperti ini tentu akan terjadi perbalahan di antara seluruh manusia, manakala kemuliaan serta maruah diri mereka akan ditindas. Akhirnya musnahlah seluruh haq dan kebebasan.

 

Bertolak atas kesedaran ini pula Islam memerintahkan kita untuk tidak menceritakan aib orang lain demi menjaga maruah dan peribadinya. Rasulullah saw telah bersabda kepada seseorang yang menggesa Ma’iz untuk mengaku berzina sehingga dijatuhkan hukuman rejam: "Jika engkau tutupinya dengan bajumu tentu lebih baik untukmu". Rasulullah juga bersabda: "Seluruh umatku akan memperolehi pengampunan, kecuali orang-orang yang suka menyebarkan aib orang lain". Dan baginda bersabda: "Sesiapa yang menutupi kesalahan orang Muslim, nescaya Allah akan menutupi (kesalahannya) di dunia dan akhirat".

 

Allah swt berfirman dalam Al-Quran Al-Karim:

 

Terjemahan: Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka ‘azab yang pedih di dunia dan akhirat……………..

(Surah An-Nur, 24:19)

 

 

 

Soalan Kedua:

Adakah orang yang dituduh berhak untuk membela diri? Bolehkah ia dicegah dari melakukan hal itu? Apakah kewajipan masyarakat muslim di sekelilingnya? Bolehkah mereka berdiam diri dan membiarkan perkara tersebut berlalu begitu sahaja?

 

Jawapan:

Hak seseorang yang dituduh dengan tuduhan melibatkan agama, maruah serta moral ialah:

Membela diri dari tuduhan orang yang talah menzaliminya dan meninggikan suaranya dalam menyuarakan kebenaran. Bahkan dalam satu ayat Al-Quran, Allah telah memberinya satu haq istimewa untuk melindungi kehormatan dan maruah dirinya. Firman Allah:

 

Terjemahan: Allah tidak menyukai ucapan-ucapan buruk yang (diucapkan) dengan terus-terang, kecuali oleh orang-orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

(Surah An-Nisaa’, 4:148)

 

Tidak boleh sesiapapun mencegah atau melarang orang yang dituduh daripada membela dirinya. Ia merupakan haq yang biasa dan sah di sisi hukum syari’ah. Allah telah memberikan peluang kepada iblis yang dila’nat untuk berdebat mempertahankan kesombongannya dengan mengatakan, "Saya lebih baik dari Adam." Bahkan pada hari qiamat, Allah juga memberi peluang kepada setiap diri untuk mengetengahkan pembelaan terhadap dirinya.

 

Oleh itu masyarakat Muslim mesti memberikan peluang kepada orang yang dituduh dan melindungi haq dan kebebasannya seluas-luasnya dalam proses pembelaan itu. Dia mesti dibenarkan membela dirinya secara lisan, menulis di surat-surat khabar dan berucap di radio dan televisyen. Terutama jika pandangan umum akan memberi kesan yang cukup besar dalam kes tersebut.

 

Secara syari’ah, dia tidak boleh diserahkan kepada taring-taring para lawannya yang mencarik-carik kredibilitinya siang dan malam dan membiarkan masyarakat awam hanya menjadi penonton tanpa mampu berbuat apa-apa. Akibatnya, pintu pun tertutup rapat di hadapan orang yang dituduh. Dia tidak mampu melawan sebab tidak memiliki sebarang kelengkapan, sedangkan para musuhnya memiliki seluruh jenis senjata. Mereka telah melucuti dirinya daripada sebarang kekuasaan, bahkan lebih dari itu, mereka juga telah mengajak orang ramai untuk ikut serta dalam angkatan dusta dengan menyebarkan perkataan-perkataan jahat yang tidak pernah diengkari. Firman Allah:

 

Terjemahan: ………………kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikitpun dan kamu menganggapnya sebagai sesuatu yang ringan sahaja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.

(Surah An-Nur, 24:15)

 

Masyarakat Muslim merupakan satu masyarakat yang saling bertimbang-rasa dan penuh tanggung-jawab antara satu sama lain. Ia tidak akan membiarkan seorang yang baik dan tidak bersalah menjadi korban satu kezaliman yang kuat, konspirasi dan makar (tipu daya) yang memusnahkan. Masyarakat Muslim tidak akan berdiam diri menyaksikan perkara itu semua, sebab seorang yang berdiam diri terhadap kebenaran serupa dengan syaitan bisu. Allah swt berfirman:

 

Terjemahan: Mengapa diwaktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak berbaik sangka terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata, "Ini adalah satu berita bohong yang nyata".

(Surah An-Nur, 24:12)

 

Inilah sepatutnya sikap masyarakat mukmin yang mengambil berat antara satu sama lain. Allah berfirman:

 

Terjemahan: Dan orang-orang yang beriman , lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain………………………

(Surah At-Taubah, 9:71)

 

 

Rasulullah saw bersabda:

Maksudnya: Seorang Muslim itu merupakan saudara kepada Muslim yang lain. (Oleh itu) dia tidak boleh menzalimi atau membiarkannya terlantar.

(Muttafaq ‘alaihi)

 

Maksudnya: Tolonglah saudaramu sama ada dia zalim atau dizalimi. Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, tentu kami akan menolongnya jika dizalimi. Tetapi bagaimanakah kami menolongnya jika dia sendiri berlaku zalim? Rasulullah bersabda: "Dengan mencegahnya dari melakukan kezaliman. Begitulah cara menolongnya".

(Muttafaq ‘alaihi)

 

Islam mewajibkan masyarakat Muslim untuk menolong orang yang dizalimi dari terus dianiaya oleh orang yang zalim tanpa mengira berapa tinggi darjat atau pangkat penzalim itu. Hadith Nabi menjelaskan:

 

Maksudnya: Jika kamu melihat umatku telah takut untuk mengatakan kepada si zalim: "wahai zalim", maka mereka telah ditinggalkan (Allah).

 

Setiap Muslim yang mengenal kebaikan peribadi saudaranya wajib membelanya jika ia mendengar saudaranya itu diberitakan secara buruk. Satu hadith menyebutkan:

 

Maksudnya: Sesiapa yang membantah untuk (melindungi) maruah saudaranya, nescaya Allah akan menolak api neraka daripada wajahnya di hari qiamat.

(Riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

 

 

 

Soalan Ketiga:

Bagaimana caranya mewujudkan satu perbicaraan yang jujur, berkecuali dan ‘adil, tidak dipengaruhi oleh kuasa pemerintah dan hanya menggunakan syari’ah sebagai landasan hukum yang sah? Juga direstui oleh orang ramai sebagai hakim dalam memutuskan perselisihan dan pertelingkahan?

 

Jawapan:

Orang yang dituduh melakukan perbuatan zina (al-maqzuf), liwat atau sepertinya tidak perlu dibicarakan. Sebaliknya yang perlu dibicarakan ialah orang yang menuduh. Sebab dia telah melemparkan tuduhan ‘qazaf’ (melemparkan zina) maka diwajib mengemukakan bukti-bukti yang kukuh. Kaedah syari’ah berkenaan ini ialah : Orang yang menuduh wajib mengemukakan bukti dan orang yang dituduh wajib mengucapkan sumpah.

 

Walaubagaimanapun dalam kes seperti ini, orang yang dituduh tidak dituntut untuk bersumpah. Sebab pada dasarnya setiap manusia itu bersih daripada sebarang tuduhan, sepertimana secara hukum asalnya setiap Muslim mesti berbaik sangka dan memandang dengan pandangan yang baik sesama mereka.

 

Adalah haq setiap orang yang dituduh dengan tohmahan keji ini untuk menuntut orang yang menuduhnya dalam satu perbicaraan mahkamah syari’ah yang ‘adil. Manakala kewajipan seorang Qadhi Muslim yang menangani kes ini dengan cara yang diredhai Allah dan hukum syari’ahnya ialah : menuntut penuduh untuk mengemukakan bukti berkenaan dakwaannya, iaitu empat orang saksi sepertimana yang diterangkan oleh Al-Quran. Jika dia tidak berbuat demikian maka gugurlah dakwaannya. Qadhi wajib menegakkan hukuman Allah ke atas dirinya iaitu dengan menyebatnya sebanyak 80 sebatan, menghilangkan haqnya dalam memberikan kesaksian, dan mengecapnya sebagai fasiq melainkan jika ia bertaubat.

 

Pengecualian untuk hukum hanya pada satu kes sahaja sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran, iaitu jika seorang suami menuduh isterinya sendiri melakukan perbuatan zina. Inilah ketentuan fardhu Allah terhadap mereka berdua yang dikenali dengan istilah "al-Li’an". Dalam hal ini , suami tidak dituntut mengemukakan empat orang saksi terhadap perbuatan zina yang dilakukan oleh isterinya sendiri dan dilihatnya dengan mata kepalanya sendiri. Dia juga tidak diwajibkan untuk terus bersekududukan bersama isterinya yang didakwa atau dikira berkelakuan buruk itu. Itulah sebabnya Allah menentukan satu prosedur hukum yang berakhir dengan perceraian abadi antara kedua-duanya. Firman Allah swt:

 

Terjemahan: Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), sedangkan mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka kesaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar. Dan (sumpah) yang kelima: bahawa la’nat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Isterinya itu dihindarkan daripada hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah, sesungguhnya suaminya itu termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima bahawa la’nat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar.

 

 

 

Soalan Keempat:

Jika seorang pemimpin negara di beberapa kawasan berselisih pendapat dengan timbalannya mengenai isu-isu kewangan, pentadbiran, politik dan lain-lain sehingga mereka berdua saling melemparkan tuduhan-tuduhan antara satu sama lain, maka apakah syari’ah untuk menyelesaikan pertelingkahan antara keduanya?

 

Jawapan:

Cara yang terbaik berkenaan dengan perkara ini ialah melantik pihak berkecuali yang tidak boleh dipengaruhi oleh pujukan atau ugutan oleh penguasa atau ganjaran atau ancaman daripada pemerintah. Dia mesti melihat perkara ini dengan pandangan yang neutral, ‘adil dan mementingkan maslahat umat, sambil berusaha sedaya-upaya mencari taufik dari Allah dalam memutuskan perkara tersebut. Sesungguhnya tangan Allah itu sentiasa berada dalam jama’ah, bersatu-padu itu akan sentiasa mendatangkan kebaikan, manakala perpecahan adalah punca segala keburukan.

 

Inilah yang pernah dilakukan oleh Amirul Mukminin ‘Ali bin Abi Talib Karamallahu Wajhah. Sebelum itu para sahabat yang berada bersamanya atau bersama Muawiyah juga telah melakukan perkara yang sama, kaum Khawarij menentang kebijaksanaan tersebut seraya melaungkan slogan: "Tidak ada hukum kecuali hukum Allah." Tetapi Abdullah bin Abbas ra berjaya membungkam mereka dengan hujjah-hujjah yang jelas dan tegas. Beliau menjelaskan bahawa usaha mencari orang tengah sebagai hakim justeru diperbolehkan oleh Allah dalam perkara-perkara yang jauh lebih remeh seperti perselisihan dalam keluarga antara suami-isteri. Jika ia dibolehkan dalam perkara-perkara besar dalam perselisihan faham berkaitan dengan umat. Selanjutnya Abdullah bin Abbas ra membacakan firman Allah berikut di hadapan mereka:

 

Terjemahan: Dan jika kamu khuatir berlakunya perselisihan di antara kedua-duanya(suami-isteri), maka kirimlah seorang hakam (juru pendamai) daripada keluarga lelaki dan seorang hakam daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan nescaya Allah memberikan taufiq kepada suami-isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

(Surah An-Nisaa’, 4:35)

 

Saya berpendapat satu jawatankuasa yang terdiri daripada para cendikiawan Muslim yang bijaksana dari Indonesia, Pakistan, Arab Saudi atau lainnya yang dapat mengadili perselisihan ini dengan kebenaran-kebenaran yang Allah tunjukkan kepada mereka, diiringi dengan niat solih, keazaman yang benar, usaha yang bersungguh-sungguh. Dan dengan itu terlerailah segala kesulitan, terbukalah jalan dan berlakulah kesepakatan (taufiq) sepertimana pesanan Allah swt berkenaan juru pendamai:

 

Terjemaham: Jika kedua orang hakam (juru pendamai) bermaksud untuk mengadakan perbaikan nescaya Allah memberi taufiq suami-isteri itu.

(Surah An-Nisaa’, 4:35)

 

Amat besar harapan saya saudara-saudara di Malaysia tercinta, agar mereka berusaha sedaya-upaya untuk memadamkan api fitnah dan kembali bersatu-padu memperkuatkan ketahanan bangsa, demi menghadapi pakatan-pakatan jahat yang dirancang oleh kuasa-kuasa besar bagi menghancurkan mereka secara khas dan secara umum. Dan itulah cara yang termudah bagi mereka meni’mati kekayaan dan khazanah negara sedangkan umat dalam kealpaan dan bercakaran sesama sendiri.

Jiwa saya seperti berkecai dan hati saya rasa seperti dihiris melihat kejadian-kejadian yang berlaku terhadap umat Islam. Allah telah menjadikan mereka sebagai umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, tetapi sayangnya mereka saling melancarkan tipu-daya untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Akhirnya yang rugi tentulah negara dan bangsa sendiri. Manakala pihak yang memperoleh keuntungan daripada perselisihan tersebut ialah Israel, Amerika dan kuasa-kuasa lain yang menanti masa untuk menyerang kaum Muslimin. Merekalah yang malaga-lagakan untuk memetik hasil daripada pergaduhan dan pertelingkahan yang berlaku. Mereka meni’mati hasil yang maksima daripada pergaduhan antara dua kelompok. Wala hawla wala quwata illa Billah.

 

Saya mengingatkan saudara-saudara saya akan firman Allah swt:

 

Terjemahan: Dan berpeganglah kamu kepada kamu semua kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. Ingatlah akan ni’mat Allah kepadamu semasa kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu jadilah kamu kerana ni’mat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat kepadamu, agar kamu peroleh petunjuk.

(Surah Ali Imran, 3:103)

 

 

 

Al-Faqir IlaLlah Ta’ala

Yusof Qardhawi

 

10 September 1998

18 Jamadil Awal 1419