Nama aku Datuk Seri.

Semua orang keliling aku panggil aku Datuk Seri. Mereka semua tunduk hormat masa bersalam dengan aku. Nampak kagum dalam tutur mereka. Nampak hormat dalam tingkah mereka. Nampak harapan di mata mereka. Sebab nama aku Datuk Seri.

Berpuluh-puluh tahun dahulu tak ada sesiapa pun yang kenal aku. Semua orang ingat aku jahat sebab aku bergaduh dengan Datuk Seri Pada Masa Itu. Aku kena cerca, aku kena tangkap, aku kena buang negeri. Tapi mereka tak tahu yang aku juga akan jadi Datuk Seri. Mereka ingat aku lemah. Mereka ingat aku bodoh. Aku datang balik. Manusia ini memang bodoh walaupun diberi akal. Mereka cepat lupa dan lambat belajar. Aku tahu itu , jadi aku datang balik dan aku jadi Datuk Seri.

Sekarang keliling aku ialah orang yang berpaut dan mengharap. Kalau aku kata "ketawa kau!" jadi ketawalah mereka. Kalau aku kata "menangislah kau!" maka menangislah mereka. Kalau mereka tak mahu, aku akan runtuhkan segala batu-bata rumah mereka yang mereka bina selama ini. Batu-bata itupun aku yang beri. Jadi malu berbogelah mereka nanti, dan akan diketawakan oleh oranglah mereka nanti, jadi mareka takut nak lawan aku. Itu pasal aku jadi Datuk Seri.

Seronok memang seronok jadi Datuk Seri. Macam-macam perkara kita boleh buat, hanya dengan tandatangan sahaja. Semua orang akan ikut. Tak kiralah samada Agama atau tidak, Undang-Undang atau tidak, tengok sahaja tandatangan Datuk Seri semua orang akan ikut, semua orang akan melutut. Tapi bukan senang nak jaga kuasa Datuk Seri. Orang yang kononnya kawan kita pun boleh tikam dari belakang. Mereka senyap-senyap tunggu, angguk sana, angguk sini, kemudian bila sudah dapat pengaruh, mereka pun nak jadi Datuk Seri. Dulu ada kawan aku seorang, Kuali nama dia. Kononnya Kuali ni baik sangat dengan aku. Tapi satu hari dia muncul dengan beberapa Pembesar aku, dia kata giliran dia pula jadi Datuk Seri. Mana boleh! Dia ingat ini macam naik bas? Aku ajak dia bergaduh, kalah juga dia akhirnya. Tapi Rumah aku ikut terbakar sekali, dan aku terpaksa buat Rumah Baru. Tapi lihatlah sekarang, Kuali sudah kembali datang melutut merayu meminta ampun supaya aku benarkan dia masuk ke Rumah aku kembali. Oleh kerana aku Datuk Seri yang kuat, yang tiada tolok bandingannya jadi apa salahnya kita berikan sedikit ehsan kepada manusia begini. Tapi daripada peristiwa ini, aku dapat pengajaran baru.

Datuk Seri Dulu-Dulu ada buat undang-undang supaya tak ada sesiapapun boleh jadi kuat macam Gunung Kinabalu. Aku pun pandai juga, aku buat undang-undang supaya tak ada sesiapapun jadi sekuat Datuk Seri. Dulu Sultan Mansur Syah ingat dia boleh pukul kedi sampai mati lepas tu balik rumah hisap rokok. Kalau Datuk Seri tak buat, orang lain tak boleh buat. Jadi bila aku jadi Datuk Seri, kalau Sultan Mansyur Syah pukul kedi, balik rumah nanti Sultan Mansyur Syah kena gari. Dulu Abbas Saad ingat dia boleh robohkan Rumah yang aku penat-penat buat. Aku pun apa lagi, pergi kansel Abbas Saad itu daripada senarai penerima Subsidi. Sekarang dia sedang merayau sana-sini nak cari orang simpati. Padan muka dekat kau, Abbas Saad. Datuk Seri Dulu-Dulu ingat mereka pandai sangat nak kawal kuasa. Aku lagi pandai. Kalau tak aku tak jadi Datuk Seri.

Tapi manusia ini cepat lupa dan lambat belajar. Sekarang Si Janggut Kambing nak tunjuk belang dia pula. Si Janggut Kambing ini sibuk kehulur-kehilir bising-bising kata harta dengan duit kena bahagi-bahagi sama rata dengan semua orang. Apa dia ingat aku tamak sangat? Aku pun bahagi-bahagikan harta aku. Aku beri pada Mamat bin Datuk Seri. Aku beri pada Tun Kawan Datuk Seri. Aku beri juga pada Kawan aku yang penat urus Kilang Besi itu dulu. Tiap-tiap tahun masa Hari Raya aku juga ada beri sedikit harta kepada mereka yang pilih aku jadi Datuk Seri. Siapa yang kata aku tak adil? Siapa yang kata aku ini tamak kekayaan dunia, hanya untuk perutku sahaja? Akulah yang paling banyak bersedekah pada mereka. Aku tahu mereka memerlukan, jadi aku bagi. Buat Lebuhraya? Jalan Keretapi? Kilang Kereta? Semua aku berikan. Baik yang kulit hitam, ataupun yang mata sepet, ataupun yang suka perempuan bawah umur, ataupun kaki seludup, ataupun kaki kawin artis, semua ada habuan dari aku. Cuma Si Janggut Kambing yang angkuh itu sahaja tak mahu ambil. Masih kehulur-kehilir dengan kereta semput dia. Masih dengan bini dia yang kerepot tu. Tak ada Visi 2020 langsung. Macam mana orang macam ini boleh ada dekat sebelah aku?

Sekarang Si Janggut Kambing sudah aku humban dalam jel. Kononnya dengan omong Agama dia rasa dia boleh cepat-cepat jadi Datuk Seri? Aku suruh Orang Suruhan aku buat pemgumuman yang mengatakan Si Janggut Kambing ini sebenarnya orang songsang. Aku cabut balik batu-bata yang aku bagi dia dulu. Aku pakai Ikut Suka Aku. Apalagi, semua kawan-kawan Si Janggut Kambing mengamuk sakanlah. President Es-Tradamus dari Timur kutuk aku. President Hab-Hab-Horeey dari Barat caci aku. Pill Clington dari Sebelah Lautan Sana tak nak tengok muka aku. Peduli apa aku. Aku kan Datuk Seri.

Orang-Orang Gila pun mula keluar ke jalanan, kononnya mereka tak puas hati dengan aku. Mereka arak sana arak sini macam orang mabuk, mereka kata mereka mahu Si Janggut Kambing keluar jel. Mereka ingat mereka boleh paksa aku turun macam kawan baik aku, Supaerto kena dulu? Sekali aku suruh Orang Suruhan aku pergi belasah mereka, habis semua bertempiaran lari. Semua aku tangkap, semua aku humban dalam jel. Biar semua ikut jadi macam Si Janggut Kambing.

Mereka kata aku tak kuat sokong Agama. Mereka kata aku musnahkan Melayu. Apa mereka sudah lupa, aku tiap-tiap hari Jumaat pakai baju Melayu. Aku sayang Agama, aku sayang Melayu. Aku suruh si Hamido Osmando omong banyak-banyak pasal Agama. Aku beri teks khutbah kepada imam-imam masjid supaya mereka ada benda hendak dicerita semasa khutbah Jumaat. Aku suruh anak perempuan aku jual kondom supaya tak hilang melayu di dunia. Aku buat lapangan terbang, aku buat bangunan tinggi-tinggi supaya Melayu boleh berbangga dan lupa sekilo ayam RM lima. Aku suruh budak-budak sekolah belajar tentang sejarah, tentang Mustapha Kamal Attaturk yang membawa banyak kemajuan kepada Turki. Aku ikut contoh Mustapha Kamal, pisahkan Agama dengan hal-hal Negara supaya kita tidak keliru. Orang Pantai Timur pikir aku bodoh sangat pasal Agama? Mereka hantar Hukum Hudud untuk kami periksa supaya dijadikan Undang-Undang, tapi aku lebih pandai dari mereka. Sekali baca aku tahu Hukum Hudud Orang Timur tak lengkap. Aku suruh mereka buat balik. Nanti boleh serahkan pada Datuk Seri yang lepas aku. Aku ingin jadikan Negara aku semaju Negara Pill Clington ataupun Keizo Obuchi. Aku buat Dasar Lihat Timur. Aku kesana kemari cari duit. Aku buat itu, aku buat ini tapi mereka lupa.

Jadi mengapa ada orang sanggup cuba bunuh aku dengan senapang patah semalam? Aku pergi Pubang Kasu untuk berjumpa dengan orang-orang aku, tapi aku di sambut dengan senapang patah. Orang-orang ini semua tidak mengenang budi. Mereka semua patut di humban dalam jel sama-sama dengan Si Janggut Kambing. Biar padan muka mereka. Walaupun dada aku masih sakit bekas peluru senapang patah, tapi esok aku harus bangun untuk bekerja. Kepada siapa lagi Orang Keliling aku hendak bergantung kalau aku tidak ada? Siapa lagi yang akan memastikan budak senapang patah itu masuk jel kalau bukan aku, Datuk Seri Hakim, Datuk Seri Peguam, Datuk Seri Agong, Datuk Seri Bisnessman, Datuk Seri Imam, Datuk Seri Pembangun Negara?

Tapi malam semalam ada seseorang datang berjumpa aku. Aku belum pernah melihat orang ini sebelum ini. Katanya nama dia Izrael. Tidak ada rasa kagum didalam bicaranya. Tidak ada rasa hormat didalam tingkah lakunya. Bukan seperti orang-orang lain yang pernah aku berjumpa sebelum ini. Kata orang ini dia akan datang lagi menjemput aku malam esok. Tapi esok aku sibuk. Aku harus ke pejebat. Kemungkinan dia tidak mengetahui siapa aku. Kalau aku beritahu dia siapa aku, pasti segala suruhan dan bicara aku dia dengar. Apa yang harus aku takut?

Nama aku kan Datuk Seri?

.