ANTARA AGEN CIA & KGB

sumbangan : Steffan Khinge & Associates

Salah satu tuduhan terhadap Anwar ialah kononnya dia diumpan menjadi agen CIA Amerika. Antara bukti yang dikemukakan ialah liputan media asing yang meluas kepada Anwar, sambutan permaidani merah semasa lawatannya ke Amerika Syarikat dan hubungan baiknya dengan Setiausaha Pertahanan Amerika, William Cohen, Pengarah IMF dan tokoh-tokoh antarabangsa. Mahathir mendakwa kalau Anwar berjaya diperalatkan oleh Amerika maka banyak rahsia negara yang akan jatuh ke tangan musuh.

Apa yang Mahathir susah hati sangat kalau Anwar menerima layanan istimewa di peringkat antarabangsa? Bandingkanlah perwatakan kedua-dua tokoh negara kita ini. Mahathir terkenal dengan hobinya yang suka mengecam Barat. Sikap "recalcitrant"nya memang masyhur di seluruh dunia. Kalau diperhatikan dengan teliti tindak-tanduk, air muka, nada suara dan "body languange" Mahathir, persepsi perwatakannya ialah seorang yang tidak mudah bermesra dengan orang lain, keras kepala, lebih cenderung menyuruh orang menurut cakapnya dan banyak berselindung di sebalik kata-katanya. Manakala Anwar pula suka senyum, mudah berbual dengan sesiapa saja, sanggup mendengar pandangan orang lain dan mengamalkan sikap terbuka. Jadi tidak hairanlah mengapa orang lebih senang berdamping dengan Anwar yang manis ibarat gula berbanding Mahathir yang pahit macam peria. Inilah antara sebabnya mengapa Anwar diberi layanan lebih bagus dari Mahathir.

Apalah yang Mahathir hendak hairankan dengan sambutan permaidani merah yang Anwar dapat sekali-sekala. Hamparan permaidani merah selalu sangat diberikan kepada Mahathir setiap kali dia menjelajah ke seluruh pelusuk Malaysia. Bukan setakat permaidani merah sahaja malahan dikumpulkan beramai-ramai ahli parti-parti komponen BN untuk menyambut Mahathir. Ada di antara orang-orang ini tidak jemu-jemu mencium tangan Mahathir setiap kali berjumpa. Bagi Mahathir laungan "Hidup Mahathir" dan kata-kata memujinya dari orang-orang sebegini jauh lebih penting dari hamparan permaidani. Mahathir akan merasa dirinya disayangi dan disanjungi oleh "rakyat". Tidak kisahlah kalau "rakyat" ini dibawa berbondong-bondong dengan bas dari luar kawasan yang dilawatinya. Mahathir tidak peduli sekiranya mereka ini telah dibayar wang dan segala perbelanjaan ditanggung beres. Lagipun bukan duitnya yang dibelanjakan. Yang penting dunia mesti ditontonkan sandiwara khas kononnya Mahathir ini bertakhta di hati sanubari rakyat Malaysia. Sayang sekali sejak akhir-akhir ini semakin sukar untuk mendapatkan "rakyat" yang seramai biasa untuk meneruskan lakonan di depan kaca TV siaran Rangkaian Televisyen Mahathir (RTM) meskipun diberi ganjaran serupa.

Bukan setakat hamparan permaidani dan "sanjungan rakyat" yang diberikan kepada Mahathir. Kadangkala dia juga dihadiahkan cenderahati berharga seperti kereta Proton. Ada orang beritahu Mahathir ada diberikan sebuah "suite" di Hotel Palace of Golden Horses. Barangkali itu sebabnya dia gemar mengunjungi hotel yang dibina di atas bekas lombong ini. Mungkin kerana inilah hotel yang Mahathir minati maka hotel mahligai baru ini diberikan penghormatan (dan bisnes) menganjurkan sidang-sidang besar seperti Perjumpaan Ketua-ketua Negara ASEAN dan sidang APEC walaupun beroperasi tidak berapa lama. Hotel-hotel besar yang lain berasa kempunan melihatkan peluang-peluang bisnes besar sebegini terlepas kepada hotel milik Country Heights Group of Companies ini.

Mahathir juga ada diperuntukkan sebuah pejabat eksklusif di Tingkat 86, Menara Berkembar Petronas. Barangkali setiap kali bila masuk ke pejabat ini bolehlah Mahathir menjengok ke bawah dan merancang bagaimana hendak stream roll "perkampungan" orang Melayu di Kampung Baru. Sakit mata Mahathir melihat rumah-rumah usang di tengah kotaraya yang pesat berkembang. Orang Kampung Baru tidak menentang pembangunan semula kawasan mereka asalkan mereka masih boleh mengekalkan masyarakat yang telah sekian lama wujud di situ dan pampasan yang diberikan adalah munasabah. Siapalah yang hendak menyerahkan tanah pusaka mereka kalau harga yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding harga yang dibayar kepada Ananda Krishnan semasa pengambilalihan tapak lumba kuda untuk projek KLCC?

Cita-cita Mahathir bukannya cita-cita kecil. Projek-projek yang direstuinya tidak perlu dibahaskan dan mendapatkan kelulusan Parlimen walaupun membabibtkan penggunaan wang rakyat yang membayar cukai samada yang menyokong BN atau tidak. Asalkan Mahathir memberikan lampu hijau projek itu boleh dilaksanakan. Maka tidak peliklah kalau ramai orang yang masih mempertikaikan anggaran kos pembinaan kompleks Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Parlimen diberitahu bahwa kosnya hanyalah RM 17 juta sedangkan Anwar mendedahkan kosnya menjangkau RM 200 juta. Haji Subky Latiff, wartawan veteran yang menulis dalam Harakah menolak kedua-dua anggaran ini. Kata Haji Subky kosnya pasti melebihi RM 200 juta. Sememangnya kos RM 17 juta ini tidak masuk akal kerana pembaikan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor saja dianggarkan menelan belanja RM 5 juta! Manakala kos pembinaan Dewan Menunggu Orang Kenamaan (VVIP) di KLIA pula hampir RM 70 juta. Kalaulah benar kos projek itu hanya RM 17 juta agaknya kompleks Pejabat PM ini diperbuat dari bahan binaan yang murah. Harap-harap tidaklah sampai tumbang macam apartment Highland Towers suatu hari nanti.

Menurut sumber yang hampir dengan projek Putrajaya, anggaran kos semasa kompleks Pejabat Perdana Menteri yang lebih realistik adalah di sekitar RM 300 juta! Di bawah kompleks ini ada tempat lindungan bom (bomb shelter) yang kebal. Tempat ini boleh dimasuki dengan lif eksklusif terus dari pejabat PM. Kos pembinaan "bomb shelter" ini mungkin menjangkau RM 20 juta. Tempat mendarat helikopter juga dibina di kompleks ini. Barangkali helipad ini akan juga digunakan untuk memudahkan Mahathir melarikan diri kalau diserang. Sememangnya sejak kebelakangan ini Mahathir takut nyawanya terancam. Siapalah agaknya yang teringin hendak membunuh Mahathir? Kalau dulu bodyguardnya beberapa orang saja tetapi sekarang ini ditambah menjadi tidak kurang dari 30 orang. Ada sumber pula mengatakan jumlah ini sudah hampir 80 orang. Ini tidak termasuk "iringan sampingan" dari pasukan PDRM. Semasa merasmikan pejabat Reuters di Menara Berkembar Petronas seramai lebih kurang 200 anggota PGA (polis hutan baju hijau) telah mengepong keseluruhan KLCC. Mahathir sememangnya ada "daulat" menandingi kehebatan Sultan Johor yang dikawal oleh Johor Military Force (JMF).

Pada tahun 1970an semasa kegiatan subversif komunis masih lagi aktif ada konspirasi untuk mengaitkan beberapa tokoh negara dengan ancaman komunis. Mahathir merupakan salah seorang tokoh politik yang hendak dijeratkan oleh musuh-musuhnya. Mahathir didakwa pernah berucap di luar negara bahwa ada kemungkinan Malaysia akan menjadi negara sosialis suatu hari nanti. Tentu bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie @ King Ghaz boleh mengesahkan komplot jahat ini. Diketahui umum ketika itu King Ghaz mempunyai cita-cita politik besar. Namun begitu ajal politik Mahathir masih belum tiba kerana orang-orang yang ditahan ISA tidak berjaya di"turn over" untuk membuat pengakuan palsu membabitkan Mahathir.

Antara yang menjadi mangsa konspirasi ini ialah Tan Sri Abdul Samad Ismail, seorang wartawan veteran, Dato' Abdullah Ahmad, kini wakil khas Malaysia ke PBB dan Abdullah Majid. Kisah penahanan mereka ini mendapat gelaran kes Tiga Abdul. Mereka ini telah ditahan di bawah ISA dan dipaksa untuk membuat pengakuan terbuka menerusi kaca televisyen bahwa anasir sosialis/komunis telah menyusup ke dalam UMNO. Anak-anak Ahmad dan Majid itu telah dijanjikan kononnnya akan dibebaskan sekiranya membuat pengakuan tersebut. Namun begitu, setelah muncul dengan pengakuan itu mereka tidak dibebaskan malahan terus ditahan di Kem Kamunting. "Pengakuan" palsu mereka itu dijadikan alasan untuk terus menahan mereka di sana.

Nasib malang yang menimpa Tiga Abdul ini berpunca dari angkara percaturan politik di dalam UMNO pada masa itu. Puak-puak di dalam UMNO menjalankan kempen untuk merebut kuasa bagi kepentingan ketua masing-masing. UMNO pimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn menghadapi cabaran serius dari bekas Menteri Besar Selangor yang berpengaruh, Dato' Harun Idris. Akhirnya pengaruh Dato' Harun berjaya dihancurkan selepas dia didapati bersalah melakukan rasuah. Nampaknya sejarah berulang kembali. Cuma tuduhan "rasuah" yang dihadapi Anwar lebih bersifat teknikal. Malang bagi negara budaya perebutan kuasa di dalam UMNO seperti yang berlaku dahulu masih berterusan sampai ke hari ini. Mahukah rakyat memperjudikan masa hadapan negara tercinta dengan terus menaruh harapan kepada barisan pemimpin yang masih bergelumang dengan gejala yang hina ini? Sesungguhnya tiada pilihan lain kecuali melaksanakan reformasi menyeluruh pada sistem kepimpinan dan politik tanahair. Tanaman yang sudah tenat akibat diserang pelbagai serangga perosak mestilah digantikan dengan tanaman lain yang mampu menghindari ancaman seumpama ini.

Tuduhan menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan menjadi talibarut negara asing bukanlah perkara baru. Sewaktu masih memimpin ABIM Anwar pernah dituduh sebagai agen Libya walaupun tiada bukti konkrit yang dikemukakan. Pihak Special Branch yang dikuasai oleh orang Melayu yang lazimnya beragama Islam sanggup melakukan apa saja asalkan matlamat mereka tercapai. Kalau orang yang ditahan hendak disabitkan dengan propaganda komunis maka pegawai-pegawai SB akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan pengakuan yang diperlukan walaupun ianya palsu. Bukan setakat tuduhan sahaja yang boleh direka tetapi bukti pun akan direka. Dr Munawar Anees diseksa secara fizikal dan mental berkali-kali sehinggakan akhirnya dia bersetuju untuk menurut apa saja kemahuan pihak Special Branch asalkan dibebaskan. Malang bagi Dr Munawar janji-janji itu tidak dikotakan kerana SB tidak pernah berpegang pada sebarang janji.

Dunia masih ingat semasa Mahathir belum menjadi Perdana Menteri, salah seorang pembantu kanannya bernama Sidek Ghouse telah ditangkap kerana disyaki membocorkan maklumat negara kepada Soviet Union. Seorang diplomat Soviet telah diarahkan pulang kerana disyakki menjadi perisik. Pendek kata Sidek Ghouse dituduh menjadi agen KGB. Kalau Sidek dilabel agen KGB maka Mahathir mungkin boleh dilabel Boss Agen KGB agaknya. Mujur bagi Mahathir insiden ini juga tidak memusnahkan karier politiknya. Barangkali Mahathir ada menggunakan beberapa lapis pendinding. Persoalannya apakah Mahathir tidak mengetahui aktiviti-aktiviti "subversif" Sidek itu. Bak kata orang, "kalau dagu mengangguk, janggut ikut sama". Mungkin Mahathir lebih mengetahui keadaan yang sebenar.

Mahathir sebenarnya irihati dengan sanjungan yang Anwar perolehi di serata dunia. Mahathir tahu bahwa masyarakat dunia lebih senang dengan pandangan dan cara Anwar yang lebih liberal dan terbuka. Bagi mereka Anwar mewakili pemimpin berkarisma yang mampu menerajui negara ke alaf yang baru. Sepatutnya Mahathir menyalahkan dirinya sendiri kerana sepanjang pemerintahannya dia telah memusuhi terlalu ramai pihak, mengeluarkan kenyataan-kenyataan keras menghentam Barat, kurang diplomatik dalam pelbagai isu dan meremehkan pandangan pihak lain. Jadi tidak menghairankanlah mengapa pihak asing kurang senang dengannya dan tidak berapa berminat untuk memberikan Mahathir layanan istimewa. Bak kata bahasa pasar, "sendiri bikin, sendiri tanggung".

Mahathir sendiri tahu bahwa tuduhan Anwar menjadi agen Amerika hanyalah rekaan semata-mata. Mereka sesuatu tuduhan bukanlah perkara rumit bagi petugas-petugas SB terlatih kita. Oleh kerana Anwar boleh dihancurkan dengan cara begini, Mahathir merestui perlaksanaan komplot musuh-musuh Anwar. Andaikata kalau musuh-musuh Anwar mencadangkan supaya Anwar dibunuh, mungkin Mahathir akan beri lampu hijau asalkan ancaman Anwar dihapuskan. Sememangnya penzalim yang takut akan kehilangan kuasa sanggup melakukan apa saja demi menyelamatkan kepentingannya dan kuncu-kuncu sekelilingnya. Bagi si Mahazalim "the end justifies the means" (matlamat menghalalkan cara) biarpun perbuatannya menyalahi hukum-hakam agama Ilahi.

Meskipun begitu masa depan negara ini masih mampu ditentukan oleh rakyat. Kuasa merubah keadaan terletak di tangan rakyat jelata. Andaikata kuasa ini dipersia-siakan begitu saja tanpa sebarang kesungguhan janganlah ditangisi malapetaka yang mungkin menimpa diri sendiri di kemudian hari. Tiada siapapun akan bangun mempertahankan hak saudaranya kerana pada hari tersebut individu itu tidak lagi memiliki sebarang hak.