Cetusan Rasa - Majoriti Senyap

Setelah sekian lama, Mahathir dan menteri kabinetnya melaung-laungkan yang "kununnya" "majoriti senyap" rakyat negara ini berdiri teguh dibelakang kerajaan. Mereka telah melangkah setapak lagi dengan menyimpulkan bahawa majoriti senyap ini menentang Gerakan Reformasi. Definisi majoriti senyap Mahathir dan kroninya adalah mudah. Semudah Tom Hanks menggambarkan yang hidup adalah seperti satu kotak coklat dalam filem Forrest Gump. Mengikut tali-barut Mahathir, kesemua rakyat yang tidak menyertai demonstrasi Reformasi adalah majoriti senyap. Melalui perkiraan mereka, rakyat yang tidak menentang kerajaan secara terbuka semestinya menyokong Mahathir 110%.

Betul kah begitu? Saya tidak pernah menghadiri mana-mana perhimpunan Reformasi tetapi saya sama sekali tidak menyokong dasar ekonomi dan kepimpinan (atau kediktatoran) Mahathir. Adakah saya juga dianggap sebahagian dari majoriti senyap? Satu lagi contoh ialah ayah saya sendiri yang merupakan ahli UMNO selama 30 tahun dan menjawat jawatan Bendahari UMNO bahagian meyakini bahawa perbicaraan Anwar hanyalah satu konspirasi untuk menghalang Anwar dari bersuara. Ayah saya juga telah mula membaca Harakah dan buat pertama kalinya menimbangkan kemungkinan untuk mengundi PAS dalam pilihanraya akan datang. Adakah ayah saya juga dianggap sebagai sebahagian dari majoriti senyap? Begitu juga dengan beberapa kawan saya yang tidak pernah mengundi sebelum ini tetapi sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menunaikan kewajipan mereka mengundi parti pembangkang. Adakah mereka juga dianggap sebagai majoriti senyap?

Untuk membuat dakwaan melulu bahawa majoriti rakyat menyokong kerajaan bukan sahaja satu kesilapan malah menzahirkan lagi keangkuhan melampau parti Barisan Nasional. Pilihanraya mungkin akan diadakan beberapa bulan lagi dan buat pertama kalinya semenjak isu Anwar bermula, majoriti senyap yang SEBENARNYA akan diketahui.

Baru-baru ini, MCA telah menjalankan satu tinjauan di Pulau Pinang (sila rujuk laporan penyiasatan terbaru dalam Far Eastern Economic Review). Hasil kajian itu menunjukkan sekiranya pilihanraya dijalankan sekarang, Barisan Nasional akan kalah kepada parti-parti pembangkang. Saya kurang pasti tentang berapa jumlah orang yang menyertai kajian itu tapi apa yang jelas ialah mereka bukannya tergolong dalam majoriti senyap yang "kununnya" menyokong kerajaan.

Cetusan Rasa II - Negara Menuju Kebangkrapan

"Malaysia sekarang dalam keadaan yang hampir bankrap. Bank Negara akan terpaksa mencetak wang untuk menyelamatkan sistem kewangan. Bila keadaan ini berlaku, nilai Ringgit akan merudum. Dan rejim Mahathir akan dijatuhkan " - Ini adalah pandangan Independent Strategy, sebuah syarikat perunding pelaburan yang berpusat di London dalam laporan terbaru mereka yang bertajuk "Malaysia - The Arithmetic of Bancruptcy".

Pinjaman mudah dan beban hutang swata yang melambung tinggi akan mengakibatkan maslah jurang sumber yang besar (resource gap) yang perlu ditampung sehingga tahun 2000, sebnyak lebih kurang RM50 billion. Bank Negara tidak mempunyai pilihan selain dari mencetak wang.

Bank-bank sekarang seakan-akan tersepit. "Rejim Mahathir akan mendesak peningkatan mendadak pinjaman bank seperti di Russia " kata Independent Strategy. Apa yang menyedihkan ialah pinjaman-pinjaman baru ini sebahagian besarnya akan diberikan kepada peminjam-peminjam bankrap dan bukannya sektor-sektor produktif seperti pengilangan dan utiliti. Berdasarkan kepada keghairahan pihak mahkamah melindungi peminjam-peminjam korporat yang bankrap ini, bank-bank dan juga Danaharta akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan semula hutang lapuk - itupun jika mereka bernasib baik!

Sudah sampailah masanya kita mengakui hakikat kesengsaraan dan kenazakan masalah perbankan kita. Jumlah hutang tidak berbayar sebenarnya lebih tinggi dari jumlah yang diumumkan oleh Bank Negara iaitu sehingga 40% atau lebih kurang RM160 billion. Angka hutang tak berbayar (NPL) yang dikeluarkan adalah tidak tepat. Kesimpulan bahawa Bank Negara hanya memerlukan RM15 billion untuk membeli hutang tak berbayar hanyalah untuk menutup pekung di dada. Akhirnya, rakyat jugalah yang akan menanggung beban untuk menyelamatkan bank-bank serta peminjam korporat. Berapa banyak kalikah Bank Bumiputra perlu diselamatkan?

Walaubagaimanapun, Gabenor baru Bank Negara nampaknya belum puas. Hari Jumaat (20/11/98) lalu , pembayaran minima kad kredit telah diturunkan dari 15% kepada 5% - untuk menggalakkan orang melibatkan diri dalam spekulasi saham agaknya? Apa lagi agaknya dasar-dasar karut yang akan direkacipta oleh Gabenor ini? Lebih tepat lagi, apa lagi yang bermain di fikiran Tok Dalang besar Daim Zainuddin.

"Polisi pengasingan ekonomi Mahathir bagi sebuah negara yang dulunya paling terbuka di Asia akan menuju kehancuran " tambah Independent Strategy lagi. "Ia akhirnya akan memusnahkan taraf hidup rakyat di sebuah negara yang tak mampu membiayai defisit belanjawan yang seterusnya akan megakibatkan beban inflasi tinggi, nilai Ringgit yang merudum serta pengeluaran besar-besaran modal asing ".

Tentunya, Rafidah Aziz dan pengampu Mahathir akan menafikan sekeras-kerasnya kemungkinan ini dengan mengatakan yang masih tiada syarikat antarabangsa yang menarik diri dari melabur di sini. Perlu diingat, kawalan modal dan matawang baru berusia 2 bulan…….

Mungkinkah wujud satu "happy ending" untuk masa depan kita. Mungkin ya dan mungkin tidak…." Malaysia masih bernasib baik tidak seperti Indonesia kerana mempunyai kepimpinan alternatif yang berkaliber menunggu …atau lebih tepat lagi yang sedang disumbatkan dalam penjara. Malaysia akan menyertai negara dunia lain dibawah kepimpinan baru yang lebih waras dan wajar . Apa yang menyedihkan ialah ianya tidak akan berlaku sebelum rakyat Malaysia menanggung kesengsaraan yang teruk" .

Sebagai sebuah negara, kita telah melangkah maju dengan pantas semenjak kita merdeka 40 tahun lalu kerana keterbukaan ekonomi kita dan kesediaan membuka ruang untuk idea dan teknologi baru. Seperti orang Melayu lain, kita telah berjaya melupuskan mentaliti "katak di bawah tempurung " dan menerima sikap "Malaysia Boleh" dengan yakin dan bangga. Di dalam era kesejagatan dan internet, perkara yang paling BODOH yang kita lakukan sekarang ialah dengan mengasingkan diri dari arus perdana dunia ke arah REFORMASI..