Taklimat perundangan
di Universiti Cambridge

Pawancheek, Zulkifli Noordin: Peguam Anwar lawat Cambridge

Pada 2 Februari 1999 dua orang anggota kumpulan peguambela Dato’
Seri Anwar Ibrahim singgah sebentar
di United Kingdom setelah memberi taklimat kepada para ilmuwan di
Columbia University, New York, Amerika Syarikat.

Salah sebuah pusat pelajar yang dilawati mereka ialah Universiti
Cambridge, universiti paling terkemuka di
dunia yang telah ditubuhkan lebih 700 tahun lampau dan merupakan
alma mater para negarawan Malaysia
seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Malaysia
yang pertama) Tun Suffian Hashim
(bekas Ketua Hakim Negara), Tan Sri Ahmad Ibrahim (bekas dekan
Kuliyyah Undang-Undang Universiti
Islam Antarabangsa) dan Allayarham Tun Ismail Ali (bekas Gabenor
Bank Negara). Selain nama-nama ini,
antara alumni Cambridge yang terkenal sebagai pembela masyarakat
termasuk bekas Perdana Menteri
Singapura Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri India Jawaharlal
Nehru dan Bapa Kemerdekaan Pakistan
Rahmat Ali.

Majlis yang dianjurkan Persatuan Pelajar Undang-undang Kolej
Wolfson berlangsung selama hampir dua
setengah jam. Majlis tersebut dihadiri 50 orang pelajar,
separuhnya warga asing. Turut hadir dalam majlis
tersebut adalah seorang pegawai tinggi polis dari Malaysia yang
kononnya sedang "berkursus".

Saudara Pawancheek menerangkan bahawa perbicaraan Dato’ Seri
Anwar Ibrahim membawa beberapa
implikasi penting terhadap proses undang-undang di Malaysia:

1.Campurtangan politik dalam proses undang-undang. Menurut
Pawancheek,
sistem kehakiman adalah telus dan adil
sebelum pemecatan Tun Mohd Saleh Abbas sebagai Ketua Hakim Negara
dalam 1988. Setelah beliau dipecat,
komen daripada orang-orang politik menyebabkan sistem kehakiman
tunduk
kepada kehendak parti pemerintah.

2.Perbicaraan Dato’ Seri Anwar membuktikan proses pengadilan di
Malaysia
telah tergugat kewibawaannya. Pelbagai
halangan diletakkan demi menyusahkan kerja para peguambela.
Contohnya
hukuman ‘penghinaan’ mahkamah yang
dikenakan kepada peguam Zainur Zakaria dilakukan tanpa Zainur
dibenarkan sebarang tempoh atau luang
pembelaan; lantas dijatuhkan hukuman dengan serta-merta. Kesemua
para
peguam Dato’ Seri Anwar telah diugut
oleh si-hakim bahawa mereka juga akan dikenakan tindakan menghina
mahkamah. Kata Pawancheek secara
berseloroh, "Mungkin perbicaraan Anwar ini menyaksikan jumlah para
peguam yang paling banyak menghina
mahkamah dalam sejarah kehakiman Malaysia."

Pawancheek juga menerangkan bahawa mereka menghadapi masalah
sewaktu mendapatkan khidmat pakar
DNA. Saksi pendakwa yang merupakan seorang pekerja kerajaan gagal
membuktikan secara saintifik bahawa
Anwar melakukan hubungan seks dengan Shamsidar Tahrin (isteri
Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri
Encik Mohd Azmin Ali). Tetapi pihak peguambela sudah tentu tidak
dapat memperolehi khidmat pakar DNA
yang bekerja di hospital atau universiti kerajaan – mereka pasti
diugut oleh pihak kerajaan.

Pakar DNA yang mereka dapatkan dari England dan Australia tidak
diberi tempoh yang cukup untuk mereka
membentangkan kes. Pengambilan bukti DNA dari sumber yang sungguh
meragukan iaitu tilam dan darah
Dato’ Seri Anwar dipersoalkan kerana polis campur tangan. Menurut
pakar, adalah mustahil terdapat kesan
air mani lelaki atau wanita pada tilam yang secara tiba-tiba
sahaja muncul dalam perbicaraan Dato’ Seri
Anwar. Tidak lain dan tidak bukan bukti pihak pendakwa itu tidak
boleh diguna pakai dalam mana-mana
mahkamah adil di dunia ini. Pawancheek menerangkan bahawa Perdana
Menteri Mahathir Mohamad dengan
sewenang-wenangnya telah membuat kenyataan tiga minggu setelah
Dato’ Seri Anwar dipecat, bahawa
(berbeza daripada rakyat biasa) beliau mempunyai bukti kukuh
mengenai salahlaku seksual yang kononnya
dilakukan Anwar Kini, setelah pihak pendakwa meminda tuduhan,
telah jelas bahawa tidak ada bukti langsung
Dato’ Seri Anwar terlibat dalam perbuatan terkutuk itu. Pihak
pendakwa hanya mampu mendakwa Dato’ Seri
Anwar di bawah satu ordinan darurat dan bukannya di bawah
undang-undang yang digubal sebagai Akta
Parlimen.

3. Pawancheek seterusnya menerangkan bahawa Dato’ Seri Anwar
tidak mampu untuk membayar ongkos
guaman, tetapi beliau dan rakan-rakan yang lain masih meneruskan
tugas mereka kerana mereka berjuang
untuk keadilan. Kata beliau dan Zulkifli, mereka tidak mahu
anak-anak mereka membesar dalam negara di
mana seorang yang berkuasa seperti Dato’ Seri Anwar sekalipun
dilakukan sedemikian.

Kata Pawancheek, Perdana Menteri dan kroni-kroninya dahulu
memperlakukan Dato’ Seri Anwar sebagai
seorang teman, tetapi sanggup memperlakukan beliau sedemikian.
Dengan nada bimbang, Pawancheek
menerangkan bahawa Anwar setiap hari minum pagi dengan Perdana
Menteri, bersembahyang dengannya,
makan dan minum dengannya, tetapi kini beliau dihina sedemikian.

Beberapa soalan ditanyakan, antaranya daripada bidang
Undang-undang di Kolej Girton. Beliau menanyakan
kenapa Anwar menyaman akhbar Newsweek dan CNN selain daripada
Perdana Menteri untuk saman malu
bernilai RM 100 juta. Kata beliau , bukankah Anwar mendapat
liputan adil daripada media asing? Mengikut
Pawancheek, saman terhadap akhbar tidak boleh dielakkan, kerana
mereka menerbitkan kata-kata palsu
Perdana Menteri. Selain itu, taktik ini dibuat kerana Newsweek
dan CNN boleh disaman di luar Malaysia. Ini
memberi peluang kepada peguam Anwar membawa ke muka masyarakat
bukti-bukti bahawa Anwar tidak
terlibat di dalam salahlaku seksual yang dikatakan oleh Perdana
Menteri. Oleh kerana hakim Augustine Paul
melarang bukti ini dipersembahkan di mahkamah Malaysia, maka
peguam-peguam Anwar terpaksa
mendedahkannya di luar negara.

Kepada soalan yang ditanyakan oleh pelajar undang-undang di
Trinity Hall, yang bertanya mengenai
kebebasan kehakiman di Malaysia, Pawancheek enggan melibatkan isu
politik. Sungguhpun begitu beliau
berpendapat bahawa para penyokong Reformasi akan meminda dan
mengolah semula keseluruh
Perlembagaan Malaysia yang sudah rosak akibat salahguna Perdana
Menteri.

Seorang pelajar Inggeris bertanya apakah kenyataan Naib Presiden
Amerika Syarikat Al Gore menambah
atau mengurangkan sokongan rakyat kepada Anwar. Menurut
Pawancheek, pada mulanya sebuah akhbar
tempatan cuba terbitkan nama-nama orang yang menetang kenyatan Al
Gore tersebut. Tetapi kempen itu
hanya bertahan tidak lebih daripada 10 hari. Kata Pawancheek
akhbar Harakah kini mencecah 300,000
pembaca sedangkan New Straits Times dan Utusan Malaysia mengalami
kejatuhan populariti yang teruk.
Zulkifli berkata bahawa dahulu mungkin rakyat boleh diperbodohkan
kononnya ada agen asing yang ingin
menakluk negara tetapi kini rakyat Malaysia sudah bijak dan
rakyat-rakyat kampung tidak lagi mempercayai
media kerajaan.

Seorang pelajar Inggeris yang juga mempunyai darah Malaysia
bertanyakan apakah tidak benar bahawa
masalah utama di Malaysia ialah kerajaannya terlalu banyak makan
rasuah sehingga rakyat tidak dapat
keadilan yang seharusnya. Kata Pawancheek dan Zulkifli, memang
ini merupakan masalah sebenar. Tetapi
hanya rakyat yang mampu membawa perubahan. Selagi rakyat terus
selamba, tidak mungkin nasib mereka
berubah.