Pembohongan Seterusnya oleh Ex-KPN dan Dr Mahathir

Oleh: Harun Aminurrashid

Abdul Rahim Noor (tidak perlu disebut Tan Sri), bekas KPN meneruskan siri pembohongannya terhadap rakyat Malaysia. Kenyataan yang dibuat oleh beliau dihadapan Suruhanjaya Siasatan Kecederaan DSAI tanpa kehadiran DSAI bahawa dia tidak ingat apa-apa lagi setelah menampar kedua-dua belah muka DSAI memandangkan insiden itu didakwanya berlaku sekelip mata. Disoal balas oleh peguam Karpal Sigh bagaimana dia boleh melepaskan sekurang-kurangnya 7 pukulan (sebagaimana yang dilaporkan dalam laporan perubatan) dalam masa sekelip mata, adakah dia seorang peninju semasa belajar di Universiti Malaya, soalan ini dibantah oleh Tan Sri Abu Talib kerana dianggap tidak relevan. Peguam Karpal Sigh seterusnya menyindir Abdul Rahim Noor bahawa dia telah memecahkan rekod peninju dunia Mike Tyson memandangkan keupayaannya melepaskan 7 pukulan dalam sekelip mata.

Abdul Rahim menafikan beliau seorang yang panas baran . Disoalbalas oleh Karpal Sigh adakah beliau seorang yang cukup tenang, tetapi soalan ini enggan dijawab oleh Abdul Rahim Noor yang merasakan dirinya seakan-akan terperangkap dengan jawaban yang diberikan olehnya sebelum itu. Abdul Rahim Noor dalam usaha mempertahankan dirinya telah memberitahu Suruhanjaya Siasatan bahawa pegawai-pegawainya telah berbohong apabila mereka mendedahkan bahawa beliaulah yang mengarahkan supaya DSAI digari dan diikat mata sebelum beliau masuk ke sel di mana DSAI ditempatkan.

Abdul Rahim juga membantah bahawa dia telah menafikan hak DSAI yang berkali-kali memohon untuk mendapatkan rawatan perubatan kerana itu bukanlah tanggungjawabnya tetapi tanggungjawab Jabatan Cawangan Khas. Dapatlah disimpulkan di sini bahawa bekas KPN telah mengikut jejak langkah Dr Mahathir dalam percubaan menghina pemikiran rakyat Malaysia.

Di Dhaka, Dr Mahathir meneruskan lakonannya dengan membuat kenyataan akhbar bahawa beliau sangat kesal setelah mengetahui kecederaan DSAI adalah angkara perbuatan Abdul Rahim Noor. Tidakkah rakyat Malaysia berasa terhina dengan percubaan Dr Mahathir untuk memperbodoh-bodohkan pemikiran mereka. Dr Mahathir telah mengetahui dari awal lagi angkara siapa kecederaan DSAI. Ini kerana Abdul Rahim Noor telah pun dipanggil oleh Dr Mahathir untuk membincangkan isu kecederaan DSAI dan beliau benar-benar maklum tentang insiden tersebut apatah lagi beliau adalah Menteri Dalam Negeri sewaktu insiden itu berlaku. Setelah percubaan demi percubaan dibuat untuk menyelamatkan keadaan (‘damage control’), namun kebenaran tetap tidak boleh disembunyikan oleh mereka yang bertanggungjawab.

DSAI melalui wakilnya dalam Suruhanjaya Siasatan tersebut, peguam Karpal Sigh telah mengemukakan soalan-soalan pendek dan ringkas tetapi gagal disempurnakan oleh Abdul Rahim mahupun peguam yang dimewakilinya. Peguam Karpal Sigh telah mendedahkan percubaan polis merahsiakan kecederaan DSAI dengan pemindaan tergesa-gesa arahan penangkapan kepada ISA supaya kecederaan DSAI boleh pulih dalam masa 60 hari tanpa perlu menghadapkan DSAI ke mahkamah. Dalam sesi soal balas diantara Karpal Sigh dan Abdul Rahim Noor sebelum ini turut mendedahkan bagaimana Tan Sri Norain Nor merasa begitu marah dengan pindaan arahan tangkapan kepada ISA. Kerana ini tidak saja akan memburukkan imej polis malah menyebabkan seluruh pegawai-pegawai polis di Bukit Aman akan menerima risiko sebagaimana yang telah mereka hadapi sekarang iaitu dikhuatiri bersubahat dengan bekas KPN dalam usaha ‘cover-up’ oleh pegawai-pegawai polis Bukit Aman terhadap kecederaan dan penafian rawatan kecederaan DSAI.

Sama-samalah kita fikirkan.....

Oleh: Harun Aminurrashid, Universiti Utara Malaysia.