Kes Anwar dari Kacamata Pakar-pakar Perundangan
oleh: IAN STEWART in Kuala Lumpur
15 Februari 1999

Para peguam Malaysia yang dilatih di Britain berkata sistem keadilan di
negara mereka begitu keras dan ketat dengan cara British - terutama
kerana peruntukan-peruntukan yang membolehkan penahanan tanpa bicara,
undang-undang yang begitu keras mengenai penerbitan dan perhimpunan,
denda yang begitu berat terhadap pelbagai kesalahan dan tidak adanya
sistem juri.
Tetapi apabila perbicaraan terhadap Anwar Ibrahim atas tuduhan seks dan
rasuah semakin menuju penghujungnya baru-baru ini, satu perkara baru
dalam undang-undang Malaysia timbul dalam fikiran para peguam dan
rakyat biasa di Malaysia. Sebahagian besar dari mereka mempersoalkan
sistem yang membenarkan pihak pendakwa melakukan perubahan-perubahan di
saat-saat akhir ke atas dakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri
itu sambil tidak membenarkan beliau mengemukakan hujah bela diri
seperti yang dikehendakinya.
Aduan Anwar bahawa beliau tidak berdaya (helpless) selepas hakim
membuat keputusan kononnya dakwaan mengenai konspirasi politik adalah
tidak relevan dan rasa tidak puas hati peguam Anwar bahawa pihak
pembela "tidak dibenarkan mengemukakan kesnya", meningkatkan simpati
rakyat terhadap Anwar.
Namun bagi Augustine Paul, hakim perbicaraan itu, isunya adalah
mengenai persoalan undang-undang dan soal hubungkait sesuatu perkara
yang dikemukakan.
Beliau bersetuju dengan Raja Aziz Addruse, yang mengetuai sembilan
orang peguam Anwar, bahawa tertuduh seharusnya mempunyai segala peluang
untuk mempertahankan diri, tetapi menambah pembelaan mestilah mempunyai
relevan.
Hakim itu menyokong keputusannya dengan rujukan terperinci kepada
beberapa kes sebelum ini. Beliau juga pernah menulis sebuah buku
mengenai pembuktian dan dianggap sebagai orang yang mempunyai wewenang
dalam perkara itu.
Tetapi keputusannya menjadikan pihak pembela kecewa. Pihak pembela
menggambarkan ia disekat di tengah jalan dalam pembelaannya apabila
pihak pendakwa meminda tuduhan terhadap Anwar. Sejak berminggu-minggu,
pembelaan tertumpu kepada menolak tuduhan pihak pendakwa bahawa Anwar
melakukan liwat, suatu kesalahan jenayah di Malaysia, dan mempunyai
hubungan haram dengan isteri setiausaha peribadinya - tuduhan yang cuba
dibuktikan oleh pihak pendakwa yang mewakili kerajaan Dr Mahathir
melalui analisa DNA terhadap kesan air mani pada tilam yang dikemukakan
kepada mahkamah.
Tujuan pendakwa ialah untuk membuktikan motif kepada empat tuduhan
rasuah manakala tujuan pembela pula ialah menunjukkan bukti terhadap
Anwar adalah direka-reka. Tuduhan dibuat di dalam surat dan
perisytiharan berkanun kepada Perdana Menteri oleh Umi Hafilda Ali dan
Azizan Abu Bakar.
Anwar pada mulanya dituduh dengan empat tuduhan menyalahgunakan kuasa
kerana mengarahkan polis memaksa Umi dan Azizan menarik balik tuduhan.
Di dalam tuduhan yang dipinda, perkataan 'melakukan' telah dibuang
supaya tuduhan salah laku seks dan liwat kelihatan semata-mata dakwaan.

Raja Aziz menyatakan pindaan itu mengurangkan beban pembuktian kerana
pihak pendakwa tidak lagi dikehendaki membuktikan tuduhan salah laku
seks dan liwat. Paul menyatakan pihak pendakwa dibenarkan oleh
undang-undang untuk meminda tuduhan.
Seorang peguam menyatakan pindaan itu melemahkan asas kes yang telah
dikemukakan oleh pihak pembela, yang bertujuan menunjukkan bahawa polis
telah memalsukan bukti salah laku seks sebagai sebahagian konspirasi
untuk menyingkirkan Anwar dari arena politik.
Sebelum ini, ketika bertelingkah dengan pihak pendakwa dan hakim
mengenai sama ada beliau melangkaui sekatan ke atas perbincangan
mengenai konspirasi politik, Anwar menyentuh mengenai
"pertemuan-pertemuan yang tegang" dengan Dr Mahathir yang "marah-marah"
dan "berubah sikap" terhadap timbalannya.
Beliau berkata mereka berbalah mengenai polisi ekonomi ketika krisis
ekonomi serantau mula memberi kesan terhadap Malaysia dan
penentangannya terhadap "projek-projek besar" Dr Mahathir dan tindakan
menyelamatkan syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan Perdana
Menteri itu.
Raja Aziz berkata tuduhan "dibuat kerana sakit hati dan motif-motif
yang tidak baik yang disebabkan oleh cara tertuduh menjalankan
tugasnya". Hakim berkata jika pihak pembela menyatakan terdapat
penyalahgunaan proses, ia sepatutnya mengambil langkah-langkah
berkaitan sejak dari awal lagi supaya tuduhan boleh ditarik.
Dengan berterusannya perbicaraan itu, kelihatan hasilnya bergantung
kepada sama ada hakim akan menerima bukti Anwar atau bukti polis.
Isunya adalah sama ada keterangan siapakah yang akan diterima -
keterangan Anwar yang menyatakan beliau tidak menyalahgunakan kuasa
atau keterangan polis yang menuduh beliau menyalahgunakan kuasa.
Ini menjadikan rakyat Malaysia tertanya-tanya bagaimanakah perbicaraan
yang bermula dengan gaya drama seks yang begitu hebat serta pakatan
politik ala-siri popular tv kini kelihatan seolah-olah akan berakhir
seperti perasaan ternanti-nanti ketika mendengar laporan cuaca.

(Alih bahasa bebas oleh Penarik Beca - yang bencikan Umno dan semua
pemimpinnya sejak sebelum 2 September 1998)