BBMB Bermasalah... Lagi

Bank Bumiputra telah mencatat kerugian sebanyak RM464.2 juta bagi
tempoh
6 bulan sehingga 30 September, 1998. Ini adalah
satu kerugian besar berbanding dengan keuntungan sebanyak RM192.8 juta
untuk tempoh yang sama tahun sebelum itu. BBMB
juga telah mengenepikan sebanyak RM789.3 juta untuk hutang tak
berbayar.
Ini merupakan dua kali ganda jumlah tahun sebelum
itu.

Untuk tahum kewangan berakhir 30 Mach, 1998, BBMB telah mencatat
kerugian sebanyak RM1.413 bilion. Ini merupakan di
antara kerugian yang terbesar dalam sejarah perbankan Malaysia. Pada
ketika yang sama, hutang tak berbayar telah meningkat
kepada RM4.3 bilion atau 13 peratus dari jumlah pinjaman yang diberikan
BBMB. Purata pinjaman tak berbayar industri ialah 9
peratus.

Ini bukanlah kali pertama BBMB menghadapi masalah. Petronas telah
beberapa kali terpaksa menyuntik wang ke dalam BBMB
untuk menyelamatkannya sebelum ini. BBMB juga telah menghadapi masalah
besar apabila sebuah anak syarikatnya di Hong
Kong, BMF, telah memberi pinjaman tanpa cagaran sebanyak US$560 juta
(atau RM1.4 bilion pada ketika itu) kepada sebuah
syarikat pemaju, Carrian. Syarikat ini telah menghadapi masalah dan
BBMB
terpaksa menanggung hutang sebanyak HK$7 bilion.
Walau pun kerajaan telah menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat
kes ini laporan siasatan telah tidak diumumkan. Di
antara pegawai BBMB yang dibabitkan dalam skandal ini ialah Lorrain
Esmee Osman yang merupakan kawan lama Mahathir ketika
mereka sama-sama menganggotai Lembaga Pengarah Syarikat Fima Group.

Prestasi BBMB yang sering menghadapi masalah telah melayakkannya diberi
jolokan Bank Bankrap Masih Buka. Walau pun Datuk
Seri Anwar Ibrahim ketika masih menjadi Menteri Kewangan telah
menyatakan satu siasatan akan diadakan terhadap masalah
yang dihadapi oleh BBMB dan juga Sime Bank, kini semua ini disenyapkan
selepas beliau dipecat.

Rakyat berhak mengetahui kenapa BBMB mengalami masalah sebegini teruk
dan siapakah mereka yang mendapat manfaat dari
krisis ini. Bagaimanakah golongan ini berjaya mendapat pinjaman dan
kenapakah BBMB gagal mengurus risiko mereka dengan baik.
Hanya sebuah kerajaan baru dapat memastikan siasatan yang lengkap dan
menyeluruh dijalankan.

Ibn Fansuri