KENYATAAN AZIZAN TIDAK BOLEH DIPAKAI - PEGUAM ANWAR

Kuala Lumpur, Dis 9 (AFP)-Peguambela-peguambela Anwar Ibrahim telah memfailkan secara rasmi hari ini untuk menggugurkan segala kenyataan yang dibuat oleh saksi utama Azizan Abu Bakar setelah didapati dia memberikan kenyataan yang bercanggah.

"Kita mahu membangkitkan keraguan terhadap kredibiliti saksi ini," peguambela Gurbachan Singh berkata dalam permohonan yang dibuat kepada mahkamah, mengenai Azizan yang mendakwa tertuduh telah beberapa kali meliwatnya pada tahun 1992.

Pihak pembela juga mengutarakan kenyataan Azizan yang diberi pada hari Selasa di mahkamah yang dia tidak pernah melihat mahupun membaca buku "50 Dalil kenapa Anwar tidak boleh jadi PM" yang memuatkan tuduhan meliwat itu. Tetapi dalam pengakuan bersumpahnya yang dibuat pada bulan Ogos tahun ini dan yang telah digunakan sebagai barang bukti dalam perbicaraan ini, Azizan berkata bahagian buku tersebut yang melibatkan dirinya adalah "sama sekali tidak benar dan berniat jahat", Gurbachan berkata.

"Amat jelas sekali yang bahagian buku tersebut yang melibatkan Azizan telah ditunjukkan kepadanya oleh pihak polis (kalau tidak masakan Azizan tahu yang apa yang ditulis itu "sama sekali tidak benar dan berniat jahat--penterjemah), Gurbachan berkata lagi. "Pencanggahan kenyataan-kenyataan Azizan amatlah jelas dan ianya sangat penting."

Pada hari Isnin, Azizan telah mengejutkan mahkamah dengan menyatakan yang dirinya tidak pernah diliwat oleh tertuduh. Kenyataan ini bercanggah dengan apa yang diperkatakannya kepada mahkamah minggu lepas di mana dia telah berulang kali menuduh Anwar meliwatnya secara paksa.

Prosiding meragui saksi selalunya bertujuan untuk membuang apa-apa kenyataan yang bercanggah yang diberikan oleh saksi daripada rekod mahkamah.

"Tidak menjadi soal kenyataan mana yang dibuang tetapi mahkamah tidak akan lagi memandang berat mana-mana kenyataan kerana sudah terbukti ada pencanggahan," seorang peguam berkata.

Terjemahan oleh Princess