Temubual Asiaweek dengan Presiden PAS, Datuk Fadzil Noor

Pas mendakwa mendapat 70,000 ahli baru sejak lima bulan lalu. Apakah
sebenarnya di sebalik gelombang itu?

Rakyat menyokong Pas kerana mereka tidak percaya kepada Umno, akibat
beberapa masalah di dalam Umno - rasuah, nepotisme, favoritisme, sikap
anti-ulama  Dr Mahathir di dalam ucapan-ucapannya. Pemecatan Anwar juga
satu faktor, kerana sebahagian ahli-ahli baru Pas adalah bekas
ahli-ahli Umno. Tuduhan Dr Mahathir ke atas Anwar telah meningkatkan
kemarahan begitu ramai rakyat terhadap kepimpinan Umno - dan
alternatifnya ialah Pas.

Bagaimanakah hubungan anda dengan Anwar selepas beliau menyertai Umno?

Tidak seperti semasa di dalam Abim, tetapi kadang-kadang kami
menghubungi satu sama lain melalui telefon.

Jadi apa pandangan anda mengenai keadaan Anwar sekarang?

Isu kepada Pas ialah kekejaman kerajaan menggunakan ISA. Apabila Anwar
dipecat pada 2 September, saya menelefon beliau. Beliau memberitahu
saya, beliau berasa akan ditangkap. Pada 3 September, saya menziarahi
beliau. Saya juga berasa ada kemungkinan besar beliau akan ditangkap.
Selepas Anwar ditahan, kami menghimpunkan parti-parti pembangkang dan
NGO untuk menentang ISA. Ini adalah pendirian Pas sejak 1960. Kami
mempertahankan Anwar bukan sebagai individu atau sebagai kawan tetapi
kerana beliau ditekan oleh ISA.

Adakah anda menyokong isteri Anwar?

Kami akan memberi jalan kepada Dr Wan Azizah jika beliau mahu
bertanding di mana-mana di dalam pilihanraya umum. Kami mungkin
membantu dengan tenaga kami. Jika beliau bertanding di peringkat
Parlimen, calon kami yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri
boleh membantu beliau, dalam kerja-kerja kempen termasuk keselamatan,
mengatur program. Ia boleh dilakukan.

Bila anda fikir pilihanraya umum akan diadakan?

Tidak lama lagi, sekitar Ogos atau September.

Bagaimana anda rasa prestasi Pas?

Kami akan mempertahankan Kelantan. Kami berharap memenangi
negeri-negeri lain - Terengganu, Kedah dan Perlis - dan menubuhkan
kerajaan negeri. Di Perlis, ramai rakyat yang tidak senang dengan
Menteri Besar sekarang. Sikapnya melampau. Barisan Nasional boleh
menggugurkan beliau, tetapi jika Dr Mahathir masih memimpin, majoriti
rakyat tetap merasa marah.

Adakah matlamat Pas untuk menegakkan Negara Islam?

Menurut ajaran Islam, setiap orang Islam bertanggungjawab untuk
berusaha menegakkan Negara Islam. Adalah berdosa jika kita tidak
melaksanakan Syari'ah. Tetapi apa yang penting ialah isinya, bukan
bentuk. Islam menjamin keadilan untuk semua, pembahagian kekayaan
negara, kebebasan bersuara. Kami telah membentuk pakatan (juga dengan
kumpulan-kumpulan bukan Islam) mengenai isu-isu yang kami persetujui -
mengembalikan keadilan kepada rakyat dan menafikan kemenangan kepada
Barisan di dalam pilihanraya umum. Perubahan-perubahan ini tidak akan
dapat dibuat jika Barisan terus menang. Jadi kewajipan kami ialah untuk
menafikan kemenangan kepada mereka.