SURAT TUNJUK SEBAB DARI ABD RAHMAN MD YAAKOB,
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort

 

20 Oktober 1998

Kepada,
YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Muhammad
Presiden Parti UMNO.
Ibu Pejabat UMNO pusat,
Kuala Lumpur
YB Dato’ Sabaruddin Chik
Setiausaha Agung UMNO.
Ibu Pejabat UMNO pusat,
Kuala Lumpur
  

Per: Jawapan Surat Tunjuk Sebab

Firman Allah SWT dalam Al-Quran Al-Karim :

"Kebenaran itu datang dari Tuhanmu, maka janganlah kamu termasuk orang yang ragu-ragu."

(Al-Baqarah : 147)

Firman Allah lagi:

"Sesungguhnya telah kami turunkan Al-Quran kepadamu dengan haq (tidak dapat dibantah kebenarannya) agar kamu mengadili (perselisihan) antara manusia menurut wahyu Allah kepadamu. Janganlah engkau membela orang-orang yang khianat"

(An-Nisa : 105)

Maksud Hadis Nabi :

"Katakanlah yang benar itu walaupun pahit"

Surat ini saya tulis sebagai jawapan kepada surat tunjuk sebab (yang sehingga seminggu selepas pengumuman, saya belum menerimanya) yang dikenakan terhadap saya. Saya sebenarnya tidak faham kenapa saya diberikan surat tunjuk sebab. Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan, saya tidak pernah berucap, tidak sempat menyertai ‘road show’ belum membuat sebarang gerakan di Sabah, malah sebaliknya telah menyatakan sokongan kepada parti UMNO dan kepimpinan sekurang-kurangnya empat kali iaitu:

  1. Semasa sokongan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Sabah
  2. Semasa sokongan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah
  3. Semasa sokongan oleh UMNO Bahagian Beaufort
  4. Semasa sokongan oleh Barisan Nasional Beaufort.

Malah YB Datuk Seri Panglima Osu Hj. Sukam telah membuat kenyataan terbuka bahawa di Sabah tidak ada ahli UMNO yang terlibat dengan gerakan REFORMASI. Beliau juga menyatakan dalam mesyuarat badan perhubungan negeri bahawa tidak ada sebarang nama yang akan dikemukakan kepada Majlis tertinggi

Walau bagaimanapun saya tidak akan mempersoalkan bagaimana dan siapa yang menghantar nama saya kepada pihak atasan. Hakikatnya saya tidak gusar dan tiada berasa rugi sedikit pun jika kehilangan keahlian dalam parti.

Sejak pembohongan dan fitnah terhadap Anwar disahkan oleh para pemimpin UMNO yang bijaksana, saya beristighfar panjang dan hampir setiap malam solat hajat meminta petunjuk Allah untuk menentukan apakah halatuju yang patut saya ikuti. Saya menganggap tindakan pemecatan keahlian saya daripada UMNO merupakan petunjuk yang saya tunggu-tunggu. Jelas itu adalah cara Allah membebaskan saya daripada terpaksa terus bersekongkol dengan segala kejahatan dan kemungkaran.

Jika saya diberi pilihan secara bebas, terus terang amat payah untuk saya membuat pendirian. Walaupun saya amat terkejut dengan keberanian kebanyakan pemimpin UMNO membuat dan menyebarkan fitnah, (firman Allah SWT : "Fitnah itu lebih dahsyat dosanya daripada membunuh") tetapi saya masih berasa terikat dengan UMNO kerana inilah parti pertama yang saya sertai.

Al-HamduliLLah, saya tidak perlu membuat sebarang keputusan kerana Allah telah memberi petunjuk yang terang lagi nyata kepada saya.

Semasa mesyuarat pergerakan pemuda UMNO negeri, saya dan beberapa orang rakan telah menyatakan dengan terang bahawa kami hanya menyokong kepada parti UMNO dan pemimpinnya sahaja, tetapi tidak dapat menerima cerita karut fitnah yang cuba disogokkan itu. Apatah lagi menyampaikannya ke peringkat akar umbi. Saya bukanlah orang warak, tetapi saya masih takut kepada pertimbangan dosa, apatah lagi yang melibatkan dosa besar! "NauzubiLlahi min zalik" Sudahlah pahala amalan belum cukup, nak tambah dosa besar pulak! Lainlah pemimpin atasan UMNO, mereka tentu telah banyak beramal, olehitu sekali-sekala buat dosa tak apalah.

Saya mengaku secara terbuka bahawa saya ada menziarahi Anwar di rumahnya selepas beliau dipecat. Tujuan saya adalah untuk mendengar penjelasan daripada beliau sendiri berhubung dengan segala dosa-dosa dan kejahatan yang kononnya beliau lakukan. Saya tidak tahu kalau pergi mendengar penjelasan itu adalah suatu kesalahan. Tapi bagi saya itu perlu kerana untuk menentukan sesuatu kebenaran, kita patut mendengar daripada kedua belah pihak. Lagi pun ini memang tuntutan Allah seperti yang termaktub dalam Al-Quran :

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita hendaklah kamu periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum kerana kecerobohan, maka kamu akan menyesali tindakan kamu itu"

(Al-Hujurat : 6)

Ramai juga orang lain yang terus percaya Anwar bersalah tanpa mendengar penjelasan pihak tertuduh. Mereka itu barangkali telah dikurniakan oleh Allah ilmu kasyaf kerana amalan-amalan ibadat mereka yang banyak, sehingga mampu mengetahui kebenaran tanpa melalui proses biasa. Saya masih jauh daripada tahap itu lagi. Itu sebabnya saya perlu mendengar penjelasan kedua-dua pihak.

Atau mungkin juga mereka percaya semata-mata kerana ia dikatakan oleh Dr. Mahathir. Ramai pemimpin UMNO berkata kepada saya "takkanlah PM nak bohong…." Mereka percaya PM ini seorang manusia istimewa yang tidak akan tergamak melakukan pembohongan. Mungkin betul, sebab PM ini merupakan pemimpin terbaik dalam sejarah Malaysia. Beliau bukan sahaja pintar, malah alim dan percaya kepada konsep kepimpinan melalui teladan. Bagi mereka PM seolah-olah telah hampir mencapai taraf "maksum" Jadi apa sahaja yang dikatakan dan dilakukan oleh PM mesti dipercayai bulat-bulat. Adalah berdosa dan menjadi kesalahan amat besar kalau kita mempertikaikannya.

Tuduhan tidak rasmi telah terlalu banyak saya ketahui daripada media massa. Kalau mengikut laporan media, nampaknya Anwar ini seolah-olah "superman jahat" Beliaulah rasa saya penjenayah terulung dalam sejarah Malaysia. Namakan apa sahaja kesalahan dalam undang-undang, pasti Anwar ada melakukannya. Masya Allah!

Selepas mendengar penjelasan beliau, saya berpuas hati dan percaya bahawa beliau dianiaya secara teratur dan terancang. Berbanding dengan serangan fitnah bertalu-talu yang ditujukan kepadanya yang kelihatan begitu kelam-kabut, keterlaluan dan nampak sangat diada-adakan, penjelasan Anwar lebih menasabah dan dapat diterima akal. Saya yakin beliau benar.

Hadis Nabi SAW bermaksud:

"Apabila kamu melihat suatu kezaliman telah berlaku, maka bantulah yang dizalimi dan yang menzalimi…."

Berdasarkan hadis tersebut, saya bertindak seadanya untuk membela yang teraniaya. Manakala yang menganiaya, rasanya ulama-ulama UMNO bolehlah membantu mereka.

Saya ada memberikan kaset ucapan penjelasan Anwar kepada lebih kurang 10 orang (sepuluh) rakan-rakan. Saya juga ada menunjukkan beberapa rencana seperti affidavit penafian Dato’ Nalla yang dipetik daripada internet. Saya langsung tidak tahu kalau itu satu kesalahan. Rencana dalam internet memang sedia terhidang kepada sesiapa juga. Saya hanya membantu yang tidak ada kemudahan internet sahaja. Kaset ucapan bukan saya jual, saya hanya bagi kepada mereka yang meminta dengan tujuan memberi peluang kepada seramai mungkin orang mendengar penjelasan. Selepas itu terserahlah kepada mereka masing-masing untuk membuat penilaian. Itu sahaja!

Rupa-rupanya dalam sistem pemerintahan Malaysia yang adil dan dibanggakan ini, menjadi satu kesalahan besar kalau mendengar penjelasan dari orang yang dianiaya. Yang dibenarkan hanyalah mendengar tuduhan-tuduhan liar dan tidak berperi kemanusiaan yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin sahaja. Fitnah rekaan pemimpin pula mesti diterima sebagai benar dan wajib disebarkan. Begitulah adilnya negara kita!

Saya telah dinasihatkan oleh YB Datuk Karim Bujang dan kemudiannya oleh YB Datuk Hj. Lajim Hj. Ukin. Menghormati kedua-dua mereka saya serta-merta berhenti, bukan kerana saya takut apa-apa, tetapi demi menjaga kebaikan nama UMNO Bahagian Beaufort. Jadi hanya 10 orang (sepuluh) itu sahajalah yang mendapat kaset tersebut.

Walau bagaimanapun saya akurlah dengan kesalahan-kesalahan besar yang saya lakukan iatu:

  1. Pergi mendengar penjelasan daripada Anwar sendiri.
  2. Memanjangkan kebenaran kepada orang ramai melalui kaset ucapan dan risalah internet.
  3. Enggan mempercayai fitnah
  4. Enggan menyebarkan fitnah ke peringkat bawah
  5. Melaksanakan maksud hadis "…membantu yang dizalimi dan yang menzalimi…"
  6. Menyaksikan perhimpunan REFORMASI di Dataran Merdeka. Saya dapat melihat sendiri betapa ramainya orang yang masih tidak yakin dengan fitnah jahat yang cuba disogok secara bertubi-tubi oleh Dr. Mahathir.

Pada kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih terutamanya kepada Dr. Mahathir yang telah banyak memberi nasihat kepada saya (sebenarnya kepada semua yang hadir dalam sessi perjumpaan) Antaranya beliau pernah mengingatkan supaya ahli-ahli UMNO mengembalikan semula semangat perjuangan UMNO asal yang tidak memandang kepada ganjaran material sebaliknya lebih mementingkan bangsa dan negara.

Saya amat bersetuju dengan nasihat itu. Itulah sebabnya saya sentiasa sematkan nilai, prinsip dan idealisme perjuangan dalam hati. Dengan itu tidak ada apa yang saya takutkan. Saya tidak takut kehilangan pangkat, tidak takut kehilangan perniagaan dan tidak mudah menjadi pak turut tanpa sebarang usul periksa. Jadi tindakan saya enggan mempercayai fitnah ini adalah sebahagiannya kesan daripada nasihat Dr. Mahathir.

Saya juga amat ingat nasihat beliau di Shangri-La Tg. Aru Resort apabila beliau menyatakan "…apa guna kita nak kaya sangat, kalau nak makan pun, banyak mana sangat kita boleh makan, nak simpan harta banyak-banyak pun bukan boleh bawa mati……" Nasihat yang baik. Cuma saya mencadangkan kepada Dr. Mahathir supaya beliau pun biarlah mengamalkan sama nasihat tersebut. Jangan pandai nasihat untuk orang lain sahaja, diri sendiri kena tengok juga. Ini sesuai dengan firman Allah SWT :

"Hai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besarlah kemurkaan Allah kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan"

(Al-Saf : 5-6)

Nasihat itu juga hendaklah disampaikan terlebih dahulu kepada anak-anak beliau sendiri. Jangan pandai nasihat anak orang lain sahaja. Dulu Mahathir kata, anak-anak beliau berjaya kerana bakat dan kebolehan mereka sendiri. Kalau begitu kenapa ambil duit Petronas, KWSP, Tabung Haji, untuk selamatkan perniagaan anak awak? Sepatutnya bila nak jatuh, bagitahu sahajalah "buat apa nak kaya sangat!!!…"

Oh ya! ipar duai pun kena bagi nasihat jugalah. Begitu juga dengan George Soros Malaysia. Jangan nak marah Soros luar negeri sahaja. Tumpang tanya sedikit, Kenapa Dr. Mahathir marah sangat isu tanah KTM di Singapura? Bukankah Soros Malaysia dah tandatangan bagi pihak kerajaan Malaysia? Ada apa-apa yang tak beres atau tak cukup agaknya?

Apabila saya mengatakan PM hampir mencapai taraf maksum, tentu ada kaitan dengan urusan keagamaan. Lihat sahaja bagaimana PM menghentam para ulama’ Semua orang sokong PM. Tak tahulah kalau ada orang yang pergi tanya para ulama’ untuk dengar penjelasan dari pihak mereka, sebab kalau media massa memang tak ada peluanglah. Tak cukup dia menghina para mufti, PM hentam Dato’ Dr. Harun Din cukup-cukup, dia kata Harun Din pembohong dan penipu besar. Harun Din kaya bukan main kerana kutip duit upah jampi air. Menteri Besar yang hadir bukan setakat akur, malah ada yang turut sama mengecam Dato’ Dr. Harun Din.

Ada lagi yang lebih hebat, PM kata hukum-hakam Islam seperti Hudud jika dilaksanakan di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang kaum akan menyebabkan negara jadi huru-hara. Oleh itu kerajaan ini tiada niat langsung untuk melaksanakan huku-hakam Islam. AstaghfiruLlah! Nampaknya PM dah mula tunjuk dia lebih bijak dan pandai daripada Allah SWT. Dulu ketika Nabi Muhammad melaksanakan hukum-hakam Islam di Madinah, umat Islam hanya berjumlah 30% sahaja daripada keseluruhan penduduk. Kenapa tak huru-hara? Bukankah Allah yang mencipta bangsa dan kaum daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama? Menasabahkah Allah lupa dengan kepelbagaian latar belakang tersebut, lalu menurunkan perintah hukum-hakam yang hanya sesuai untuk masyarakat 100% muslim sahaja??? Tapi oleh sebab PM yang cakap "takkanlah PM nak bohong…" Jadi kita mesti percaya, jangan pertikai lagi.

Bukan sekali itu sahaja PM mempertikai hukum agama. Perwakilan dan pemerhati Perhimpunan Agung UMNO 1997 tentu masih ingat bagaimana PM secara terbuka mempertikai hukum menutup aurat wanita dalam ucapan dasarnya. Beliau menyatakan rasional perintah menutup aurat ialah untuk mengekang nafsu lelaki. Lalu beliau mengatakan kini menutup aurat sudah tidak relevan lagi kerana masih tidak dapat menahan nafsu lelaki. Beliau juga mempertikai wanita yang bertudung dan berfurdah kerana ramai juga yang melakukan perbuatan jahat seperti membuang bayi dan sebagainya.

Kalau PM dan ahli keluarganya tak dapat mentaati perintah menutup aurat, itu soal merekalah. Dosa dan pahala masing-masing tanggung. Tapi jangan sekali-kali mempertikai ajaran agama. Layakkah kita mengaku sebagai orang Islam kalau ajaran-ajarannya kita pertikaikan? Tidakkah mempertikaikannya itu bererti mempertikaikan Allah SWT sendiri. Wah! Hebat benar PM Malaysia.

Jika beginilah pemimpin yang kita kena sokong, mohon maaflah. Saya sudah tidak sanggup lagi. Biarlah Dr. Mahathir pecat saya, asal jangan Allah SWT memecat saya. Firman Allah SWT:

"…barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka itu adalah orang yang kafir"

(Al-Maidah : 44)

"…barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka itu adalah orang yang zalim"

(Al-Maidah : 45)

"…barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, maka mereka itu adalah orang yang fasiq"

(Al-Maidah : 47)

17 tahun saya menyokong dan mengagumi beliau. Apa jua kepincangan, saya sentiasa merasionalkannya sendiri. Tetapi tiap-tiap sesuatu itu ada batasnya. Termasuk Mahathir, beliau patut mengerti bahawa masa beliau sudah berakhir. Jika beliau benar-benar sayangkan UMNO dan Negara ini, saya nasihatkan supaya Mahathir berundurlah sekarang. Jika tidak, akan lebih banyak lagi keterlanjuran yang akan memudaratkan bangsa dan tanah air kita ini. Serahkanlah UMNO dan Negara ini kepada pemimpin pelapis yang lain.

Sebelum mengakhiri surat ini, saya ingin memohon maaf terlebih dahulu sekiranya surat ini agak keterlaluan. Lebih-lebih lagi saya banyak memetik ayat-ayat Al-Quran Al-Karim. Saya melakukan begitu kerana :

"Kitab Al-Quran itu tidak disangsikan lagi kebenarannya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa"

(Al-Baqarah : 2)

Walau bagaimanapun memang ada orang Islam yang tidak begitu percaya walaupun dalil Al-Quran disertakan. Sebaliknya mereka lebih percaya kepada cakap PM walaupun tanpa sebarang dalil aqli dan naqli sebab"takkanlah PM nak bohong…."

 

Sekian dan Wassalam

Yang mempertahankan kebenaran,

 

Abdul Rahman Md. Yakub
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort
Naib Ketua Pergerakan UMNO Negeri Sabah.
S.K.
UMNO Sabah
Pemuda UMNO Malaysia
Pemuda UMNO Sabah
UMNO Beaufort