AGENDA REFORMASI KITA

Perubahan yang bakal dibawa oleh gelombang reformasi adalah satu perubahan yang akan membawa anjakan pada amalan serta budaya politik dan pemerintahan negara. Intipati kepada perubahan ini ialah mewujudkan sebuah kerajaan yang telus, bertanggungjawab kepada rakyat dan menghayati prinsip dan amalan demokrasi. Ini mungkin dilihat sebagai pekara asas bagi kebanyakan kita. Namun, inilah yang dikhuatiri Mahathir.

Pemerintahan Mahathir telah menyaksikan pemusatan kuasa kepada diri Mahathir. Dia kini menganggap dirinya maha berkuasa. Ini membolehkan Mahathir menjadi maha zalim dan maha rakus. Pemusatan kuasa berlaku melalui berbagai tindakannya. Pemecatan Tun Saleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara dan seterusnya pindaan perlembagaan untuk mengurangkan kuasa raja-raja adalah di antaranya. Selain dari itu, undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Penerbitan dan Percetakan memberi kuasa-kuasa yang luas kepadanya.

Akta-akta ini membolehkan dia mengambil tindakan-tindakan yang tidak boleh dipersoalkan di mahkamah. Untuk memastikan kekuasaan mutlak dalam UMNO dia juga telah meminda undang-undang supaya pertikaian parti tidak boleh di bawa ke mahkamah. Dengan ini tindak-tanduk dan keputusannya dalam parti tidak boleh dipertikaikan. Kesemua ini memastikan dia dapat bertindak sebagai seorang maharaja.

Selain dari menggunakan undang-undang dan peraturan pentadbiran, Mahathir juga menggunakan ugutan untuk mendapatkan kesetiaan dan ketaatan. Ini dilakukan terhadap mereka yang berpotensi menjadi seteru atau menghalangnya . Sebagai contoh, fail siasatan BPR terhadap beberapa tokoh politik dan juga pegawai kanan kerajaan akan disimpannya. Tindakan tidak akan diambil terhadap salahlaku tokoh politik atau pegawai kerajaan berkenaan. Sebagai balasan mereka mestilah akur dan setia kepada Mahathir. Oleh sebab itulah salahlaku Rafidah Aziz dalam pemberian saham kepada menantunya, Samy Velllu dalam pemberian saham Telekom kepada Maika dan kes rasuah suami seorang timbalan menteri wanita didiamkan sahaja.

Demikian juga dengan kes rasuah Ketua Hakim Negara, Eusoff Chin, yang telah siap disiasat BRP setahun lalu dan Abol Hasan, bekas Ketua Pengarah EPU, yang kini menjadi gabenor Bank Negara. Sumber sumber BPR juga memaklumkan Suara Reformasi bahawa Ketua Polis Negara dan timbalannya serta Peguam Negara juga turut disiasat di atas salahlaku rasuah. Namun tiada tindakan diambil ke atas mereka.

Sebaliknya, fail-fail siasatan terhadap mereka disimpan Mahathir dan sebagai balasan mereka memberi ketaatan dan kesetiaan dalam melaksanakan konspirasinya. Bagi golongan korporat, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan badan berkanun, dan wakil-wakil rakyat, janji kontrak dan perniagaan dijadikan umpan untuk mendapatkan kesetiaan mereka. Sebagai contoh, pengerusi KWSP telah diberi kenaikan gaji sebanyak 50% untuk memastikan dia tidak menghalang Mahathir dari menggunakan wang rakyat di KWSP.

Ini bererti kekuasaan mutlak yang dimiliki Mahathir telah membolehkannya mengikat dan menjerat pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pemimpin-pemimpin politik, khususnya dari BN, dalam satu jaringan rasuah, skandal dan peras ugut. Tidaklah hairan begitu ramai daripada mereka mudah menjadi Pak Turut. Ditambah pula dengan media tempatan yang telah dimandulkan, sempurnalah satu sistem pemerintahan feudal.

Dengan ini ekonomi negara boleh dijadikan alat untuk Mahathir dan kuncu-kroninya memperkayakan diri mereka. Semua ini dilakukan dengan berselindung disebalik perjuangan bangsa.

Perubahan yang ingin dibawa reformasi bertujuan memecahkan kekuasaan mutlak yang telah diwujudkan Mahathir. Ini penting untuk memastikan keadilan kepada semua rakyat. Ia juga perlu untuk memastikan jentera kerajaan dan sistem politik berperanan membela rakyat dan bukan sebagai alat yang dipergunakan untuk golongan tertentu sahaja.Untuk tujuan ini satu rombakan struktur pemerintahan perlu dilakukan.

Perlu wujud pemisahan kuasa untuk memastikan cabang kehakiman bebas dari cabang eksekutif kerajaan. Badan kehakiman hendaklah diasingkan dari kuasa pentadbiran politik. Badan-badan seperti BPR, PDRM, Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman hendaklah diletakkan dibawah sebuah suruhanjaya khas supaya keputusan-keputusan mengenai kenaikan pangkat,perjawatan, perkhidmatan dan pemindahan kakitangan bebas dari campurtangan politik.

Undang-undang yang mengenepikan pertanggungjawaban kerajaan perlu dipinda untuk memastikan ketelusan. Dengan ini pemimpin politik tidak lagi boleh berselindung disebalik undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi untuk menyembunyikan penyelewengannya. Ini perlu untuk memastikan segala keputusan kerajaan dapat diteliti rakyat dan membolehkan pertanggungjawaban kerajaan oleh rakyat. Akta-akta yang memberi kuasa mutlak kepada menteri dan tidak boleh dipersoal dimahkamah mesti dimansuhkan. Satu mahkamah perlembagaan perlu ditubuhkan untuk memastikan semua undang-undang dinegara ini tidak mencanggahi perlembagaan negara. Perlembagaan juga perlu dipinda untuk memastikan sebarang undang-undang yang menafikan rakyat hak mempertikaikan tindak-tanduk kerajaan di mahkamah sebagai tidak sah.

Reformasi juga perlu untuk memastikan ekonomi Malaysia berfungsi dengan licin dan efisyen. Amalan memberi kontrak-kontrak besar hanya kepada segelintir kuncu-kroni adalah satu amalan yang menghadkan persaingan sihat. Akibatnya, firma-firma kuncu-kroni tidak efisyen dan tidak cekap. Apabila berlaku kemelesetan mereka akan rebah dan ranap.

Akhirnya rakyat yang terpaksa menyelamatkan firma-firma ini. Firma-firma kuncu-kroni yang selalu dipapah dan diberi layanan manja oleh Mahathir sememangnya tidak berdaya saing dan akan gagal jika disuruh bersaing secara terbuka. Kita tidak mahu ekonomi kita bergantung kepada korporat-korporat palsu yang akhirnya menjadi beban kepada rakyat. Ketika beruntung mereka akan membolot semua keuntungan tetapi bila rugi rakyat yang terpaksa menanggung. Bukankah lebih baik kita menyerahkan sahaja segala projek kepada JKR jika akhirnya rakyat juga yang terpaksa menanggung beban. Selain dari membebankan rakyat, layanan istimewa kepada firma-firma kuncu-kroni Mahathir juga membantutkan peluang syarikat-syarikat IKS lain, khususnya IKS bumiputera. Akibatnya syarikat-syarikat IKS bumiputera sukar membesar dan terpaksa mengharapkan ihsan subkontrak dari firma kuncu-kroni Mahathir.

Untuk memastikan wujud persaingan yang sihat yang dapat meningkatkan daya saing negara, semua projek kerajaan hendaklah dilaksanakan melalui tender terbuka. Rekod prestasi syarikat hendaklah dijadikan di antara kriteria dalam menilai keupayaan sesebuah syarikat melaksanakan sesuatu projek. Minit keputusan tender hendaklah dijadikan dokumen umum yang boleh teliti oleh rakyat.

Usaha reformasi juga perlu mewujudkan suasana yang lebih demokratik di Malaysia. Kita menganggap kepelbagaian pandangan sebagai satu aset untuk negara. Sikap Mahathir yang suka menyekat pandangan yang berbeza adalah amalan feudal yang perlu diubah. Tabiat mengecam pihak yang mempunyai pendapat yang berbeza sebagai tidak patriotik atau musuh negara adalah tabiat kebudak-budakan.

Demikian juga, tabiat Mahathir dan khadam-khadamnya dalam UMNO yang suka menggunakan sentimen perkauman dan menakut-nakutkan rakyat terhadap pembangkang. Tabiat sebegini tidak mempunyai tempat dalam masyarakat Malaysia moden. Rakyat Malaysia hari ini lebih terdidik dan sudah matang serta mampu menilai idea dan pandangan yang berbeza. Kekuatan negara seharusnya dibina dari keupayaan kita mengadun dan menyatukan idea-idea yang berbeza. Ini termasuklah mendengar dengan sabar dan menghormati kritikan dari pengkritik yang paling lantang. Untuk tujuan ini peranan media massa perlu dikaji semula untuk memastikan ia dapat memainkan peranan dalam menghidupkan suasana demokratik yang dinamik dan sihat.

Untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang dihuraikan di atas, rakyat perlu bersedia melaksanakan perubahan pada diri kita. Ini perlu bermula dengan reformasi minda kita. Rakyat perlu sedar bahawa formula dan budaya politik feudal Mahathir yang diwujudkan melalui UMNO dan Barisan Nasional sudah lapuk dan mesti diubah. Perubahan yang kita inginkan tidak akan dapat dilaksanakan oleh UMNO atau BN kerana pemimpin-pemimpin UMNO dan BN ramai yang telah terjerat di dalam jaringan rasuah, kronisma, skandal dan berbagai penyelewengan. Mereka hanya akan meneruskan budaya politik lama yang lapuk yang diwarisi dari Mahathir walau pun dia sudah tiada nanti. UMNO dan BN bukanlah parti keramat dan bukan hanya ia mampu memimpin Malaysia. Rakyat perlu mengubah keadaan ini dengan tidak undi mereka.

Usaha reformasi memerlukan kesediaan rakyat mendokong dan memberi sokongan padu kepada satu formula politik baru yang dipimpin oleh barisan yang baru. Formula ini akan memastikan budaya politik feudal Mahathir dan BN dilenyapkan sama sekali dan era politik baru diwujudkan. Hanya dengan ini dapat kita wujudkan masyarakat Malaysia yang adil, efisyen, penyayang, berdaya saing dan yakin menghadapi cabaran di peringkat global.